Kerajaan Melayu Campa
Kerajaan Rumpun Melayu Campa:
Bayangan Kepemimpinan dan Kepengurusannya
Maklumat
yang dipaparkan ini diperoleh dan diolah daripada internet, khususnya Internet
1.8 dan Internet 1.11 yang disenaraikan dalam senarai rujukan buku ini dan
sumber terpenting Maspero (1920/2002), dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks
di tempat-tempat yang berkenaan. Buku Maspero bersama dengan resensi/sorotannya
oleh Muhammad Alinor (2006) memberi banyak maklumat yang baru tentang Campa
yang menjadi bahan catatan utama di seksyen ini.
Sebuah
lagi kerajaan rumpun Melayu purba yang sebahagian tempoh kewujudannya selari
dengan Kerajaan Funan ialah Kerajaan Campa di Vietnam yang tidak kurang dilupai
oleh orang rumpun Melayu kini walaupun kewujudannya terus berlarutan serentak
dengan zaman kesultanan Melaka hingga abad ke-15M (akhir-akhir abad ke-2M
hingga pada 1471).
Pelarian orang Campa inilah yang kini menjadi orang Campa di
Kemboja itu dan lamanya orang Campa ini di Kemboja itu dan hampir sudah
tiadanya orang Campa di Vietnam itu menjadikan orang Campa kini dikenali
sebagai orang Kemboja sahaja. Jika bahasa bagi orang Funan itu tidak begitu
jelas ke-Melayu-annya kerana prasasti Funan yang dijumpai setakat ini sama ada
bahasa Sanskrit, bahasa Mon (peribumi Indocina yang kebanyakannya di Kemboja,
Myanmar dan Thailand Utara) atau Khmer sahaja, tetapi ke-Melayu-an bahasa Campa
hampir tidak dipertikaikan lagi. Hubungan bahasa Mon dan Khmer itu dengan
bahasa Melayu dikatakan samalah dengan hubungan bahasa Melayu dengan bahasa
Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Lihat umpamanya pandangan Wilkinson 1911),
tetapi bahasa Melayu Campa memang sudah diperakui sebagai bentuk bahasa Melayu
Purba/Kuno atau satu daripada loghat/dialek bahasa Melayu, yang banyak
perkataannya masih hidup dan sama atau dapat dikenali hingga sekarang (lihat
umpamanya kamus bahasa Campa-Melayu oleh Po Dharma 2000).
Ejaan
Rumi Melayu Malaysia dan Indonesia bagi perkataan “Campa” sebelum 1970-an
masing-masingnya ialah Champa dan Tjampa; manakala mengikut sebutan China pula
ialah Chan Cheng, atau pada awal-awalnya disebut Lin Yi; sedangkan Perancis
mengejanya Campa, Champa, dan orangnya Cham, Chame, Tchame, Cam; manakala
Inggeris mengejanya Champa, dan orangnya dieja sebagai Cham atau Cam) yang
bermula pada akhir abad ke-2M (berpusat di Annam sekarang) dengan kemuncaknya
pada abad ke-9M hingga ke-10M. Kemudiannya berubah pusatnya di beberapa tempat
di Vietnam sekarang kerana diserang-kalah oleh orang-orang dari China Selatan
yang dikenali sebagai Viet yang kini dikenali sebagai orang Vietnam itu
(Vietnam bermakna Negara Viet, iaitu drp Viet dan Bnam). Kerajaan Campa yang
lemah selepas kekalahan teruknya di tangan Viet pada 1471, wujud
sekurang-kurangnya sehingga 1663 (jatuhnya pusat pemerintahan Campa di
Panduranga, atau Phan-Rang kini, ke tangan orang-orang Vietnam itu). Sejak 1471
orang-orang Campa (ramai juga penulis dalam bahasa Melayu kini pun ikut
menggunakan “orang Cam”, walaupun di prasasti Campa hanya ada perkataan Campa
sahaja) secara besar-besarannya berhijrah/lari ke Kambujadesa (Kemboja
sekarang) untuk bernaung di bawah kerajaan di situ (yang memang ada hubungan
yang baik dengan Kerajaan Campa) sehingga kini orang-orang Campa dianggap
sebahagian orang asli Kemboja sahaja (dianggarkan kini seramai 600 ribu orang)
yang kebanyakannya tinggal di kawasan yang namanya masih dapat dikenali dalam
bahasa Melayu kini, seperti Kampong Cam (Kampung Campa) dan Kampong Ch’nang
(Kampung Cenang, asalnya Kampung Ceruk); sedangkan di Vietnam kini tinggal
kira-kira 50 ribu orang sahaja yang dianggap oleh kerajaan Vietnam sebagai
orang asli Vietnam yang eksotik. Antara nama-nama Melayu Campa pada
tempat-tempat di Vietnam ialah Amaravati (di sepanjang pantai di Annam, Vietnam
Utara), Inderapura (Quang Nam sekarang, di Vietnam Tengah), Vijaya (Binh Dinh
sekarang), Kauthara (Nhatrang sekarang) dan Panduranga (Phanrang sekarang).
