Negara Islam terbesar Indonesia & sengketa
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
ARKIB : 11/03/2001
Oleh: MARZUKI YUSOFF
SETELAH 1,024 hari berlalu sejak mahasiswa Indonesia berjaya menggulingkan Presiden Suharto pada 21 Mei 1998, rakyat republik itu sehingga kini masih mencari-cari pemimpin sejati yang boleh menyelamatkan negara mereka.
Walaupun tempoh dua tahun dua ratus sembilan puluh empat hari itu
bagi sesetengah pihak dianggap singkat, tetapi dalam tempoh itu Indonesia sudah
mempunyai dua Presiden iaitu B.J Habibie dan Abdurrahman Wahid atau Gus Dur.
Seperti juga nasib Suharto, Habibie digulingkan melalui cara yang
sama dan kini mahasiswa Indonesia terus berusaha menggunakan saluran
demonstrasi jalanan untuk menundukkan Gus Dur.
Gus Dur, walaupun buta penglihatan tetapi beliau bukan
calang-calang pemimpin yang begitu mudah mengaku kalah.
Dengan sokongan padu daripada berpuluh juta anggota Nahdatul Ulama
(NU), demonstrasi jalanan mahasiswa akhirnya harus berdepan dengan rusuhan
lebih ganas oleh para pengikut Gus Dur.
Sebarang paksaan dan penggunaan kekerasan ke atas Gus Dur diyakini
akan membawa Indonesia ke arah situasi yang lebih membahayakan. Ia boleh
mencetuskan perang saudara. Sejarah silam Indonesia telah membuktikan perkara
itu bukannya sesuatu yang mustahil.
Sukar untuk menentukan sampai bila mahasiswa republik itu akan
terus berdemonstrasi sedangkan situasi dalam negara bukan semakin membaik
tetapi bertambah buruk. Selain politik yang tidak stabil, Indonesia diancam
tuntutan kemerdekaan daripada beberapa wilayahnya.
Dunia kini melihat Indonesia sebagai sebuah negara Islam terbesar
dunia yang sedang sakit tenat.
Jika Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) mengalami kehancuran
dan pengecilan wilayah ekoran slogan glasnost (keterbukaan) dan perestroika
(penyusunan semula) yang dipopularkan oleh Presiden Mikhail Gorbachev yang mula
berkuasa pada tahun 1985, kini nasib serupa menghantui Indonesia.
Rakyat Rusia menyalahkan Gorbachev sehingga terpisahnya 11
daripada 12 republik yang membentuk USSR iaitu Ukraine, Armenia, Azerbaijan,
Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Moldova, Tajikistan, Turkmenistan dan
Uzbekistan.
Slogan reformasi atau pembaharuan yang diperjuangkan oleh
ahli-ahli politik berkepentingan di Indonesia dengan memperalatkan mahasiswa
juga kelihatan semakin memporak-perandakan negara berkenaan. Ia jelas telah
memecah-belahkan rakyatnya.
Pemecahan Indonesia sebagai sebuah negara bersatu semakin menjadi
kenyataan setelah Timor Timur memperoleh kemerdekaannya pada 30 Ogos 1999.
Kemerdekaan Timor Timur itu membuatkan Indonesia kehilangan
wilayahnya yang ke-27.
Kini dominasi kuasa di Jakarta berdepan dengan desakan kuat
kemerdekaan dan autonomi daripada sejumlah wilayahnya termasuk Acheh, Irian
Jaya, Maluku, Bali, Sulawesi dan Kalimantan.
Malah, wilayah yang dulunya tidak menunjukkan sentimen permusuhan
seperti Riau di Sumatera mula terpengaruh untuk mendapatkan hak yang serupa.
Tuntutan ketara dalam gerakan mendapatkan kemerdekaan itu adalah
Irian Jaya. Para pemimpin suku kaum di wilayah itu sudah menggunakan saluran
antarabangsa untuk melobi ke arah pemerintahan sendiri.
Di Acheh, wilayah yang dianggap sebagai Serambi Mekah, penentangan
rakyatnya semakin hebat. Pada tahun ini saja hampir 300 penduduknya terbunuh
apabila beberapa pertempuran berlaku antara tentera Indonesia dengan
anggota-anggota gerila Gerakan Acheh Merdeka (GAM).
