Misteri Kejatuhan Melaka 3
15 Ogos 1511 atau juga 24 Ogos
1511 (perbezaan sumber menyatakan tarikh yang berbeza) adalah detik yang sangat
memilukan bagi umat Melayu. Hari ini, tewasnya sebuah empayar kebanggaan umat
Melayu keseluruhannya.
Kalaulah mereka tahu hakikat
yang sebenar, kalaulah. Sebenarnya apakah yang berlaku dalam peristiwa 1511 ini
dan bagaimanakah gambaran sebenar detik-detik Melaka mempertahankan dirinya
dari diperkosa Portugis?
Hakikat yang sebenarnya ramai
tidak tahu adalah Melaka sudah mencapai kedudukan politik yang unggul sementara
perdagangannya juga terus berkembang, dan pelabuhannya menggamit pelbagai
bangsa datang singgah dari segenap pelusuk dunia. Imej bandar terapung seperti
Venice dan Genoa serta pasar dan rumah yang tidak berputusan hingga Muar
bukanlah satu khayalan atau cakap-cakap kosong sahaja.
Walaupun memang wujud
kepincangan dalam pemerintahan, pergeseran, perebutan dan pelbagai lagi konflik
dalaman yang sering kita dengar namun ianya belum cukup parah untuk menjatuhkan
Melaka jika dibandingkan dengan serangan Portugis. Tambahan lagi oleh sebab
begitu makmurnya Melaka maka banyaklah kaum-kaum ‘asing’ yang mula dengki,
hasad dan cemburu akan kekayaan Melaka. Pembelotan kaum-kaum asing ini juga
ibarat gunting dalam lipatan yang memudahkan lagi kemaraan Portugis.
Sesungguhnya tidak semua
persoalan tentang kejatuhan Melaka dapat kita rungkaikan disini. Namun memadai
rasanya untuk kita membuka perbincangan dalam hal kesungguhan dan semangat
juang Melaka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatannya daripada dinodai oleh
Portugis.
Sebelum itu yang paling penting
ialah pandangan kita bahawa Melaka ketinggalan dari segi teknologi meriam,
senapang atau istinggar dan peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah dan
dibuang sejauh mungkin. Seperti yang saya pernah sebut dahulu angkatan Portugis
dicatatkan membawa pulang ribuan pucuk meriam dan senapang yang dirampas dari
Melaka. Teknologi pembuatan dan penggunaannya juga adalah standing dengan
teknologi barat.
John Crawfurd memetik catatan
De Burros dalam bukunya, A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and
Adjacent Countries, bahawa ketika
Portugis menawan Melaka dahulu, mereka berjaya merampas antara 3000 hingga 8000
senjata api daripada Melaka, dan De Burros sendiri mengatakan bahawa Portugis sendiri
tidak mampu untuk menghasilkan senjata api sebanyak itu. Bahkan
catatan De Burrous menjelaskan lagi kepada kita bahawa Portugis menjumpai
sebuah meriam Melayu Melaka yang jauh lebih besar daripada meriam yang dipunyai
oleh Portugis dan meriam itu telah dihantar ke India.
Catatan yang lain pula, seperti
yang dinukilkan oleh Godinho Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de
Faria Y Souza dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, sewaktu kedatangan
Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat
banyak. Tiga ribu
pucuk meriam besar telah dijumpai dalam kota Melaka, 5000 pucuk lagi telah sempat
dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang.
Albuquerque menyatakan bahawa
terdapat 2000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain
diperbuat daripada besi di Melaka. Faria y Souza mengatakan bahawa sebahagian
besar daripada 8000 pucuk senjata api atau meriam yang dipunyai kerajaan Melaka
adalah berasal dari Pahang. Ini bermakna Pahang merupakan sebuah negeri
penghasil senjata api yang berkualiti dan banyak pada zaman itu.
Menurut Eredia lagi, semua
meriam-meriam itu dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi
walaupun dengan meriam buatan Portugis. Daripada catatan Eredia ini, dapat
disimpulkan bahawa teknologi senjata api yang dimiliki oleh bangsa Melayu
Melaka pada waktu tersebut adalah sama tarafnya dengan teknologi persenjataan
orang Eropah, malahan mungkin lebih baik.