Mengikut
INTAN (1991) Campa meninggalkan sebanyak 98 buah prasasti (batu bersurat) dalam
bahasa Melayu (Purba/Kuno) dan 29 buah prasasti dwibahasa (Sanskrit-Melayu), 43
buah prasasti dalam bahasa Sanskrit yang ditulis pada Zaman Kerajaan Campa itu
dan dijumpai di Vietnam. Prasasti yang tertuanya dalam bahasa Melayu itu
bertarikh sekitar kurun ke-4M (ada dalam buku INTAN itu) dan di prasasti itu
terpancar adanya pemerintahan Melayu yang bersistem di Vietnam itu. Prasasti
tertua zaman Kerajaan Campa itu yang ditulis dalam bahasa Sanskrit ialah yang
bertarikh 192M. Hampir semua prasasti ini sudah ditranskripsi ke Rumi dan
diterjemah kepada bahasa Perancis. Dalam Majumdar terdapat 130 buah manuskrip
yang diterjemah kepada kepada Inggeris. Hanya sedikit sahaja yang diterjemah ke
dalam bahasa Melayu kini. Status mutakhirnya (makluman Muhammad Alinor kpd
penulis tentang fakta ini dalam Jacques 1991), prasasti Campa yg ditemui hingga
kini ialah berjumlah 205 buah: 109 dalam Melayu Campa, 29 bahasa campuran
dengan Sanskrit dan 23 buah yang belum diketahui bahasanya. Prasasti Khmer
purba pula sekitar seribu buah: 45% drpnya dalam bahasa Khmer purba, 30%
Sanskrit dan selebihnya bahasa campuran Khmer-Sanskrit. Usaha sedang dilakukan
oleh sekumpulan penyelidik etnomatematik di INSPEM, UPM untuk menterjemah
semuanya kepada bahasa Melayu kini. Sebenarnya orang-orang Campa masih menulis
walaupun selepas negaranya hancur. Malah mengikut Mohamad Zain (1993), seorang
keturunan Campa sendiri dan kini menjadi pensyarah sejarah di UKM menyatakan ada
438 buah manuskrip Campa (dalam aksara Jawi, aksara Campa dahulu atau aksara
Vietnam) yang tersimpan di beberapa buah perpustakaan di Perancis terutamanya
di EFEO (Ecole Francais d’Extreme-Orient). Perkembangan terbarunya, ada
dilaporkan terdapatnya manuskrip lain lagi di AS dan UK yang menambahkan lagi
bilangan ini.
Nama
raja Campa yang tertulis pada beberapa buah prasasti (kerana kehebatannya)
ialah Raja Bharavarman I yang memerintah dalam abad ke-6M. Raja-Raja Campa yang
lain ialah (mengikut Internet 1.11) terdapat lima raja sebelumnya (Sri Mara
192M, Fan Hsiang/Hiong (270M), Fan Yi (284-336M), Fan Wen (336-349M) dan Fan Fo
(349M-?). Kemudian 3 orang selepas Bharavarman I dan beberapa orang bernama Fan
lagi termasuklah Fan Yang Mai (431M), diikuti oleh beberapa lagi termasuk
Rudravarman I (529M), Prakadasadharma atau Vikrantavarman I & II
(653-730M), Rudravarman II (749), Rudravarman III (1061-1074M, menyerang
Vietnam Utara 1068M)…… Jaya Simhavarman I (898M), II (1030-1044M), III
(meninggal 1307M dan dikenali sebagai Che Man oleh Vietnam atau Pou-ti oleh
China), IV (1307-1312M), V (1400-1441M)…….Che Bong Nga (1360-1390M, raja Campa
terakhir yang kuat) diganti oleh Raja Jaya Simhavarman Sri Harijatti atau La
Ngai oleh Vietnam (mati 1400) ……P’an-Lo T’ou-T’siuan (1460-1471, tahun 1471
ialah tahun kekalahan teruk Campa Vijaya oleh raja Vietnam Le Loi sehingga 40
ribu orang Campa dibunuh dan lebih daripada 30 ribu diusir keluar Vijaya).
