Sejarah
Yang digelapkan 13
Sebelum arwah ibu dan abah saya
bertolak ke Mekah , mereka telah diberi kefahaman tentang perangai Arab Saudi
yang akan mereka temui di Mekah dan Madinah. Penerangan ini diberikan oleh kaum
keluarga yang telah menunaikan fardu haji lebih awal. Kisah dan tingkah laku
perangai Arab Saudi ini hanya tersebar dari mulut ke mulut. Malah, semua bakal
haji dari Malaysia telah sedia maklum serba sedikit tentang hal perangai Arab
Saudi ini.
Tetapi ‘kisah' ini tidak pernah dihebohkan oleh media. Ia
hanya menjadi ‘cerita-cerita rakyat'. Hujah penghalalan yang selalu kita dengar
hanyalah: kerana itulah Muhamad dihantar ke Mekah... untuk mentamadunkan Arab.
Rasa saya 1,500 tahun adalah satu masa yang agak lama untuk
proses melahirkan satu tamadun. Jika lembu atau kerbau dididik selama 1,500
tahun pasti lembu atau kerbau ini telah bijak bestari.
Tingkah laku lucah yang dilakukan
terhadap warga asing yang menunaikan haji sering kita dengar. Kalau dibuku dan
jilidkan telah melangit tingginya. Kisah-kisah keganasan yang dilakukan
terhadap buruh import dari Pakistan, India dan Bangladesh yang memburuh di Arab
Saudi akan meremangkan bulu roma. Keganasan seksual - rogol dan dera - terhadap
pekerja wanita yang diimport dari Indonesia dan Filipina telah lama menjadi
buah mulut.
Tetapi kenapa agaknya Hillary Clinton tidak bersuara tentang
keganasan terhadap kaum sejenisnya. Kenapa CNN tidak membuat laporan? Kenapa
Parlimen Eropah tidak bersuara? Kenapa agaknya media antarabangsa semuanya
senyap sepi tidak bersuara tentang penindasan warga perempuan Saudi yang bukan
sahaja tidak boleh mengundi malah tidak boleh berfikir. Jauh sekali untuk
memandu kereta. Kenapa tidak ada tuntutan ‘pendemokrasian' dari Amerika
terhadap Arab Saudi? Kenapa warga Iraq sahaja yang perlu demokrasi tetapi warga
Saudi tidak perlu? Semua ini soalan yang wajib di jawab.
Untuk saya negara yang bernama Arab Saudi ini adalah ‘scam'
yang paling besar yang sedang menimpa penganut agama Islam di seluruh dunia.
Arab Saudi membuktikan bagaimana kesucian dan takwa para penganut agama Islam
telah dieksploit oleh keluarga Ibnu Saud.
Dari sudut sejarah, di zaman Nabi Muhamad tidak ada raja di
Arab Saudi. Dalam kitab awal Ibnu Hisham - As-Sirah an-Nabawiyyah -
yang ditulis 200 tahun selepas Nabi Muhamad wafat tidak ada langsung disebutkan
nama raja, darjat sultan atau daulat tuanku. Malah agama Islam secara radikal
menentang kaum feudal kerana sistem feudal ini bercanggah dengan teologi Islam.
Jadi dari mana munculnya Raja Saudi ini?
Sejarah merakamkan bahawa Arab Saudi ini dilahirkan dari
perancangan kuasa imperial Anglo-Saxon sesudah perang dunia pertama.
Semenanjung Arab ini seperti negara Telok dipimpin oleh pelbagai ketua suku dan
ketua kabilah. Perbalahan dan peperangan antara suku dan kabilah sering berlaku
di kalangan bangsa Arab ini. Maka di sinilah munculnya TE Lawrence seorang ejen
dari Britain yang merancang untuk menjatuhkan kuasa imperial kerajaan Uthmaniah
yang berpusat di Istanbul.
Dengan memberi sokongan kepada kabilah Abdul Aziz al-Saud,
kekuatan kerajaan Uthmaniah di sebelah selatan - Jordan, Palestin, Syria dan
Iraq - menjadi lemah. Pada 29 Oktober 1923 Turki menjadi republik. Secara resminya
kuasa kerajaan Khalifah Uthmaniah dihapuskan pada 3 Mac 1924.
