Champa : Negara Melayu Yang
Hilang Dari Peta Dunia
Negeri
Melayu Hilang Dari Peta: Champa
Ratusan tahun sebelum Bangsa Melayu menangisi kehilangan pulau
Singapura, kita telah lama kehilangan satu wilayah yang cukup luas, iaitu
hampir meliputi keseluruhan pantai timur Indochina.
Lebih menyakitkan, wilayah tersebut menyimpan seribu satu rahsia dan
bukti tamadun awal rumpun Melayu yang pernah menguasai hampir keseluruhan
kawasan daratan dan perairan Asia Tenggara.
Negara tersebut, tidak lain dan tidak bukan, adalah Champa, yang telah
berhadapan dengan serangan dan migrasi besar-besaran secara berterusan selama
ratusan tahun daripada satu kaum yang berasal dari selatan Negara China iaitu
Dai-Viet.
Kehilangan Champa sama seperti kehilangan Patani yang mewarisi
keagungan Langkasuka juga akibat serangan dan migrasi berterusan daripada kaum
Thai (Sukotai, Ayutthaya dan Chakri) yang juga berasal dari selatan China.
Champa, atau apa jua panggilan kepadanya, seperti Lin Yi dan
Houan-Wang (catatan China), Kembayat Negara (Syair Siti Zubaidah – Perang
China), dan Tawalisi (catatan Ibnu Battutah) kini hanya tinggal sejarah dan
penduduknya hidup bertaburan terutamanya di Vietnam serta Kemboja dan menjadi
kaum minoriti di bumi sendiri.
Kali terakhir Champa berjaya bangkit membela nasib sendiri adalah
semasa di bawah pemerintahan Raja teragung mereka iaitu Che Bo Nga, yang
dinyatakan dalam lagenda Cham sebagai Binasuar, manakala Sejarah Dinasti Ming
mencatatkan namanya sebagai Ngo-Ta-Ngo-Tcho, memerintah mulai sekitar tahun
1360 Masihi. Malangnya, kebangkitan Che Bo Nga ibarat seperti ‘sinar matahari
yang penghabisan sebelum terbenam’.
Di bawah pimpinan baginda, Champa kembali bangkit dari tahun 1361
hingga 1390 Masihi dengan melancarkan beberapa serangan balas kepada pihak
Dai-Viet dan memenanginya.
Malangnya, baginda akhirnya mangkat pada bulan Februari 1390 Masihi akibat pengkhianatan daripada salah
seorang pengawalnya sendiri yang menyebabkan perahu baginda dikepung oleh
tentera Vietnam.
Apa yang menarik, kebanyakan pengkaji sejarah bersepakat bahawa Sultan
Zainal Abidin, tokoh yang dinyatakan di dalam sebuah hikayat Melayu lama iaitu
Syair Siti Zubaidah merujuk kepada
Che Bo Nga itu sendiri, sedangkan kebanyakan pengkaji sejarah Barat
bersetuju Raja-raja Champa hanya mula memeluk Islam bermula pada abad ke-17
iaitu berdasarkan catatan seorang paderi bernama M. Mahot yang bertugas di
Champa pada tahun 1676 hingga 1678 Masihi dan mengatakan bahawa Raja dan
sebahagian besar penduduk Negara Champa telah menerima agama Islam yang
disebarkan oleh orang Melayu yang telah ramai berhijrah dan menetap di sana.
Laporan Mahot ini telah disahkan oleh seorang paderi lain bernama M.
Freet apabila dia menyaksikan sendiri keIslaman Raja Champa dan telah
dihadiahkan sebuah Al-Quran.
Mahkota Kebesaran Champa
Maklumat mengenai Raja-raja Champa khususnya daripada riwayat tradisi Kelantan pula memberikan perspektif yang berbeza daripada sejarah umum kerana dinyatakan bahawa kebanyakan Raja-raja Champa semasa era Pandurangga (Phan Rang) sebagai ibukota telah beragama Islam dan mempunyai hubungan kekerabatan dan persaudaraan yang erat dengan Negeri-negeri Melayu di pantai timur semenanjung Tanah Melayu.
Sebagai contoh, Raja Bo Tri Tri dikatakan adalah Wan Bo, anak kepada
Ali Nurul Alam (Patih Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan) serta cucu
kepada Sayyid Hussein Jamadil Kubra, tokoh terulung penyebar syiar Islam di
Nusantara.
Wan Bo dikatakan telah meninggalkan Patani dan pergi ke Champa menjadi
panglima perang untuk membantu bapa mertuanya iaitu Raja Chandranekalawa atau
Ban-La-Tra-Toan menentang Dai-Viet.
Selepas mengalami kekalahan dalam peperangan pada tahun 1471 Masihi,
Wan Bo bersama-sama rakyat Champa yang lain telah berundur ke kawasan selatan
yang berpusat di Pandurangga.
Baginda kemudian diisytiharkan sebagai Raja Champa dengan gelaran
Sultan Wan Abu Abdullah untuk menggantikan bapa mertuanya iaitu Ban-La-Tra-Toan
yang telah ditawan dan mangkat dalam tahanan musuh.
Pemerintahannya berakhir sehingga tahun 1478 Masihi dan digantikan
oleh dua orang anak saudaranya iaitu Wan Abu Yusof dan kemudiannya Wan Abdul
Kadir atau Kou Lai (1478-1515 Masihi).
Riwayat Kelantan juga menyatakan bahawa Datu wilayah Jambu yang juga pemangku Sultan Patani iaitu Datu Nik Musthapa telah kembali ke Champa bagi membebaskan bumi Melayu-Islam tersebut daripada pencerobohan rejim Nguyen pada tahun 1570.
