Inggeris Tipu Orang Melayu
Inggeris Tipu Sultan Kedah
Pulau Pinang diduduki dengan tipu muslihat
Oleh Nasron Sira RahimFrancis Light buat Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 secara peribadi, tanpa persetujuan SHTI
FRANCIS LIGHT menduduki
Pulau Pinang secara haram. Demikianlah antara fakta sejarah pulau digelar
‘Pulau Mutiara’ yang mungkin kurang diketahui masyarakat ketika ini.
Umumnya ramai pihak mungkin
mengetahui British adalah pihak yang bertanggungjawab memajukan Pulau Pinang
dengan Francis Light sebagai individu asing yang memikul tugas itu.
Bagaimanapun, di sebalik
nama lelaki Inggeris itu, masyarakat mungkin tidak mengetahui yang sejarah
pembukaan Pulau Pinang dipenuhi pelbagai polemik, drama tipu-helah, muslihat
dan peperangan antara British dengan Kedah.
Sebelum abad ke-18, Pulau
Pinang sebenarnya terletak di bawah jajahan Kedah; sehinggalah ke penghujung
abad berkenaan, tipu muslihat Francis Light menyebabkan Pulau Pinang terpaksa
diserahkan kepada British.
Beginilah antara cerita
sejarah itu:
Sebaik mendengar maklum balas pihak British, Sultan Abdullah teramat murka. Berhari-hari lamanya hati Sultan Abdullah panas memikirkan yang pihak British melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) mungkir janji.
British tidak akan membantu
negeri naungannya iaitu Kedah mempertahankan serangan daripada Siam. Selepas
Siam berjaya menakluki Patani pada 1786, kini pihak itu sudah mengutuskan
ancaman untuk memerangi Kedah pula.
SHTI tidak akan menghantar
bantuan ketenteraan kepada Kedah seperti dijanjikan menerusi ‘Perjanjian
Inggeris-Kedah 1786’ dan tindakan itu jelas menunjukkan mereka memungkiri
perjanjian yang dibuat antara baginda dengan wakil SHTI, Francis Light.
Sultan Abdullah semakin
geram dan berasa tertipu dengan muslihat Francis Light. Tanpa pengetahuannya,
lelaki Inggeris itu sebenarnya berunding dan membuat Perjanjian Inggeris-Kedah
1786 secara peribadi dan tanpa persetujuan SHTI.
SHTI mengatakan yang mereka tidak menghantar Francis Light untuk membuat perjanjian itu, justeru mereka enggan mematuhi syarat perjanjian berkenaan antaranya membantu Kedah mempertahankan serangan musuh termasuk Siam.
Dua lagi syarat lain perjanjian itu adalah SHTI akan membayar sebanyak 30,000 dolar Sepanyol setahun kepada Sultan Kedah dan tidak boleh melindungi musuh Kedah. Menyangka SHTI bersetuju dengan perjanjian itu, Kedah menyerahkan Pulau Pinang kepada British.
Bagaimanapun, ketika Siam mengancam Kedah, baginda mula menuntut janji tetapi SHTI enggan menghantar bantuan ketenteraan dengan alasan mereka tidak terbabit dalam perjanjian antara dirinya dan Francis Light.
Sultan Abdullah terkejut dan mula menyedari yang British cuba bermain muslihat. Baginda mula sedar ada penipuan dan sandiwara dimainkan Francis Light. Kesal sekali baginda menyerahkan Pulau Pinang kepada lelaki Inggeris itu.
Pihak British hanya pandai ‘menanam tebu di tepi bibir’, mereka bermanis muka ketika berunding perjanjian tetapi mula memungkiri janji sebaik Pulau Pinang sudah mereka jadikan pangkalan.
Perasaan kesal mula membaluti perasaan Sultan Abdullah. Pada mulanya baginda menawarkan Pulau Pinang kepada British sebagai ganjaran untuk membantu Kedah menghadapi ancaman pihak asing terutama Siam.
Sudah lama Kedah terkenal sebagai kuasa Maritim di Kepulauan Melayu. Sejak abad ke-16 lagi, dasar buka pintu yang diamalkan Kedah menyebabkan kapal dagang dari seluruh dunia singgah di Kuala Kedah yang menjadi pelabuhan entrepot.
Bagaimanapun, untuk mengekalkan kedaulatan dan kemakmuran Kedah bukanlah suatu perkara mudah kerana pihaknya sentiasa menghadapi penentangan terutama dari Siam yang mahukan Kedah membayar bunga emas, wang dan tenaga manusia kepada negara itu. Siam menganggap Kedah adalah negeri jajahan mereka.
