Total Pageviews

Wednesday, 14 August 2019

Melayu Champa kini golongan minoriti di Vietnam


Melayu Champa kini golongan minoriti di Vietnam


Oleh Hafizah Iszahanid


KUALA LUMPUR: Empayar Champa yang diasaskan orang Melayu pernah mencatat sejarah panjang sejak dibina pada kurun ke-2 dan bertahan selama 1,643 tahun hingga jatuh awal abad ke-19.
Bagaimanapun, Melayu Champa masih wujud meskipun jumlah itu semakin merosot, manakala hanya generasi tua bertutur dalam bahasa Melayu, sedangkan orang muda menggunakan bahasa Vietnam.
Hasil kajian dan penelitian sekumpulan penyelidik tempatan antara 2017 hingga 2018 mendapati, Melayu Champa kini menjadi golongan minoriti di Vietnam dan menerima pakai budaya setempat.
Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Asyaari Muhamad, berkata Melayu Champa dikesan berada di Chau Doc, An Giang, Ho Chi Minh, Nha Trang, Danang dan Guy Nhon di tengah Vietnam.
Kumpulan ini menyedari mereka bangsa Melayu, tetapi hanya golongan tua sahaja mampu berbahasa Melayu.
“Generasi mudanya bertutur dalam bahasa Vietnam, selain tidak semua Melayu Champa beragama Islam,” katanya dalam Bicara@Muzium bertajuk Melayu yang Hilang: Menelusuri Melayu Champa di Vietnam dan Kemboja di Muzium Negara di sini.
Forum itu turut disertai Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Dr Mohamad Zain Musa.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A Kasim.
Asyaari berkata, Melayu Champa ialah rumpun bangsa dengan tiga etnik utama, iaitu Champ Bani, Champ Balamo dan Cham Islam dengan hanya Champ Islam (Champ Lima) yang kekal mengamalkan Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Champ Bani (Champ Tujuh) pula mencampurkan Islam dengan amalan animisme, manakala Champ Balamo mengamalkan campuran Hindu dan animisme.
Melayu Champa yang membina Empayar Champa di Vietnam pada abad ke-2 mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-7 hingga ke-10 dan menerima pengaruh Islam sekitar abad ke-10 yang dibawa pedagang Arab.
Bagaimanapun, empayar berusia 1,643 tahun itu jatuh pada awal abad ke-19 berikutan peperangan dan tekanan daripada Kerajaan Annam yang muncul di utara Vietnam dan selatan China.
Peperangan itu menjadikan Melayu Champa sebagai pelarian termasuk raja terakhirnya, Po Con yang beragama Islam dan turun takhta pada 1822 untuk mencari perlindungan di Kemboja.
Golongan pelarian
“Kelompok yang masih ditinggal di sana kemudiannya ditekan orang Dai Viet dan akhirnya menjadikan Melayu Champa golongan pelarian.
“Mereka berhijrah ke wilayah Kemboja terutama di Siem Reap dan Kompong Thom selain sebahagian berhijrah ke Kelantan serta Melaka juga ke Barat,” katanya.
Tegas Asyaari, Melayu Champa di Kemboja mendiami daerah Siem Reap, Kampong Cham, Kampong Thom, Battambang, Trakeo dan Phnom Penh, selain wilayah kecil lain.
Sementara itu, Wan Hashim berkata, nama Champa kekal dalam peta dunia hingga abad ke-15 sebelum pupus dan digantikan dengan Vietnam hingga kini.
Bagaimanapun kesan kegemilangan dan ketamadunan Melayu Champa yang merangkumi candi serta batu nisan masih ditemui di Vietnam seperti di Po Nagar, Po Klong Garai, My Son, Thap Doi, Tham Guan Di Tich dan Bahn It.
“Ketika ini, Kerajaan Vietnam dan Perancis berusaha untuk mengekalkan dan memulihara tinggalan peradaban itu.
“Banyak pengajaran boleh kita ambil daripada kejatuhan Empayar Champa dan Kesultanan Langkasuka selepas itu serta seterusnya Melaka. Kita tidak boleh jatuh lagi, jagalah negara dan bangsa sebaiknya,” katanya.
Tegas Wan Hashim, nasib rumpun Melayu Champa sebenarnya lebih malang daripada rumpun Melayu Sri Lanka.
Katanya, hal itu dilalui secara berperingkat bermula dengan kehilangan kerajaan yang berusia lebih 1,000 tahun kepada musuh.
“Pada tahap kedua, walaupun mereka cuba beradaptasi dan tinggal secara aman di Vietnam dan Kemboja, mereka diperlakukan dengan zalim dan ditindas pemerintah komunis ketika itu.
Dasar penghapusan budaya
“Kerajaan Vietnam ketika itu cuba menjadikan Melayu Champa sebagai orang Vietnam menerusi dasar penghapusan budaya dan asimilasi menyebabkan mereka merantau ke Barat seperti Perancis, Kanada serta Amerika Syarikat (AS), selain ke negara ini dan Thailand,” katanya.
Sementara itu Mohamad Zain berkata, bangsa Melayu Champa dikenal pasti sebahagian daripada kumpulan besar Malayo Polinesia berdasarkan bahasa mereka yang tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia.
“Pada abad ke-2 Masihi lagi, mereka menulis dengan mencipta huruf Cam berdasarkan sistem tulisan Sanskrit sehingga berjaya menghasilkan baru bersurat pertama dalam bahasa Cam di Alam Melayu pada abad ke-4.
“Ada banyak inskripsi yang dihasilkan bangsa Melayu Champa dengan sebahagiannya sudah musnah tetapi ada masih tersimpan hingga ke hari ini di beberapa perpustakaan di Perancis, selain di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Perpustakaan Muzium Etnologi Dunia Melayu,” katanya.
Tegas Mohamad Zain, tinggalan manuskrip itu membantu memperjelaskan hubungan sejarah antara Champa dengan masyarakat setempat dan peringkat antarabangsa.



..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.