Seorang berbangsa Itali yang
terlibat di dalam penyerangan terhadap Melaka pada tahun 1511 menyatakan bahawa
terdapatnya penggunaan pelbagai jenis senjata api berat yang telah menyebabkan
kehilangan nyawa yang agak ramai di pihak portugis. Menurut beliau, walaupun
akhirnya tentera Melayu Melaka kalah, namun mereka digambarkan mempunyai
semangat keperwiraan yang tinggi, sangat terlatih dalam ilmu peperangan dan
mempunyai simpanan senjata yang bermutu serta pelbagai.
Thomas John Newbold, seorang
pegawai British di Melaka pernah mencatatkan di dalam Political and Statistical Account of
the British Settlements in The Straits Of Malacca, Volume 2bahawa
kilang-kilang yang menghasilkan senjata api seperti meriam-meriam milik bangsa
Melayu sudah lama bertapak bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan di
sekitar Kepulauan Melayu. Terengganu menjadi hub penghasilan senjata api di
Semenanjung, manakala Gerisik merupakan hub untuk Pulau Jawa, dan hub untuk
Sumatera pula ialah Minangkabau.
Bahkan Newbold turut mengulas
mengenai pemandangan biasa yang dilihatnya ketika berada di Tanah Melayu pada
abad ke-18 yang dipercayai Newbold sudah lama budaya itu itu bertapak di Tanah
Melayu. Katanya, tidaklah sesuatu yang menghairankan andai dapat melihat
pendekar Melayu yang lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan
senjata api Melayu seperti Istingar.
Kita lihat pula tulisan R. J.
Wilkinson, “The Capture of
Malacca, A.D. 1511”. Beliau menyebut mengenai beberapa perkataan
sepert “Malay gun-fire” dan “heavy fire” merujuk kepada bala askar Melaka
ketika itu ketika menceritakan mengenai kejatuhan Melaka yang boleh dijadikan
dalil bahawa orang Melayu kita ketika itu sudah memiliki senjata api.
Diceritakan bahawa ketika askar
Portugis cuba memasuki muara Sungai Melaka yang cetek dan berlumpur itu, mereka
telah dihujani oleh divisyen askar Melaka yang menggunakan senjata api dan
menghujani askar Portugis dengan senjata api.
Walaupun dalam naskah Sulalatus
Salatin ada ditulis yang serangan meriam Portugis menggemparkan orang Melaka
bagai bertih digoreng, namun petikan tersebut harus ditafsir sebagai penyedap
cerita untuk khalayak pembaca atau pendengar. Jambatan Melaka yang kita lihat
dalam lukisan seperti di muzium atau dalam buku-buku teks sejarah yang sering
digambarkan dengan penuh daif dan uzur juga perlu kita buang jauh-jauh.
Catatan Portugis sendiri
mendapati jambatan tersebut terbina dengan sangat kukuh, malah rekod-rekod
China beberapa dekad sebelum serangan Portugis melaporkan bahawa ada lebih
kurang 20 buah kedai di atas jambatan tersebut. Saya menggambarkan jambatan ini
seperti jambatan London Bridge yang pada zaman pertengahan penuh dengan
kedai-kedai. Pihak Portugis juga mengalami kesukaran dan mengambil masa untuk
merobohkan jambatan tersebut atas maklumat risikan dari Ruy de Aroujo.
Di dalam buku teks sekolah juga
kita diberitahu atau digambarkan pertempuran berlaku di daratan kota Melaka
sahaja, namun dari catatan Portugis didapati pertempuran sebenarnya telah
bermula sejak di laut lagi. Sebelum pihak Portugis berjaya mendarat, mereka
dilaporkan telah diserang tentera Melaka di perairan yang mengakibatkan
kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis.
Pihak Melaka menggunakan perahu
atau lancara yang diisi dengan minyak dan bahan pembakar kayu serta dihalakan
ke kapal-kapal Portugis. Taktik ‘Fire Ship’ ini sering digunakan di Eropah juga
seperti dalam perang Inggeris dengan Sepanyol pada zaman ratu Elizabeth.
