Kerajaan Islam China Yang Dilupakan
Saya
berpendapat pasti tak ramai yang tahu bahawa di tanah besar China pernah wujud
sebuah kesultanan Islam. Ya, kerajaan Islam yang menjadikan Islam sebagai agama
rasmi malah pemerintahnya adalah seorang Sultan, bukannya Maharaja seperti
dinasti China yang lain seperti kerajaan Ming, Yuan dan Song yang kononnya
adalah kerajaan Islam padahal agama rasminya belum tentu Islam. Namun kerajaan
Islam Dali memang pernah wujud di selatan China iaitu di Yunan. Kerajaan ini
ditubuhkan pada tahun 1856 rentetan daripada peristiwa pemberontakan orang-orang
Islam Hui dan Uyghur di seluruh China terhadap penindasan kerajaan pusat
Emperial China Dinasti Qing.
Pemberontakan
ini berlaku kerana kerajaan Manchu kurang berkompromi dengan orang-orang
beragama Islam berbanding Dinasti-dinasti China lain sebelum ini. Mereka tidak
dibenarkan berkumpul di masjid malah tidak dibenarkan menyembelih lembu. Hal
ini kerana bangsa Manchu adalah penganut Buddha yang kuat dan mereka adalah
bangsa asing dari rumpun Moggol yang berasal dari Manchuria.
Pemberontakan
bertambah buruk apabila berlakunya peristiwa pergaduhan diantara pelombong Cina
Muslim dengan Cina bukan islam dan kemudiannya menjadi konflik keagamaan yang
melarat-larat. Pada tahun 1855, kelompok majoriti Islam Yunnan memberontak lagi
kerana menentang polisi-polisi pegawai dinasti Qing yang menekan mereka.
Sebahagian mereka berasa tidak puas hati kerana dihalang naik pangkat sebagai
pegawai walaupun telah menjalani peperiksaan kerajaan. Para pegawai tinggi Qing
secara rahsia menyuruh perusuh untuk menyerang orang cina muslim yang kaya bagi
mencetuskan kekacauan anti-orang Islam, dan memulakan satu konflik agama yang
membawa kepada pemusnahan masjid-masjid dan perniagaan orang Islam cina.
Namun
demikian pemberontakan orang-orang cina Muslim akhirnya berjaya menawan bandar
Dali yang menjadi pangkalan bagi operasi orang Muslim, dan mereka
mengisytiharkan kota itu mereka sebagai entiti politik yang terpisah daripada
China. Mereka menamakan negara mereka sebagai Pingnan Guo iaitu, Negara Selatan
yang Aman.
Pemimpin
mereka adalah Sulayman ibn `Abd ar-Rahman yang dikenali sebagai Du Wenxiu yang
juga digelar Qa´id Jami al-Muslimin iaitu ‘Ketua Jemaah Orang Islam’, namun
biasanya dirujuk dalam sumber-sumber asing sebagai sultan sahaja. Beliau
memerintah dari tahun 1856 hingga 26 Disember 1872. Sultan Du juga telah
mewajibkan penggunaan tulisan Arab dan pengajaran bahasa Arab di dalam
kerajaannya. Baginda juga mengharamkan babi bagi seluruh kawasan
pemerintahannya tidak kira terhadap orang Islam atau bukan Islam.
Tentera
cina muslim Yunnan, pernah mengepung bandar Kunming iaitu ibu kota Yunnan untuk
beberapa kali iaitu dalam tahun-tahun 1857, 1861, 1863 dan 1868. Ma Rulong,
seorang pemimpin pemberontak Hui dari selatan Yunnan, telah mengepung bandar
tersebut pada tahun 1862, tetapi berpaling tadah kepada tentera kerajaan pusat
setelah ditawarkan jawatan dalam tentera kerajaan.
Namun para pengikutnya yang masih mahu berjuang menegakkan Islam telah mengambil peluang itu untuk membunuh Jeneral Gabenor Pan Duo, lalu merampas bandar itu daripada pihak Qing pada tahun 1863 dengan niat menyerahkan bandar itu kepada Du Wen xiu Sultan mereka. Walau bagaimanapun, sebelum pasukan tentera Du sampai, Ma Rulong dengan bantuan seorang pegawai tentera Qing iaitu Cen Yuying telah menyerang ke Kunming dan mendapatkan kembali ibukota wilayah tersebut dari tangan orang Islam.
Kemudian,
apabila tentera pihak Qing mula dapat mengatasi orang-orang Islam Yunnan dan
mengepung kota Dali, Sultan Du telah mengirim surat kepada Ratu Victoria
melalui anaknya putera Hassan pada tahun 1872 untuk meminta pengiktirafan rasmi
dan bantuan ketenteraan daripada Empayar British, walau bagaimanapun permintaan
ini ditolak.
Nampaknya
Du telah tersalah tempat untuk meminta pertolongan, jelas di sini kerajaan
tidak akan membantu mana-mana negara Islam. Kerajaan Kesultanan Islam Dali
akhirnya ditumpaskan apabila tentera Qing berjaya menyerang dan merampas Dali
dengan bantuan ketenteraan berupa pakar dan persenjataan dari Perancis. Mereka
telah membunuh dan memenggal kepala ‘sultan’ Du. Kepala baginda dibawa ke
Beijing dan dipersembahkan kepada Maharaja sebagai bukti dan ditunjukkan kepada
para pembesar. Jasad beliau telah disemadikan di Xiadui.
Dunia
termasuk masyarakat Islam sendiri tidak tahu malah telah melupakan kekejaman
yang berlaku terhadap masyarakat Islam di Yunnan. Pemberontakan berdarah itu
telah menyebabkan kematian sebanyak satu juta orang Islam di Yunnan dan
melenyapkan satu-satunya kesultanan Islam di China. Akibatnya ramai pelarian
Hui yang terselamat melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Burma,
Thailand dan Laos, lalu membentuk populasi minoriti Cina Hui di negara-negara
tersebut yang masih wujud hingga sekarang. Oleh sebab itu jika kita melancong
ke utara Thailand, kita pasti akan terjumpa dengan komuniti Islam di sana.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.