Akhirnya pada tahun 1932 lahirkan apa yang hari ini dikenali
sebagai Kingdom of Saudi Arabia . TE Lawrence seorang ejen
British yang juga seorang homoseksual telah memainkan peranan yang amat penting
untuk mewujudkan Arab Saudi.
Di sini saya ingin membawa para pembaca untuk untuk memahami
konsep yang dipanggil geopolitik. Geopolitik ini ialah politik kawasan, bumi,
tanah atau wilayah yang dianggap strategik dan penting. Strategik kerana kedudukan
wilayah ini dari segi ketenteraan. Penting kerana wujudnya sumber asli yang
ditemui dalam wilayah ini.
Pada hemat saya, jika Arab Saudi mengeksport petai dan
jering maka setiap hari kita akan membaca tentang kejahatan kaum kerabat Saud.
Kita akan membaca bagaimana kaum kerabat Saudi ini berpoya-poya berjudi di
London atau Paris. Atau kesah keluarga Saud bercanda-canda di kota-kota besar
di Eropah. Tetapi hakikatnya bukan petai dan jering tetapi bahan bakar petrol.
Arab Saudi adalah negara kedua dalam dunia - sesudah
Venezuela - yang memiliki simpanan minyak terbanyak yang masih belum
dicarigali. Hari ini Arab Saudi adalah negara pengeksport utama - 12 juta tong
sehari - minyak mentah dari Saudi memasuki pasaran dunia. Justeru Arab Saudi
adalah kunci keselamatan sistem ekonomi kapitalis yang bergantung kuat dengan
bahan bakar petrol.
Sayugia dikhabarkan di sini bahawa 15 daripada 19 orang
pengganas yang menyerang WTC pada 9/11 di New York datang dari Arab Saudi.
Menjadi amat pelik - tindak balas dari George Bush bukan terhadap Arab Saudi
tetapi kepada Afghanistan dan Iraq. Ini hanya satu contoh yang jelas di mana
kuasa imperial Anglo-Amerika akan memelihara ‘keldai' tunggangan mereka dalam
percaturan geopolitik dunia hari ini.
Ramai warga Melayu Islam mungkin tidak menyedari bahawa
keluarga diraja Saudi ini tidak ada sangkut paut dengan Islam. Mereka tidak
memiliki pertalian teologi dengan Islam. Malah, yang sahih, pada ketika ini
keluarga Saudi ini adalah tali barut dan ejen yang paling setia kepada kuasa
imperial Anglo-Amerika.
Keluarga Saud ini bukan tidak pernah ditentang. Pada 20
November 1979 dahulu satu pemberontakan telah berlaku. Kaabah telah diambil
alih selama dua minggu oleh kumpulan anak-anak muda yang menentang pemborosan,
rasuah dan kelakuan kaum keluarga Saud. Keluarga Saud tergamam. Hanya dengan
bantuan Amerika barulah pemberontakan ini dapat dipatahkan.
Untuk meneruskan kuasa feudalnya, untuk meredakan kebencian
rakyat maka Raja Saudi kini menggelarkan diri mereka "Penjaga Dua
Masjid". Ini hanyalah tembok untuk mengolah persetujuan penganut Islam
seluruh dunia bahawa keluarga Saud ini berhak k eatas tanah suci Mekah dan
Madinah.
Melalui duit minyak petrol keluarga Saud ini telah menabur
pengaruh ke seluruh dunia. Mengembangkan faham kolot lagi jumud. Melalui
pelbagai yayasan, melalui pelbagai bentuk anak-anak syarikat, kaum keluarga
Saudi ini telah mendana masjid, sekolah dan pelbagai bentuk wakaf untuk
memastikan penganut agama Islam terus dibodohkan. Warga Islam di seluruh dunia
tidak akan mempersoalkan apa yang sedang mereka lakukan atas nama Islam.
Pemusnahan artifak-artifak sejarah yang membina ingatan
bersama budaya Arab/Islam dari zaman sebelum Nabi hingga ke zaman Nabi telah
dilakukan oleh keluarga Saud ini. Umum telah difahamkan bagaimana kota Mekah
telah menjadi ‘vulgar/lucah' dengan Mek Donald dan Kentaki Fried Fak.
Bertafakur atau berdoa di hadapan makam kaum keluarga Nabi dianggap ‘syirik'
tetapi menyembah Mek Donal dan Kentuki dianggap salih.