Sultan Abdullah teringat lagi, ketika itulah baginda mula memikirkan idea memohon pertolongan British dan sanggup menyerahkan Pulau Pinang jika SHTI dapat menghulurkan bantuan ketenteraan kepada mereka apabila diserang.
British pula melihat tawaran menduduki Pulau Pinang itu umpama ‘pucuk dicita ulam mendatang’ lantaran mereka sememangnya sedang mencari tapak untuk dijadikan pangkalan di Kepulauan Melayu ketika itu.
Pangkalan itu perlu bagi dijadikan markas ketenteraan untuk mereka mempertahankan pusat penempatan SHTI di India daripada serangan Perancis. Lokasi Pulau Pinang juga amat strategik untuk dijadikan pelabuhan kerana terletak di tengah laluan perdagangan antara Timur dengan Barat.
SHTI ketika itu juga menjalankan perdagangan dengan China; SHTI memperoleh teh dari China dan membekalkan emas, perak, bijih timah dan lada hitam kepada negara itu. Pulau Pinang dapat dijadikan pusat persinggahan pelayaran selain pusat pengumpulan emas, perak, emas dan lada hitam yang sememangnya banyak terdapat di Kepulauan Melayu.
Justeru, tawaran Sultan Abdullah itu sukar ditolak. Tetapi pada masa sama, SHTI ingin menjaga kepentingan perdagangan mereka dengan Siam kerana Siam menganggap Kedah adalah jajahan mereka.
Lalu Francis Light mula menjalankan muslihat dan menandatangani Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 secara peribadi dan penipuan itu menyebabkan Sultan Abdullah kini semakin diasak marah.
Sultan Abdullah sepatutnya sedar yang Francis Light adalah lelaki yang ‘lidah bercabang’. Ini bukan kali pertama lelaki asing itu memungkiri janji. Francis Light jugalah yang mewakili Firma Jourdain Sulliwan and de Souza ketika berunding dengan Sultan Muhammad Jiwa pada 1771.
Sultan Muhammad Jiwa ketika itu meminta bantuan ketenteraan firma berkenaan untuk menentang Bugis dan satu perjanjian ditandatangani dengan firma berkenaan dibenarkan berniaga di Kuala Kedah.
Bagaimanapun, perjanjian itu akhirnya dibatalkan apabila pihak diwakili Francis Light itu enggan memberikan bantuan ketenteraan bagi menyerang Bugis di Selangor. Dan kini, sejarah penipuan itu berulang kembali malah Sultan Abdullah sudah menyerahkan sebuah pulau kepada Francis Light.
Francis Light enggan melepaskan Pulau Pinang sebaliknya hanya mahu menawarkan ganti rugi, begitu maklum balas yang dikhabarkan kepada baginda apabila meminta British keluar dari pulau berkenaan selepas mereka memungkiri janji.
Sultan Abdullah semakin berang, baginda enggan menerima ganti rugi, dia mahukan British keluar dari pulau berkenaan.
“Kita perangi mereka!” Mungkin begitulah laungan Sultan Abdullah berserta semangat ingin menyerang dan merampas kembali Pulau Pinang yang diceroboh British.
> Kedah terpedaya selepas serah Province Wellesly
PADA 1791, Sultan Abdullah mengumpul bala tenteranya di Seberang Perai bersama dorongan semangat untuk merampas kembali Pulau Pinang yang diduduki British secara haram dan tipu helah.
Selain angkatan perang Kedah, Sultan Abdullah turut meminta bantuan ketenteraan dari Riau, Siak dan Selangor dan mereka akan menyeberang laut menuju Pulau Pinang bagi menawan kembali pulau itu.
Bagaimanapun, kehadiran kapal perang yang berlabuh di pinggir pantai Seberang
Perai mula disedari Francis Light. Lelaki itu sedar percaturan Sultan Abdullah
untuk menyerang dan merampas kembali Pulau Pinang.
Francis Light segera meminta bantuan angkatan tentera laut British untuk menyerang kubu Sultan Abdullah di Seberang Perai. Kemudian, peperangan meletus antara angkatan perang Sultan Abdullah dengan angkatan ketenteraan Francis Light.
Bagaimanapun, penentangan hebat bagi mengusir penjajah yang diberikan tentera Sultan Abdullah itu tidak berhasil dan Kedah kalah kepada tentera Francis Light dalam peperangan berkenaan.
