Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni; Bapak Perjuangan Patani
Telah tercatat dalam sejarah bahwa kelima-lima anak
lelaki Tuan Minal al-Fathani (Sheikh Zainal Abidin al-Fathani) menjadi ulama.
Salah seorang antaranya ialah Sheikh Abdul Qadir bin Sheikh Zainal Abidin bin
Muhammad al-Fathani. Beliau melahirkan ramai keturunan yang menjadi ulama,
antaranya adalah ulama yang dibicarakan ini iaitu Tuan Guru Haji Sulong
al-Fathani.
TUAN GURU HAJI SULONG AL-FATHONI, seorang ulama yang sangat besar
pengaruhnya bagi umat Islam Melayu Patani. Bahkan hampir semua orang Islam yang
berasal dari Patani mengenali beliau. Beliau turut diakui oleh masyarakat
Patani sebagai “Bapak Perjuangan Patani”, kerana pembangkit Revolusi Patani
Merdeka pada zaman modern.
Pada zaman Perang Dunia Kedua, beliau dilantik sebagai
ketua untuk pergerakan ulama Patani yang membuat tuntutan kemerdekaan dengan
dinamakan Hai-atun Nafaz al-Ahkam asy-Syari’yah.
Nama Tuan Guru Haji Sulong terkenal bukan kerana
penulisan, tetapi melalui perjuangan. Namun beliau juga telah menghasilkan
beberapa karya, antaranya;
1) Kitab Cahaya Islam – Gugusan Maulid Saiyidil Anam
Cahaya Islam ditulis oleh Tuan Guru Haji Sulong
al-Fathoni sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun 1362 H/1943,
dalam masa darurat suasana Perang Dunia Kedua.
Tumpuan utama kandungan Kitab Cahaya Islam adalah
tentang Maulid Nabi Muhammad SAW. Namun pendekatan yang digunakan jauh berbeda
dengan penulisan-penulisan lain yang pernah dihasilkan oleh ulama dunia Melayu
yang terdahulu daripadanya. Hampir separuh kandungan jilid pertama adalah
membahas pembagian bid’ah. Seterusnya dilanjutkan pula pendapat para ulama-ulama
yang terkenal dunia Islam tentang hukum mengadakan Maulid Nabi Muhammad S.A.W.
Sebelum membahaskan lebih lanjut, Tuan Guru Haji
Sulong al-Fathoni menyatakan abstrak karangannya terlebih dahulu, iaitu:
1) Kenyataan pasal bid’ah, dan maknanya, serta segala
bagiannya.
2) Kenyataan pasal dalil bagi sunat berbuat maulid,
dan sunat bangun berdiri.
3) Kenyataan pasal kelebihan berbuat maulid, dan
kelebihan orang yang hadir pada majlisnya.
Mengenai yang pertama yaitu pasal bid’ah yang
terkandung pada halaman 4-5 kitab tersebut, Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni
menulis;
“Bahawa berbuat maulid itu bid’ah, kerana tidak
diperbuat oleh Nabi SAW, dan begitu juga sahabat-sahabat dan ulama-ulama yang
kemudian daripada sahabat.
“Hingga sampai kepada tahun hijrah 300 tahun tiada ada
siapa-siapa yang berbuat akan dia. Dan kemudian daripada hijrah yang tersebut
itu barulah timbul maulid. Dan tatkala timbul maulid itu senantiasa orang-orang
Islam pada tiap-tiap negeri mengadakannya, istimewa pula negeri yang besar-besar
seperti Baghdad, Syam, Mesir, negeri Makkah, Madinah, pada tiap-tiap tahun
menghimpunkan manusia serta diperbuat beberapa kebajikan daripada jamuan, dan
membaca Quran, dan berzikir, dan membaca kisah maulid…”.
Namun, Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni menolak
pendapat golongan tertentu yang mengatakan bahwa mengadakan perayaan maulid
adalah bid’ah yang keji (terlarang). Beliau menulis perkara tersebut yang
terkandung pada halaman 5-6;
“Maka sesungguhnya berbuat maulid itu bid’ah. Akan
tetapi masuk di dalam bagian ‘bid’ah hasanah’ diberi pahala akan orang yang
mengerjakan dia, seperti melakukan ibadat yang sunat. Maka perhamba sebutkan
sedikit pasal bagian bid’ah kerana khawatir menjadi terkeliru di atas mereka
yang tidak tahu bagian bid’ah, maka ia berkata bahwasanya berbuat maulid itu
bid’ah yang keji atau haram, seperti sangkaan mereka yang telah disesatkan…”
Tuan Guru Haji Sulong al-Fathoni berpegang bahwa
merayakan maulid Nabi SAW adalah termasuk dalam kategori Bid’ah Hasanah atau
sunat dikerjakan. Untuk menguatkan pendapat tersebut, beliau memetik
pendapat-pendapat di antaranya Sheikh Ibnu Hajar al-‘Asqallani, Imam
as-Sayuthi, al-Muhaddits Muhammad bin Mas’ud al-Kazaruni dan ulama-ulama
lainnya, sedangkan mereka adalah ulama ahli hadis yang sangat terkenal. Semua
pendapat ulama yang tersebut dilengkapi dengan petikan yang agak panjang dan
pada beberapa tempat disebut pula kitab-kitab rujukan.
