Misteri Kejatuhan Melaka 2
Aku pernah tertanya-tanya, apakah yang mungkin
akan terjadi jika Ratu Isabella I dan raja-raja Sepanyol sebelum beliau gagal
menjarah Bumi Andalusia? Apakah implikasinya terhadap Nusantara? Dengan izin
Allah, artikel ini bakal menjawab persoalan ini…
Kejatuhan Kota Alhambra, Granada yang merupakan
kejatuhan Andalusia secara total ke tangan Ratu
Isabella I dari Castile dan Raja Ferdinand II dari Aragon ditangisi oleh umat
Islam hingga ke hari ini. Bagiku, kecewa, sedih dan marah lebih terasa apabila
melihat tinggalan sejarah berseni indah di Cordoba, Toledo dan Granada.
Tahukah anda bahawa gabungan Ratu Isabella I
dan Raja Ferdinand II bukan sahaja menamatkan era gemilang Kerajaan Islam di
Andalusia tetapi juga telah menyebabkan huru hara di Asia Selatan dan Nusantara
dek kerana rempah ratus dan kekayaannya yang amat bernilai. Dalam erti kata
yang lain, disebabkan mereka berdualah Belanda dan Inggeris belayar ke Timur
Jauh.
Namun, apa kaitan Ratu Isabella I yang
menakluk kota terakhir Andalusia iaitu Granada pada tahun 1492 Masihi, dengan
kejatuhan Kota Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1641 Masihi? Apa yang
berlaku di dalam period 150 tahun di antara kedua-dua peristiwa tersebut? Untuk
merungkai persoalan ini, aku perlu bermula dengan implikasi perkahwinan Ratu
Isabella I dan Raja Ferdinand II.
Zaman kejatuhan Andalusia bermula apabila
tempoh yang dikenali sebagai Period Taifa bermula. Kerajaan-kerajaan kecil
Islam di Andalusia yang sering bertelagah tentang soal kawasan jajahan dan juga
pertelingkahan yang sering terjadi di antara masyarakat Islam Iberia, Arab dan
Berber telah menyebabkan institusi kerajaan Islam ini melemah.
Raja-raja kecil ini sering mendapatkan
bantuan tentera Kristian Iberia untuk menjatuhkan sesama mereka. Sebagai
contoh, Raja Islam Toledo telah membayar upah yang tinggi kepada Raja Navarre
(Kristian) untuk menyerang Kerajaan Islam Zaragoza.
Raja Islam Zaragoza pula membayar upah yang
tinggi kepada Raja Castile (Kristian) untuk menyerang kembali Toledo. Inilah
permainannya di zaman itu.
Semakin lama, Kerajaan Kristian Iberia
seperti Castile, Navarre, Leon dan lain-lain semakin kuat. Dipendekkan cerita,
kota Islam terakhir iaitu Alhambra, Granada akhirnya jatuh ke tangan Ratu
Isabella I dan menamatkan sekaligus pemerintahan raja Islam terakhir iaitu
Sultan Muhammad XII.
Penyatuan Wilayah Castile dan Aragon melalui
perkahwinan Ratu Isabella I dan Raja Ferdinand II ini akhirnya melahirkan
Negara Sepanyol di bawah kekuasaan ‘House of Habsburg’ yang disatukan oleh
cucunya Raja Charles I. Agak kompleks untuk menerangkan peranan ‘Keluarga Di
Raja’ yang di panggil ‘House’ ini di Eropah. Aku sarankan bacaan lanjutan
dibuat untuk memahami konsep ‘House’ ini.
Cicit Ratu Isabella I, iaitu Raja Philip I
kemudiannya menakluk Portugal pada tahun 1581 Masihi. Maka bermulalah penyatuan
Empayar Sepanyol-Portugis di seluruh dunia. Bagi Orang Portugis, mereka tidak
dapat menerima hakikat negara mereka ditakluk dan sering berlakunya penentangan
terhadap ‘penjajah’ Sepanyol. Perlu diingat, pada waktu ini Melaka sudah berada
di tangan Portugis. Moral tentera Portugis di India dan Nusantara juga
terjejas. Tuan besar Kota Melaka sebenarnya ialah Sepanyol, bukan Portugis
lagi.
Adakah anda tahu bahawa peperangan di antara
Belanda/Inggeris dengan Sepanyol-Portugis bermula kerana kapal perang Inggeris
telah merampas kapal dagang Portugis yang bernama Madre de Deus pada tahun 1592
Masihi? Kapal ini sarat dengan bahan dagangan yang nilainya sepertiga daripada
kekayaan perbendaharaan Inggeris ketika itu. Kejadian inilah yang menyebabkan
Belanda/Inggeris menyedari akan kekayaan Nusantara dan rempah ratusnya.
