Total Pageviews

Wednesday 14 August 2019

Teh dan pewarna berbahaya



Serbuk teh mengandungi pewarna berbahaya




KUCHING: Peminat teh dinasihati agar lebih berjaga-jaga ketika memesan minuman itu di premis makanan mahupun minuman di negeri ini.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kuching Sabri Sahari berkata, Operasi Premis Makanan Bersih yang dijalankan sejak 2014 mendapati semakin banyak premis khususnya di sekitar bandar raya ini menggunakan serbuk teh yang mengandungi pewarna.

Menurutnya, serbuk teh tiruan itu dipercayai mengandungi bahan serbuk kayu dan pewarna dipercayai boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

“Menerusi operasi yang dijalankan hari ini (kelmarin), sejumlah lima premis di kawasan Matang Jaya telah diperiksa dan tiga daripadanya didapati menggunakan serbuk teh berkenaan.

“Kita percaya, selain daripada tiga premis yang dikenal pasti masih terdapat banyak lagi premis lain di sekitar bandar raya ini menggunakannya kerana ia murah,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Pada masa sama, Sabri berkata pihaknya juga mendapati serbuk teh berkenaan tidak mempunyai maklumat spesifikasi pengeluar dan bahan pembuatannya, dijual secara haram.

Sabri berkata pihaknya turut membawa sampel air teh daripada premis tersebut untuk dianalisis dan dijadikan bukti, untuk meneruskan pendakwaan dan penjatuhan hukuman di mahkamah.

“Ada antara premis yang kami serbu dalam operasi ini telah kami berikan amaran sebelum ini, namun mereka masih berdegil.

“Disebabkan kami tidak mahu lebih ramai orang tertipu, pada tahun ini kami akan bertindak tegas terhadap premis yang didapati bersalah,” ujarnya.

Beliau berkata mengikut Seksyen 13B Akta Makanan 1983, pesalah boleh didenda RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, operasi hari kedua (bermula 5 hingga 9 Januari) itu semalam telah memeriksa lima premis dan tiada kompaun dikeluarkan.

Selain itu, tiga daripada lima premis berkenaan didapati menggunakan serbuk teh berpewarna dan baki kesemua serbuk teh di premis berkenaan dirampas mengikut peruntukan di bawah Seksyen 4 (1) (f), Akta Makanan 1983.

Turut menyertai operasi berkenaan Pegawai Epidemiologi Dr Ho Ai Chia serta Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.