Para pembaca jangan tersilap faham tujuan tulisan ini bukan
hendak menghina Islam tetapi untuk menunjukkan bahawa keluarga Saud ini tidak
ada sangkut paut dengan Islam dan rejim Saudi ini adalah sebahagian dari punca
huru hara yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Kaum pemodal dan kuasa imperialis Anglo-Amerika telah
menggunakan Islam jenis Saudi ini untuk mematahkan perjuangan gerakan
pembebasan warga Islam khususnya dan warga dunia amnya. Gerakan pembebasan
Palestin telah dimandulkan. Gerakan demokrasi di Bahrain sedang diganyang
dengan bantuan dolar Saudi.
Setelah memahami semua ini saya ingin membawa kembali para
pembaca kepada keadaan yang sedang berlaku di bumi Arab. Saddam telah
dimusnahkan kerana Saddam ingin menggantikan dolar sebagai duit pertukaran jual
beli minyak. Gaddafi dimusnahkan kerana Gaddafi menentang pangkalan tentera
Amerika didirikan di Afrika.
Kini Bashar perlu ditewaskan kerana dari segi geopolitik
wilayah Syria ini amat penting untuk tentera Amerika masuk menyerang Iran.
Semenjak zaman berzaman - dari sejarah Perang Salib - kita mengetahui bahawa
Damsyik dalam negeri Syam adalah kota strategik. Pintu ke Amman, pintu belakang
ke Baghdad, pintu ke Lebanon semua bermula di Damsyik. Justeru pada tahun 2008
yang lalu kota Damaskus telah dinobatkan sebagai kota budaya Arab.
Semenjak dari ribuan tahun wilayah Levant inilah yang
menjadi titik mula tamadun dunia. Di wilayah ini tulisan dimulai. Di wilayah
ini juga konsep Tuhan Yang Maha Esa ditemui. Sumer, Babil, Akkad adalah
kota-kota kuno yang mengasaskan kemunculan kota Damaskus dan Baghdad yang
akhirnya membawa Percerahan. Berbanding dengan Saudi - tidak ada apa-apa yang
dapat dibanggakan.
Kuasa imperialis Anglo-Amerika dalam perancangan geopolitik
untuk mengepong China dan Rusia kini sedang bekerjasama dengan Arab Saudi dan
Isreal. Israel dan Arab Saudi dilihat sebagai ‘berseteru' tetapi dua negara
sedang bekerjasama untuk mematahkan apa sahaja bentuk gerakan demokratik yang
berkemungkinan muncul di bumi Arab.
Pada tahun 2007 kuasa imperialis Amerika telah memberikan 60
bilion dolar melalui apa yang dipanggil military-aid package atau
bantuan ketenteran. Sebanyak 13 bilion dolar nilai senjata ini akan dihantarkan
kepada Arab Saudi.
Amat jelas dari bantuan persenjataan ini Saudi amat penting
dalam percaturan geopolitik Amerika. Kini senjata yang diterima dari Amerika
sedang digunakan oleh gerombolan anti-Bashir. Senjata yang dibeli dipasaran
gelap dibayar dengan duit petrodollar Saudi. Duit Saudi juga digunakan untuk
merekrut tentera-tentera upahan yang dipanggil Free Syrian Army. Free di
sini kerana mereka mendapat semua bantuan ‘free' dari Arab Saudi.
Dari segi ideologi pula, fahaman reaksionari feudal Saudi
ini sedang dijaja dari Moroko ke Maldivess. Dari Bahrain kena Bukina Faso. Dari
Jerico ke Jakarta. Dari Dubai ke Dungun. Ajaran kolot Islam jenis Saudi ini
akan ditemui di negara yang ada warga beragama Islam.
Sekali lagi saya jelaskan bahawa penentangan Arab Saudi
terhadap Bashar di Syria dan Ahmadinejad dari Iran bukan kerana Syiah atau
kerana Sunni. Bukan juga untuk menegakkan syiar Islam. Penentangan ini lahir
dari strategi geopolitik kuasa Anglo-Amerika yang kini sedang merancang untuk
mengepong China dan menekan Rusia.
Justeru China dan Rusia telah menggunakan kuasa veto dan
akan terus mengunakan kuasa veto jika ketetapan Bangsa Bangsa Bersatu dilihat
sebagai topeng untuk menghalalkan tentera Nato menyerang Syria. China dan Rusia
telah ‘tertipu' apabila ketetapan PBB telah menghalalkan tentera Nato menyerang
Libya dan Gaddafi.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.