Minyak
enjin dari sawit
TMP ialah ester metil minyak sawit bersifat
mesra alam dan meningkatkan biodegrasi. Minyak ini mengurangkan pencemaran
alam, tidak toksik, melindungi enjin untuk tempoh lama dan bersifat bio.
Ketua Penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan
Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan UPM Prof Dr Robiah Yunus berkata,
TMP ialah ester sintetik yang boleh digunakan sebagai minyak asas bagi pelbagai
jenis pelincir termasuk minyak enjin.
Beliau berkata, minyak sawit bahan mentah
untuk menghasilkan ester TMP dengan menggunakan teknologi tekanan rendah untuk
memastikan ester TMP yang terhasil stabil pada suhu tinggi seperti dalam minyak
enjin.
“Ester TMP yang berada di pasaran kini
dihasilkan dengan tindak balas pengesteran menggunakan asid lemak sebagai bahan
mentah.
“Ia mempunyai kualiti rendah kerana kandungan
asid yang tinggi dan kekurangan kestabilan oksidatif. Green Synthetic Engine
Oil dihasilkan melalui proses transesterifikasi (tindak balas kimia di antara
alkohol dan ester) menggunakan ester metil sawit sebagai bahan mentah.
“Penggunaan teknologi tekanan rendah
memastikan kestabilan haba dan oksidatif pada produk,” katanya pada sidang
media selepas Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko
Antarabangsa (IGEM 2016) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru
ini.
Majlis pelancaran minyak berkenaan
disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar
Mohamad Diah. Hadir sama Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.
Robiah berkata, penyelidikan yang bermula dari
2003 hingga 2013 itu membabitkan penyelidik antaranya Dr Ooi Tian lye, Dr Siti
Zubaidah Sulaiman, Dr Chang Teck Sin dan Dr Nurin Zulkifli.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelincir khas
perlu digunakan pada enjin petrol untuk mengurangkan geseran, melawan
pengoksidaan, mengurangkan pembentukan bendasing dan mencegah hakisan.
“Satu formula khas telah dibangunkan dengan
menggunakan ester TMP dan bahan aditif terpilih untuk memenuhi keperluan
pasaran.
“Bahan api atau bahan api bio yang lain mudah
dibakar untuk membentuk karbon dioksida dan air selepas setiap penggunaan.
Tetapi, minyak enjin motor akan kekal sama selepas penggunaan beberapa ribu
kilometer (km) perbatuan.
“Minyak ini perlu diganti sekurang-kurangnya
setiap 5,000km dan akan dikitar semula sehingga ia tidak dapat dikitar lagi dan
perlu dilupuskan,” katanya.
Robiah berkata, perkara itu membimbangkan
kerana petroleum berasaskan minyak enjin tidak mesra alam dan tidak terurai. Oleh
itu, penting untuk menghasilkan minyak yang boleh terurai supaya apabila
dilupuskan ia tidak mencemarkan alam sekitar.
“Penggunaan ester TMP sebagai minyak asas atau
campuran dalam minyak enjin biosintetik dapat meningkatkan biodegrasi dan
pelinciran minyak enjin.
“Minyak enjin ini direka untuk membantu
meningkatkan prestasi, kuasa pembersihan dan perlindungan enjin. Minyak ini
juga mengurangkan pencemaran alam sekitar yang berkaitan dengan produk
petroleum.
“Ujian makmal menunjukkan minyak biosintesis produk
berkesan untuk melindungi enjin dan jentera. Ia juga berasaskan bio, mesra
alam, tidak toksik dan tidak terkumpul dalam organisma marin.
“Selain itu, minyak motor dan pelincir yang
dirumuskan dengan ester TMP juga boleh dikitar semula dan dilupuskan dengan
lebih bebas berbanding minyak berasaskan petroleum,” katanya.
Menurutnya, minyak enjin ini sesuai digunakan
untuk jentera pertanian dan kenderaan biasa kerana ia bersifat terbiodegrasi
dan dapat melindungi alam sekitar semasa tumpahan tidak sengaja atau pelupusan
haram.
“Teknologi untuk
menggunakan ester TMP dalam minyak enjin telah dilesenkan kepada D2O Resources
Sdn Bhd. Bagaimanapun, minyak enjin berdasarkan ester TMP masih di peringkat
percubaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:56
AM
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.