Raja Champa, Sultan Yaakub Syahibuddin yang sudah sangat lanjut
usianya telah ditawan dan mangkat dalam kurungan sangkar besi semasa diarak ke
Kota Hue.
Pada tahun 1577, Datu Nik Mustapha membawa 10,000 orang tentera Patani
dan bersama anak saudaranya Sultan Adiluddin yang membawa 5,000 orang tentera
Kelantan bertolak dari kota Pengkalan Datu, Kelantan dan menyerang Dai-Viet
untuk merebut kembali Pandurangga.
Sebahagian besar dari bumi Champa yang telah jatuh ke tangan Dai-Viet
sejak tahun 1471 Masihi telah dapat dikuasai semula sehingga hampir ke Kota
Hue.
Setelah peperangan tamat dalam tahun 1580, Datu Nik Mustapha telah
ditabal menjadi Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah.
Di kalangan orang-orang Cham dan Vietnam, baginda lebih dikenali degan
pangilan Po Rome, manakala orang-orang Kemboja memanggil baginda Ong Tpouo.
Walaubagaimanapun, dalam tahun 1684 Masihi, Champa telah kalah dalam peperangan dengan Dai-Viet dan Negeri Kelantan telah dibanjiri oleh pelarian dari Champa termasuklah rajanya sendiri iaitu Po Ibrahim (Po Nrop).
Po Ibrahim kemudian telah berangkat bersama pengikutnya meninggalkan
Kelantan dan berpindah ke Kampong Brek Bak di dalam wilayah Cham di Kemboja
untuk meneruskan penentangan terhadap Dai-Viet.
Putera kepada Po Ibrahim iaitu Wan Muhammad telah diangkat oleh
Dai-Viet menjadi Raja Champa bergelar Po Jatamuh setelah baginda bersedia
mengakui untuk membayar ufti kepada Kerajaan Nguyen.
Setelah Po Jatamuh mangkat, kekandanya iaitu Wan Daim yang sebelum itu merupakan Datu Negeri Jambu telah diangkat menjadi Raja Champa bergelar Po Top.
Dalam tahun 1692, baginda cuba memberontak terhadap regim Nguyen
setelah membuat pakatan dengan ayahandanya Po Ibrahim yang sedang berada di
Kemboja dan kemudian terjadilah serangan serentak di dalam negeri dan
perbatasan Kemboja.
Walaubagaimanapun, Wan Daim tewas dalam peperangan tersebut dan
berundur kembali bersama keluarganya ke Patani, sementara ayahandanya Po
Ibrahim yang telah tua mangkat di Kemboja dan dimakamkan di Kampong Brek Bak.
Raja-raja Champa selepas itu tidak lagi memiliki kedaulatan
sehinggalah Kerajaan Champa dihapuskan sepenuhnya di bawah pemerintahan rajanya
yang terakhir iaitu Po Chong Chan.
Sejarah kemegahan dan tamadun Champa yang cukup panjang iaitu memakan
masa ratusan tahun tidak cukup untuk diulas dan dimuatkan semuanya dalam
ruangan artikel yang terhad ini.
Namun begitu, ianya bagaikan tidak bermakna pada hari ini kerana hanya
tinggal sisa-sisa sejarah. Wilayah kekuasaannya telah menyusut sedikit demi
sedikit sebelum hilang sepenuhnya dan kini seolah-olah menjadi tanahair asal
untuk kaum Dai-Viet.
Negara Champa telah merakamkan sisi gelap yang sering menyebabkan
kejatuhan sesebuah Kerajaan di Nusantara, terutamanya disebabkan perpecahan di
kalangan pembesar negara dan rakyatnya serta pengkhianatan yang dibuat oleh
orang kepercayaan sendiri disebabkan sifat tamakkan ganjaran dunia.
Malahan, kebanyakan orang Melayu sendiri pada hari ini tidak kira di
negara kita, Singapura, Brunei dan Indonesia pun kadang kala tidak tahu
mengenai kewujudan negara Champa.
Adalah amat mustahil untuk sebuah negara Champa wujud semula pada hari ini. Kadang kala penulis berfikir, mungkin kemusnahan Champa sebagaimana yang telah ditakdirkan boleh dijadikan iktibar untuk renungan kita semua pada hari ini bahawa kegemilangan dan tingkat tamadun bukanlah satu jaminan untuk sesebuah negara itu akan kekal selamanya, melainkan dengan izin Allah jua.
Begitu juga dengan kehilangan pulau Singapura, dapat kita pelajari
bagaimanakah bentuk dan corak negara kita pada masa akan datang jika kita terus
tertipu dengan permainan golongan Ultra-kiasu.
Penulis hanya ingin menekankan kepada dua aspek iaitu bersatu dan amanah kepada
pembaca sekalian. Kita boleh berbeza fahaman seperti fahaman politik, tetapi
jangan sesekali menggadaikan kepentingan agama, bangsa dan tanahair sendiri.
Pada hari ini, ada berpuluh blog dan laman sesawang yang diwujudkan
hanya untuk menyerang mereka yang berbeza fahaman politik sesama kita, walaupun
kadangkala ianya berlebihan hingga 'melondehkan' keaiban kita semua sendiri
kepada 'pihak luar', tetapi boleh dibilang dengan jari bilangan blog yang
menyeru kepada mencari titik persamaan dan persefahaman dan menggalakkan
penyatuan disebalik perbezaan yang wujud.
Jangan menyesal jika anak cucu kita pula kelak pada masa akan datang yang akan menangisi ‘kehilangan’ negara mereka dan menyalahkan serta mengutuk tindakan yang telah kita semua buat pada hari ini.
Lihat juga catatan lama :
Kaum Utsul di Pulau Hainan, China
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.