Selain itu tembakan meriam dari
Melaka menghala ke kapal-kapal Portugis juga turut mendatangkan kecelakaan.
Oleh itu pendapat yang mengatakan meriam Melaka tidak boleh menembak jauh juga
harus dibuang kelaut.
Melaka juga melaksanakan
strategi menggertak dan tindakan perang psikologi untuk menakutkan pihak lawan
dengan mengeluarkan sejumlah perahu perang, lancara, tongkang, sampan dan
sebagainya yang lengkap bersenjata untuk menunjukkan kekuatannya kepada
Portugis. Walaupun begitu kekuatan sebenar Melaka yakni armada jong perang yang
diketuai laksamana pada waktu itu tiada di perairan.
Maklumat daripada catatan
Giovani Da Empoli mengesahkan bahawa
tentera Melaka telah menggunakan lancara serta perahu berapi untuk memusnahkan kapal
Portugis. Di kawasan pantai pula pertahanan dikukuhkan dengan
pancangan kayu dan besi-besi tajam atau kawat beracun serta meriam-meriam
pelbagai jenis besar dan kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru.
Sebenarnya saudara sekalian
perang Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat. Pada masa ketibaan
Portugis pada 28 Jun 1511 pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua
belah pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapa
yang akan menyerang dahulu.
Hal ini diselangi dengan sesi
perundingan dan diplomasi yang tidak kemana. Pihak Portugis mahu tawanan
Portugis termasuk Ruy de Aroujo dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu keadaan
mula semakin tegang. Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut dan
dikawasan penginapan para pedagang berdekatan pantai.
Portugis menyerang empat kapal
Jawa dan sebuah kapal Sumatera. Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat di
pelabuhan juga dibakar termasuk rumah penduduk di pantai. Walaupun Sultan
kemudiannya membebaskan tawanan, namun perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.
Pihak Portugis sebenarnya
sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka telah mempunyai
perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi risikan atau
maklumat yang diberi oleh Ruy de Aroujo dan orang-orang dalaman Melaka sendiri
seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan Nainachittu. Melaka mempunyai
musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya sendiri. Namun demikian
Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka.
Albuquerque sendiri pernah
menyebut bahawa
“Kita tidak akan dapat menawan
melaka dengan hanya dua batang pedang yang berkarat!”
Di waktu subuh sebelum serangan
habis-habisan dilancarkan, Albuquerque memberi ucapan bahawa Melaka harus
ditundukkan supaya aliran rempah tidak akan sampai ke Makkah dan Kaherah dan
sinar Islam disini akan padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat
sebenar mereka.
Barisan ketenteraan Portugis
sebenarnya lebih ramai dari yang kita ketahui. Namun kita sering mendengar
jumlah tentera Portugis hanyalah 1200 orang termasuk 600 tentera upahan
Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah.
Maklumat daripada catatan
Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu tiba di Pedir, jumlah kapal termasuk yang
ditawan di perjalanan mencecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan buah kapal dari
Cambay lagi menjadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Dengan demikian kita
menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal telah tiba di perairan Melaka.
Malahan terdapat beberapa buah
kapal lagi di Melaka yang ditawan dan tawanannya dijadikan barisan sokongan
dalam serangan keatas Melaka. Giovanni turut melaporkan bahawa dalam serangan
pada 25 Julai 1511 terdapat 1500 orang tentera Portugis yang terlibat, dengan
pasukan bantuan daripada orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan dari seorang
putera Sumatera (Raja Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang
400 orang.
Ini semua belum termasuk
tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, malah orang-orang Keling dibawah
Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang sengaja berperang dengan tidak
bersungguh-sungguh setelah ketua mereka Utimutiraja disogok Portugis.
Pertempuran berlaku dengan
sengit di beberapa lokasi seperti di Jambatan, bukit Melaka, Bandar pelabuhan,
Istana dan Masjid sultan. Pertahanan Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan
tentera Jawa yang pada permulaan ogos dibayar tiga bulan gaji terkehadapan
disamping barisan pejuang Turki dan Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang.