Senarai lengkap raja-raja Campa dapat dilihat dalam internet (Internet 1.11)
dan perincian yang lebih lagi dapat ditelaah dalam buku Maspero (1920/2002) .
Sejarah
kemasukan Islam ke Campa masih belum begitu muktamad sebagaimana yang
dibicarakan oleh Shaharir (2004a). Umpamanya, mengikut Maspero (2002) dalam
tempoh 1280-an hingga 1300-an, raja Campa berada di bawah dua orang rajanya
yang bernama (selain nama Sanskritnya) Che A-nan (Cik Adnan?) 1265-1287 dan Che
Bong Nga (Cik Bunga?) 1287-1307 yang pusat pemerintahannya di Pandurangan (kini
bernama Phanrang itu). Mengikut Maspero lagi, nama rasmi raja-raja ini
memanglah dalam Sanskrit, masing-masingnya Indravarman VI dan Jaya Sinhavarman
yang jauh daripada nama Islam. Kemungkinan besarnya raja-raja Campa pada masa
itu sama seperti raja-raja Dinasti Ming di China yang beragama Islam tetapi
dikekalkan nama rasmi bukan Islamnya. Malah mengikut Maspero itu antara
1000-1036M beberapa orang raja Campa bermula dengan Shri Yau Pu Ku Vijaya atau
nama Cina/tempatannya Yan Pou Kiu/Che-li Pi-t’ou-yi (memerintah dalam 999-1007
M) dan berakhir dengan Yan Pu Ku Shri Vikrantavarman IV (memerintah dalam
1030-1036M), setiap seorangnya diberi gelaran Po Oulah yang bermaksud Wakil
Allah kerana keIslaman mereka. Mengikut Willoughby (1991) pula, ada teks China
yang menyatakan seorang duta Campa ke China pada 951M yang Islam bernama Pu Ho
San (iaitu transliterasi China kepada Abu al-Hasan) dan pada 960M suatu
delegasi diplomat Campa seramai 100 orang yang diketuai oleh Pu Lo E
(transliterasi China kepada Abu Ah) melawat ke China; dan setahun kemudian
rombongan seramai 300 orang diketuai oleh Hu Xuan (transliterasi China kepada
Hussain) yang bertujuan yang serupa.
Walaupun
pada tahun 1478M, raja Campa Bo Tri Tri menguasai Vietnam selatan sekarang, di
Kauthara dan Panduranga, dan kerajaan Campa baru ini diiktiraf China, namun
keadaannya “hidup segan mati tak mahu” sahaja. Kerajaan Campa baru ini
dikatakan berupa kerajaan yang rajanya beragama Islam dan membuat hubungan baik
dengan kerajaan rumpun Melayu Islam di Alam Melayu ini seperti Kerajaan Melaka,
dan Johor-Riau. Dalam keadaan diasak oleh Vietnam, raja Campa Islam bernama Po
Klau Halu (1579-1603M), masih mampu menghantar pasukan tenteranya membantu
kerajaan Johor menentang Portugis. Pada 1653M kerajaan Campa mengecil lagi
sehingga hanya tinggal di Pandurangga (Phanrang sekarang) sahaja. Akibat
peperangan saudara kerajaan Vietnam, kerajaan Campa Panduranga tersepit dan
rajanya Po Cei Brei pada 1802M bersama ribuan pengikutnya lari ke Kampuchea.
Raja Campa di Panduranga sejak itu berupa patung kerajaan Vietnam sahaja.
Kebangkitan orang Campa menentang Vietnam cukup acap kali berlakunya tetapi
yang agak besarnya (ramai yang mengatakan terakhir besarnya) ialah pada
1833-1935 di bawah pimpinan mujahid Katip Sumat dan nasionalis Ja Thak Va.