Pada bagian penutup, pengenalan Cahaya Islam di
halaman 42, beliau menulis lagi;
“Dan telah lalu cerita Hikayat Raja al-Muzhaffar Abu
Said, bahwasanya membelanjakan hartanya pada berbuat maulid di dalam setahun 30
laksa dinar. Maka janganlah mengikut pengugut-pengugut iblis, yang ia berkata
kepada seseorang; “Janganlah engkau belanjakan harta engkau kepada jalan kebajikan,
lama-lama habis harta engkau jadi papa, maka jadilah engkau orang miskin”. Maka
itulah jadi bakhil dan lokek tidak berbuat sesuatu kebajikan dengan hartanya.
Maka minta Allah S.W.T menjauhkan hal yang semacam itu daripada kita”.
2) Kitab Gugusan Cahaya Keselamatan
Kitab ini adalah karya Tuan Guru Haji Sulong yang
terakhir, telah ditulisnya ketika di dalam penjara Legor, Nakhorn Sri
Thammaraj, Thailand. Setelah karya ini, tidak ada lagi karya beliau yang lain,
karana setelah itu beliau hilang secara misteri. Bahkan hingga sekarang tidak
diketahui di mana Tuan Guru Haji Sulong dikebumikan.
Gugusan Cahaya Keselamatan selesai ditulis pada 3
Zulkaedah 1368 H bersamaan dengan 28 Ogos 1949 M. Cetakan yang pertama 10,000
naskhah, diusahakan oleh Tuan Haji Muhammad Amin, anak Haji Sulong. Diterbit
oleh Saudara Press Patani, 185, Jalan Rodi, Patani, 1377 H/1958 M.
Antara intipati Kitab Gugusan Cahaya Keselamatan;
Pertama, di bawah judulnya, Tuan Guru Haji Sulong
memberi keterangan sebagai berikut, “Pada membentengkan beberapa wirid, dan
doa, dan ayat Quran. Diterbitkan cahaya yang cemerlang daripada penjara negeri
Legor, Siam, ke seluruh negeri Islam …”.
Kedua, kandungannya merupakan kisah yang terjadi mulai
kedatangan pihak penguasa Siam (Thailand) untuk menangkap Tuan Guru Haji Sulong
pada pukul 5 sore tempatan, hari Jum’at 5 Rabi’ul-Awal 1367 H bersamaan 16
Januari 1948 M. Semua peristiwa yang berlaku terhadap diri beliau dicatat
dengan kemas dan teliti, sehinggalah beliau selesai menulisnya. Kandungan
selanjutnya ialah berbagai-bagai jenis amalan untuk ketahanan diri menghadapi
perjuangan.
Ketiga, pada kata pengantarnya, Haji Muhammad Amin
mencerminkan jiwa patriotik, mengajak umat Patani terus berjuang. Di antara
kata-kata beliau;
“Dengan ini saya mengeluarkan sebuah
buku karangan ayahanda saya untuk menjadi pengetahuan kepada seluruh umat
Islam. Buku inilah menjadi pusaka bagi isterinya, anak-anaknya seterusnya kaum
bangsa kita”.
Kata Haji Muhammad Amin pula,
“Sekarang ini saya berseru kepada kaum muslimin dan muslimat sekelian, biar pun
ayahanda saya telah tidak ada lagi di muka bumi ini, kerana beliau telah mati
syahid, tetapi perasaan dan semangat serta juga jasa-jasanya masih hidup. Dan
tertanam di dalam jantung sanubari tuan-tuan sekalian untuk kita pula
bersama-sama bekerja dan mencapai tujuan-tujuan baik yang telah diasaskan oleh
ayahanda saya itu …”
Sebelum menutup karangan ini, sekali lagi Haji Sulong
memberikan kata-kata slogan perjuangannya, kata beliau pada halaman 13, “Akan
tetapi manakala saya teringat akan tarikh nabi-nabi dan sahabat-sahabat dan
tabi’in r.a bermacam-macam ditimpa percobaan di atas mereka itu, ialah menjadi
contoh dan tauladan supaya mengikut oleh mereka yang bersetuju melangkah
sebagaimana langkahan mereka itu yang patut dengan peredaran masa yang kelam
sekarang.
“Maka tidaklah jadi pelik dan dukacita, oleh kerana
perjalanan saya mengikut dasar mereka itu, iaitu meninggikan agama yang maha
suci…”
Sumber: Koleksi Ulama Nusantara, Hj.Wan Mohd
Shaghir Abdullah. Terbitan Khazanah Fathaniyah, tahun 2010 dan Artikel terkait.
Baca al-Fatihah… hadiah kepada para-para pejuang
Patani
Editor: Abu Muhammad Faton
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.