Seperti yang saya telah
sebutkan tadi, walaupun tentera Jawa ini telah dibayar gaji awal untuk tiga
bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Melaka
kerana penghulu mereka Utimutiraja telah membuat pakatan dengan Alfonso de
Albuquerque dan memberitahu anak-anak buahnya agar ‘tidak perlu bersusah payah
menggadaikan nyawa sendiri untuk mempertahankan harta benda orang lain’.
Persoalannya adakah kekuatan
Melaka yang sebenar telah digunakan sepenuhnya? Sebenarnya kekuatan Melaka yang
sebenar adalah terletak pada armada lautnya. Namun demikian armada laut Melaka
yang terdiri daripada jong-jong yang besar tidak berada di perairan Melaka pada
ketika itu.
Sebelum mulanya serangan yang
penghabisan oleh Portugis, Sultan sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan
dan cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana. Namun
tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut diketahui
Portugis yang menyebabkan serangan total dilakukan sebelum sempat armada itu
sampai.
Hal ini disebabkan pihak
Portugis sangat takut dengan risikan yang diberikan oleh Ruy de Aroujo yang
mengatakan bahawa Sultan Melaka mempunyai satu armada laut yang sangat kuat
yang diketuai oleh seseorang yang bernama ‘Laksamana’ yang dapat membakar
hangus seluruh armada Portugis jika mereka lambat bertindak.
Terdapat catatan dari Portugis
yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana bersama armada Melaka
sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin
sekitar Riau-Lingga. Ini kerana dalam catatan tersebut diberitahu bahawa Raja
Lingga bersama Laksamana telah berpatah balik apabila mengetahui bahawa Melaka
sudah jatuh ke tangan Portugis dan Sultan Mahmud Shah dan keluarganya berundur
ke Bentayan di Muar.
Pada pendapat saya Raja Lingga
dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar
Melaka kerana adat Melayu itu 10 negeri boleh dicari, selagi ada raja
berdaulat. Jadi jika raja berundur maka pembesar dan raja-raja taklukannya
tidak akan membuat keputusan sendiri untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya
berundur bersama Sultan untuk mengatur strategi baru.
Sultan Mahmud Shah juga
dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah raja mati, yang
melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat selagi baginda dan
waris-warisnya belum mati.
Apa yang dapat saya simpulkan
disini ialah kekalahan Melaka kepada Portugis bukanlah satu kekalahan yang
mudah seperti yang sering disebut-sebut. Bukan disebabkan teknologi
persenjataan yang lemah dan bukan kerana kejakunan tentera Melaka terhadap
tembakan meriam tentera Portugis. Barisan pertahanan Melaka telah berjuang
berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertanahan, taktik dan strategi
pertempuran.
Pihak Portugis sendiri mengakui
bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka adalah gagah perkasa dan terlatih dalam
ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata berpotensi.
Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada kekuatan Portugis. Orang
Portugis mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut yang sama hebatnya
dengan bangsa Melayu.
Sebelum mereka menyerang Melaka
banyak kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya mereka
tawan, malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki Uthmaniah yang terkenal
hebat itu.
Kekalahan Melaka adalah sebab
kurangnya kesepaduan dan kesepakatan diantara ‘Anakvanua’, dan sikap terlalu
memberi kepercayaan kepada ‘anak dagang’ atau bangsa ‘asing’.
Bak kata pepatah ‘apalah
diharap pada dagang, bertukar musim berlalulah ia’.
Sikap terlalu bertoleransi yang
ditunjukkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri
sendiri apabila golongan-golongan ‘dagang’ ini mula menunjukkan belang mereka
dan menikam dari belakang!
Baik dagang Kalingga, dagang
Ming, dagang Burma, maupun dagang Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa,
semuanya menjadi duri dalam daging. Harapkan pegar,pegar pula makan padi.
Peristiwa ini seharusnya
menjadi pengajaran kepada anak-anak vanua pada hari ini, dan bukannya kisah
Melaka kalah berperang kerana menggunakan keris dan sumpit semata-mata yang
ternyata tidak benar.
Sekian, wallah hu a’lam.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.