Kematian mereka ini boleh dikatakan menamatkan riwayat penentangan Campa di
Vietnam, walaupun saki baki pemberontakan orang-orang Campa (bersama-sama
dengan peribumi Indochina yang lain) berjaya membentuk pakatan pemberontakan
yang bernama FLM=Front de Liberation des Montagnards = Barisan Kebebasan
Penghuni Gunung 1955 dan menukar namanya kepada BAJARAKA =
Bahnar+Jarai+Rade+Kaho (nama suku-suku kaum Campa) 1958 dan kemudiannya bersatu
dengan beberapa barisan pemberontak di Kemboja termasuk FLC= Front de
Liberation du Champa = Barisan Kebebasan Campa yang ditubuhkan oleh Kol. Les
Kosem, Kolonel Cam di Kemboja lalu menjadi FULRO=Front Unifie de Lutte des
Races Oprimees = Gabungan Barisan Pembebasan Bangsa-Bangsa Tertindas) 1963.
Barisan kebebasan Campa ini melancarkan beberapa kali pemberontakan di Vietnam
selepas tahun 1955 itu (Lihat Mohammad Zain dan Nik Hassan Suhaimi 2004, dan Po
Dharma 2005b). Mereka ini mahu kuasa autonomi di kawasan pergunungan di Vietnam
Tengah (Provinsi Kontum) kawasan yang didiami khas oleh orang-orang Campa (mendapat
perlindungan) pada masa pemerintahan Perancis di Vietnam dahulu. Kawasan ini di
rampas oleh kerajaan Vietnam sejak pemerintahan Ngo Din Diem untuk penempatan
pelarian Vietnam Utara pada 1955 dari tekanan komunis.
Pemberontakan
FULRO yang agak besar kerana mendapat sokongan kerajaan Kemboja ialah pada 1964
tetapi gagal sepenuhnya. Pada 1973 lagi sekali pemberontakan FULRO di bawah Kpa
Koi berlaku bersama komunis dan berjaya merampas wilayah pergunungan Vietnam
Tengah itu. Namun pada 1975 komunis Khmer Rouge berjaya menawan Kemboja dan
Jen. Les Kosem pun lari ke Perancis dan semua pemimpin FULRO yang lain
ditangkap dan dibunuh bersama-sama ratus ribuan, malah dilaporkan jutaan, orang
Khmer, satu pembunuhan beramai-ramai yang bersistem dan terkenal itu, tetapi
tidak begitu dihebah-hebahkan sangat di Alam Melayu ini kerana kepekaan rumpun
Melayu ketika itu pun kepada orang Campa sudah hampir tiada, atau tidak
setinggi terhadap Melayu Patani lagi. Pada 1979 Khmer Rouge memaksa FULRO yang
diketuai Kpa Koi bersatu dengannya untuk melawan Komunis Vietnam dan Khmer
Rouge berjaya pada 1994, tetapi FULRO tiada mendapat apa-apa, malah terus
ditindas lebih teruk lagi! Selepas itu FULRO meminta Bangsa-Bangsa Bersatu
membenarkan FULRO berhijrah ke Amerika Syarikat dan terus berjuang dari jauh.
Pada 2001 kaum minoriti di Vietnam Tengah (dengan sokongan FULRO?) memberontak
lagi dan kerajaan Vietnam memerintahkan penghapusan total kaum minoriti ini
lalu beribu-ribu orang Campa ini lagi lari ke Kemboja lagi dan meminta izin
Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berhijrah ke AS. Pada 10 dan 11 April 2004 kaum
minoriti Vietnam ini dengan sokongan FULRO memberontak lagi dan Hanoi
menghancur-leburkannya. Sedihnya berita-berita pemberontakan ini langsung tidak
sampai kepada kita kerana kepekaan kita terhadap rumpun sendiri itu sudah
lenyap ditimbus oleh kolonialisme dan kemudiannya nasionalisme sempit kita.