Pertempuran antara penduduk pendatang yang dilindungi oleh pihak
berkuasa dengan penduduk tempatan yang percaya mereka dipinggirkan dalam
pembangunan daerah mereka dikesan meletus dari Sumatera hingga ke Celebes.
Krisis politik yang bergelora diburukkan lagi de-ngan kemelut
ekonomi yang tiada penghujungnya. Ini membuatkan sesetengah rakyat di luar
kepulauan Jawa menjadi muak untuk terus berada di bawah kendalian Jakarta.
Persaingan hebat untuk hidup terlihat semakin memperkuatkan
semangat kesukuan dan memelihara hak-hak wilayah mereka sehingga bumi Indonesia
kini bukan lagi bebas untuk diterokai atau dihuni oleh penduduk yang bukan suku
kaum setempat.
Fenomena itu sudah berlaku di Kalimantan sejak beberapa minggu
lalu apabila suku peribumi Dayak yang majoritinya beragama Kristian tidak lagi
dapat menerima kehadiran suku Madura yang majoritinya beragama Islam.
Kebencian dan saling mendendam antara suku peribumi di Kalimantan
dan Maluku misalnya sudah mencapai ke peringkat menakutkan apabila
gambar-gambar yang dirakamkan menunjukkan kepala kanak-kanak dan wanita dari
suku Madura yang dipenggal diarak sekeliling kampung.
Keadaan serupa terlihat di Maluku apabila suku peribumi yang
majoritinya Kristian terus bermandi darah menentang kehadiran suku peribumi
pendatang beragama Islam.
Di Bali dan Sulawesi, sentimen membenci suku peribumi pendatang
juga semakin kelihatan ekoran terhakisnya taat setia kepada pemerintahan pusat
di Jakarta.
Sukar untuk dipercayai, sebuah negara yang pada tahun 1990-an
mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat akhirnya terpaksa menampung hampir
satu juta pelarian yang terdiri daripada penduduk negara sendiri.
Krisis ekonomi Indonesia menyukarkan lagi keadaan. Semuanya itu
adalah angkara sengketa yang tidak kunjung padam dan mangsa slogan reformasi
yang diagung-agungkan.
Mereka yang menjadi pelarian ini terdiri daripada penduduk dari
wilayah yang diancam pergaduhan antara etnik atau agama termasuk yang berlaku
di Kalimantan dan Maluku.
Mungkinkah, negara berpenduduk 220 juta itu mengalami proses
perpecahan wilayah seperti yang berlaku di rantau Balkan?
Sekiranya perseteruan antara elit-elit politik di Jakarta tidak
ditangani segera, apakah proses Balkanisasi itu akan lebih cepat berlaku di
Indonesia yang mempunyai 200 kumpulan etnik yang bertaburan di 13,000 pulau?
Bagaimanapun, ada pemerhati berpendapat Tentera Nasional Indonesia
(TNI) akan mengambil alih teraju kepimpinan jika ada wilayah lain cuba untuk
memisahkan diri daripada pemerintahan pusat di Jakarta.
Namun begitu, segala kemungkinan boleh berlaku apalagi Indonesia
kini berada dalam keadaan lemah, tertekan dan miskin.
Hutangnya yang berjumlah berbilion dolar Amerika Syarikat (AS)
membuatkan negara itu terikat dengan tekanan Barat. Apalagi dalam situasi
sekarang apabila tiada kuasa besar lain yang boleh menyekat AS dan
sekutu-sekutu Baratnya daripada menyokong gerakan pemisahan wilayah di
Indonesia.
Selain itu yang menimbulkan tanda tanya ialah kebanyakan wilayah
yang ingin mendapatkan kemerdekaan mewakili penduduk yang majoritinya bukan
Islam. Konflik berdarah yang berlaku pula melibatkan pergaduhan antara penduduk
beragama Kristian dan Islam.
Persoalannya, siapakah dalang di sebalik sengketa dan konflik di
wilayah-wilayah terbabit?
Ada tokoh agama di Indonesia percaya situasi yang berlaku ini ada
kaitan dengan gerakan mengkristiankan wilayah-wilayah di Indonesia Timur yang
begitu luas diperkatakan pada tahun 1980-an dulu?
Gerakan memurtadkan umat Islam di republik itu juga kini semakin
membimbangkan.