Kekalahan itu menyebabkan Sultan Abdullah terpaksa menandatangani ‘Perjanjian Persahabatan dan Keamanan Inggeris-Kedah’ dengan berat hati pada 1 Mei 1791. Melalui perjanjian itu, Kedah terpaksa mengakui pendudukan British di Pulau Pinang dan balasannya, SHTI akan membayar 6,000 dolar Sepanyol setiap tahun kepada Sultan Kedah.
Francis Light terus menjadi pentadbir penempatan British di Pulau Pinang sehinggalah kematiannya akibat penyakit malaria pada 21 Oktober 1794.
Melewati waktu, kesilapan sama dilakukan Kedah iaitu mempercayai British sehingga tergadai Pulau Pinang masih berulang untuk kali ketiga. Bagaimanapun, kali ini wilayah Seberang Perai pula yang menjadi taruhan.
Kisahnya bermula kira-kira sembilan tahun selepas kekalahan Kedah terhadap British di Pulau Pinang. Sejak serangan Sultan Abdullah dulu, SHTI mula memikirkan langkah keselamatan mereka di pulau itu.
British berpendapat yang mereka memerlukan penempatan di tanah besar sebagai
benteng pertahanan awal daripada serangan pihak musuh. Tanpa penempatan di
tanah besar, mungkin sukar untuk mereka memantau serangan musuh dari kawasan
pulau saja.
Lalu mereka mula merancang untuk menduduki Seberang Perai pula. Tambahan pula, kawasan Seberang Perai yang subur, sesuai untuk bercucuk tanam bagi menampung keperluan makanan anggota mereka di Pulau Pinang.
Sekali lagi SHTI mengambil kesempatan terhadap Kedah yang masih memerlukan bantuan ketenteraan daripada serangan Siam. Kali ini, ‘Perjanjian Persahabatan dan Perikatan 1800’ dimeterai antara Sultan Dziauddin dan Gabenor Pulau Pinang pertama, George Leith pada Jun 1800.
Antara kandungan perjanjian berkenaan adalah Kedah akan menyerahkan Seberang Perai kepada SHTI dan SHTI akan membayar 10,000 dolar Sepanyol setahun (bayaran pendudukan Pulau Pinang dan Seberang Perai) kepada Kedah bersama janji bantuan ketenteraan.
Sejarah kembali berulang apabila seperti perjanjian sebelumnya, SHTI tidak menghulurkan sebarang bantuan ketenteraan apabila Siam menyerang Kedah pada November 1821. Betapa rakyat Kedah berjuang habis-habisan bagi mempertahankan tanah air, akhirnya Kedah ditakluk Siam juga.
Sebaliknya, British memeterai ‘Perjanjian Burney 1826’ dengan Raja Siam iaitu Rama III di Bangkok pada Jun 1826 yang antara lain British mengiktiraf ketuanan Siam terhadap Kedah dan Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan Seberang Perai yang dikenali ‘Province Wellesly’ ketika itu.
Bagaimanapun, hasrat British untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pelabuhan entreport tidak tercapai lokasinya yang jauh ke selat utara menyebabkan kapal pedagang lebih berminat untuk berlabuh di Betawi, Riau dan Lingga.
Pulau Pinang kemudian menjadi antara pusat pentadbiran British di Tanah Melayu apabila digabungkan dengan Melaka dan Singapura sebagai Negeri-negeri Selat pada 1826.
FAKTA:
Pulau Pinang
# Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) ditubuhkan Kerajaan British di England pada 1600 untuk menjalankan perdagangan antarabangsa dan meluaskan tanah jajahan.
# Francis Light menjalankan upacara menaikkan bendera Union Jack pada 11 Ogos 1786 sebagai tanda rasmi pendudukan British di pulau itu.
# Francis Light menamakan Pulau Pinang sebagai ‘Prince of Wales’ dan penempatan mereka sebagai Georgetown sempena nama Raja England iaitu King George III.
# Francis Light mendirikan Kota Cornwallis di Georgetown sebagai kubu mereka di Pulau Pinang.
Perjanjian Burney 1826
# British mengiktiraf ketuanan Siam terhadap Kedah
# Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin II tidak dibenarkan tinggal di Kedah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Selangor dan Burma.
# British tidak akan membantu Kedah menyerang Siam dan jajahan takluknya.
# British akan menghantar balik Sultan Kedah yang berlindung di Pulau Pinang ke Kedah dan Kedah hendaklah membayar ufti bunga emas kepada Siam.
# Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan Seberang Perai.
*petikan Berita Minggu 24 April 2007
LINK TAMBAHAN :
Francis Light (Wikipedia)
Negeri Negeri Selat
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.