Dinasti Habsburg tidak mahu berkongsi
kekayaan ini dengan Inggeris/Belanda dan memaksa Belanda/Inggeris mencari jalan
sendiri ke Timur Jauh. Pada tahun 1595, Jan Huyghen van Linschoten menerbitkan
penulisannya tentang pelayaran ke Timur Jauh. Maka bermulalah ekspedisi
ketenteraan Inggeris/Belanda pada tahun 1602 Masihi ditunjangi oleh VOC
(Syarikat Hindia Timur Belanda) dan EIC (Syarikat Hindia Timur Inggeris).
Belanda mula berdagang di Aceh dan
bercita-cita untuk menduduki Kepulauan Jawa dan juga Melaka. Modus operandi
mereka mudah, di mana ada Portugis atau Sepanyol, di situlah mereka perlu
pergi, sama ada untuk menjarah tanah itu atau berdagang.
Setelah mengambil alih Jayakarta dan membina
kubu mereka di sana, pada tahun 1606 Masihi, Belanda melakukan serangan ke atas
Sepanyol-Portugis di Melaka yang diketuai oleh Cornelis Matelief de Jonge.
Beliau dibantu oleh tentera Melayu Kesultanan Johor di bawah pemerintahan
Sultan Alauddin Riayat Shah 3. Serangan ini gagal, namun memberi tamparan yang
hebat terhadap Portugis.
Namun, serangan terakhir bermula pada tahun
1640 Masihi telah membuahkan hasil. Apakah yang terjadi di belakang tabir
sehingga jatuhnya Kota Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1641 Masihi ini?
Nun jauh beribu batu di Portugal, telah
meletusnya peperangan yang dinamakan ‘Portugese Restoration War’ yang bermaksud
‘Peperangan Mengembalikan Hak Portugis’.
Peperangan jauh di Eropah ini melemahkan
posisi Sepanyol-Portugis di Nusantara kerana bantuan dari Lisboa dan Goa
semakin berkurangan. Tentera Portugis pula tidak lagi bermotivasi untuk
mempertahankan kubu dek kerana peperangan menentang Dinasti Habsburg di kampung
halaman.
Sebenarnya, Kota A Famosa itu amat ranum
sekali untuk ditawan oleh kuasa-kuasa di sekelilingnya. Namun, Belanda yang
berhasil menakluknya.
Begitulah secara ringkasnya hubungan di
antara Ratu Isabella I, Dinasti Habsburg dan juga kedatangan Belanda/Inggeris
ke Nusantara. Tidakkah anda berasa hairan mengapa Pulau Semenanjung dan
Kepulauan Indonesia bertukar tangan antara Inggeris dan Belanda bagaikan
menukar baju?
Ya, mereka adalah sekutu menentang gandingan
Portugis-Sepanyol di Eropah dan serata alam.
Ratu Isabella I bukan sahaja melenyapkan
Kerajaan Islam Andalusia tetapi legasinya juga tanpa sedar menyebabkan
terpisahnya Nusantara menjadi Semenanjung Tanah Melayu dan Gugusan Kepulauan
Indonesia hasil daripada Perjanjian London 1824.
Perlukah aku nyatakan legasi Ratu Isabella I
ini dengan kisah pemurtadan umat Islam di Kepulauan Filipina dan juga
pembantaian Kaum Mayan semasa kempen ‘Conquistador’ (Penaklukan) di Amerika
Selatan?
Konklusi besar yang boleh aku simpulkan
ialah, “jika Kerajaan Islam itu bersatu padu dan kuat, tiadalah Ratu Isabella
dan penaklukannya, maka tiadalah kisah penaklukan Habsburg ke atas Portugal,
maka mungkin penjelajahan Belanda/Inggeris ke Timur Jauh keterlewatan puluhan
malah mungkin juga ratusan tahun, maka Kota Melaka itu masih terisolasi di tangan
Portugis.
Apakah peluang Kesultanan Melayu yang ada
untuk merampas kembali Kota Melaka yang terisolasi ini daripada cengkaman
Portugis tanpa kelibat Belanda? Apakah bentuk kerajaan moden di Nusantara tanpa
Perjanjian London 1824 di antara Belanda dan Inggeris?”
Ketika Sultan Muhammad XII menunggang kuda
meninggalkan Kota Alhambra, beliau menangis teresak-esak sambil berpaling
melihat kota yang indah ini buat kali yang terakhir. Ibunya menghampiri dan
berkata…
“Janganlah kau menangis seperti seorang
wanita untuk apa yang engkau tidak dapat pertahankan seperti seorang lelaki”
Implikasi daripada kebodohan dan kesilapan
lampau akhirnya terbawa ke Nusantara. Sejarah itu mengajar, bukan sekadar untuk
bernostalgia. Janganlah suatu hari nanti aku dan anak cucuku menangis seperti
anak kecil.
Sekian
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.