Seorang pegawai agama daripada Kementerian Agama Indonesia dalam
ceramah agamanya di Kedutaan Malaysia pada tahun 1999 mendedahkan beratus ribu
penduduk Islam telah berjaya dimurtadkan kerana mereka mahu melepaskan diri
daripada cengkaman kemiskinan ekoran krisis ekonomi.
Jika di Malaysia, perpecahan serius berlaku sesama Melayu tetapi
di Indonesia, umat Islamnya berpecah kepada sejumlah pertubuhan agama yang
bermusuhan sehingga mereka tidak menyedari bahawa ada di antara pertubuhan itu
menjadi alat kuasa-kuasa tertentu yang bersembunyi di sebalik slogan reformasi
rakyat.
Perkembangan yang sedang melanda Indonesia sekarang dipercayai
turut berpunca daripada kehila-ngan identiti serumpun yang telah dipupuk sekian
lama menerusi ideologi Pancasila dan bahasa Indonesia.
Adalah menyedihkan mengenangkan ikatan serumpun dan satu bangsa
yang ditanam dengan jitu sejak era Sukarno dan Suharto dulu kini begitu mudah
terhakis.
Kemiskinan dan pertarungan untuk hidup di te-ngah-tengah krisis
ekonomi sekiranya dibiarkan berlanjutan akan menjadi bom jangka yang boleh
mencetuskan pemberontakan rakyat yang lebih dahsyat.
Gus Dur yang sebelum ini diharapkan menjadi pelita yang dapat
menerangi kehidupan rakyat ternyata masih teraba-raba dalam membawa haluan yang
tepat bagi rakyat dan negara Indonesia.
Sekalipun Gus Dur menarik diri dalam tempoh terdekat ini,
pertelagahan kepimpinan dan demonstrasi jalanan oleh mahasiswa akan tetap
mewarnai politik Indonesia walaupun ketika teraju pemerintahan diambil alih
sama ada oleh Megawati Sukarnoputri, Amien Rais atau Akbar Tanjung.
Tikam-menikam dalam percaturan melibatkan elit-elit politik
berkepentingan di Indonesia dalam era reformasi dan politik gila-gila ini akan
sukar untuk dipadamkan sehinggalah muncul seorang tokoh yang benar-benar
disegani dan ditakuti seperti Sukarno atau Suharto sendiri.
Hakikat yang perlu diakui ialah kekuatan dan kesatuan Indonesia
sejak dari era sebelum kedatangan Islam mempunyai kaitan dengan kewibawaan para
pemimpinnya.
Indonesia pernah dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan sejumlah
pemimpin terbilang dan terkenal seperti Raja Joyoboyo, Airlangga, Srivijaya,
Pateh Gajah Mada, Pangeran Diponegoro, Raja Ali Haji dan Sukarno.
Malah dalam konteks Indonesia semasa era awal kemasukan Islam,
Allah menurunkan sembilan wali yang masing-masing dikurniakan pelbagai
keistimewaan atau `kesaktian' bagi menyebarkan nur Islam di tengah kuatnya
pengaruh Hindu dalam era pemerintahan Majapahit.
Sukarno berjaya menambat hati rakyat kerana kepetahannya
berpidato, manakala Suharto tiba-tiba muncul sebagai hero bangsa ekoran
tercetusnya pemberontakan Parti Komunis Indonesia pada tahun 1965.
Namun sejarah Indonesia tidak pernah sunyi daripada pengkhianatan
sesama sendiri.
Seperti mana yang berlaku dalam sejarah kebangkitan
pahlawan-pahlawan terbilang Indonesia seperti Pangeran Diponegoro dan Raja Ali
Haji, terlalu banyak pengkhianatan berlaku di kalangan rakyat sehingga kerap
kali Indonesia menjadi sasaran serangan dan penjajahan kuasa asing.
Sejarah pengkhianatan dan tikam-menikam untuk merebut kekuasaan
politik kembali berulang dalam kancah politik negara itu sekarang. Rakyat
terlena oleh pidato-pidato dan hujah-hujah yang menggunakan slogan yang mendakwa
mewakili kepentingan rakyat.
Amanat pemimpin besar mereka iaitu Sukarno bahawa ``bukan pesawat
dari Moscow (Rusia) atau khalifah dari Istanbul (Turki) yang dapat membantu
Indonesia merdeka'' sudah dilupai oleh elit-elit politik kerana mereka leka berebut
kuasa.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.