Corak
pemerintahan Campa adalah dipengaruhi oleh sistem keagamaan Hindu dan Budha
yang danuti oleh semua rajanya sehingga kurun ke-15. Raja memiliki kuasa
mutlak. Mengikut buku Maspero (1920/2002, sistem pentadbiran Campa cukup kemas,
nisbah zaman itu, dengan adanya pelbagai pegawai kerajaan termasuklah adanya
para purohita (ketua-ketua jabatan), Brahma, ahli nujum, pandit (pendeta/ilmuwan),
dan Ketua Perkhidmatan Awam. Negaranya dibahagi kepada beberapa jajahan/wilayah
dan setiap jajahan ini dibahagi kepada beberapa buah daerah/provinsi yang
dinamainya pramana dan vijaya yang masing diperintah oleh keluarga raja yang
bergelar uran (menjadi “orang” dalam bahasa Melayu sekarang). Setiap raja
jajahan (gabenur/gubanur) ada tidak kurang daripada 50 pegawai pentadbir
termasuk juru akaun. Setiap jajahan boleh dikatakan bebas daripada pusatnya,
masing-masing membina kekuatannya sendiri. Tentera berperang (ada tentera
khusus yang bergajah dan berkuda) diiringi dengan muzik/serunai perang, secara
berkumpulan lima-lima; jika seorang lari, maka semuanya boleh dihukum bunuh.
Asykar bertaraf jeneral digelar Mahasenapati atau Senapati (sama seperti Kerajaan
Funan). Semua asykar bersumpah pada raja untuk berjuang sehingga ke akhir
hayat. Mereka memperoleh berbagai-bagai subsidi dan tidak dikenakan cukai.
Bagaimana
teraturnya pentadbiran dan pengurusan kerajaan Campa yang terbayang daripada
kewujudan jawatan-jawatan itu dapat difahami lagi dengan adanya sistem subsidi
dan cukai kepada kaki tangan kerajaannya, adanya unit-unit sukatan seperti yak
dan jak (untuk berat atau isipadu beras dan sebagainya) yang masih dipakai oleh
para petani sekarang, di Kelantan umpamanya; sukatan jarak li dan chang
(kira-kira sama dengan 10 kaki atau sekitar 3 meter); unit luas yang dinamai
sinjol, makik, malau dan satam; unit berat tael (ejaan Melayu kini ialah
“tahil”, dan masih dipakai hingga sekarang), dram (sekitar 3 gm dan 12 dram =
setael; di Barat drum yang berpunca drp bahasa yang sama, Sanskrit: drama,
digunakan untuk isipadu cecair), thil atau tei untuk emas dan benda-benda yang
berharga seperti itu (sekarang menjadi tahil juga), karsa atau kar untuk benda
lain yang seberat thil juga, kemudian unit yang lebih tinggi lagi: pala = 4
karsa, tula = 100 pala dan bhara = 20 tula. Unit-unit lain lagi yang belum
diketahui kuantitinya mengikut sukatan moden ialah panda, kattika dan pana.
Semua ini berlaku sekurang-kurangnya sejak abad 8M lagi. Wujudnya sistem unit
sukatan yang agak lengkap ini tidak menghairankan apabila mengenangkan Campa
juga, bersekali dengan Kerajaan Funan-Chenla, sudah mendahului dunia dalam
ciptaan sistem angka perpuluhannya dengan wujudnya sistem tersebut
sekurang-kurang sejak abad ke-6M lagi (lihat Fazura 2005). Unit-unit sukatan di
atas wujud di Campa sekurang-kurangnya dalam abad ke-12M kerana unit-unit itu
tercatat di prasasti Campa bertarikh 1150M
Bilangan
tiga, tujuh dan seratus menjadi nombor mistik Campa dalam upacara kematian yang
masih diwarisi oleh orang-orang rumpun Melayu sekarang walaupun ini
bertentangan dengan ajaran Islam: orang biasa dibakar secepat mungkin pada hari
kematian, bagi orang besar upacara dibuat 3 hari selepas kematian, raja selepas
7 hari dan 7 hari kemudian orang datang membakar jostik dan menangis lagi pada
abu mayat dan ini diulangi 7 kali setiap minggu sekali, pada hari ke-100
selepas 3 tahun kematian mereka membuat upacara mengingatkan kematian itu lagi.
Di
sepanjang wujudnya kerajaan Campa itu, tentu wujud pemimpin-pemimpin besarnya
yang mengamalkan suatu cara kepemimpinan dan kepengurusan yang dianggap hebat
sekurang-kurang pada zaman itu, terutamanya pada zaman kemuncaknya yang dinamai
Zaman Mison atau My-Son itu. Umpamanya, Raja Bharavarman I (abad ke-6M) itu
layak ditakhtakan sebagai seorang raja agung kerajaan Campa, dan jika seseorang
mahu mempercayai (harus sahaja) adanya Rasul atau Nabi bagi rumpun Melayu
(Campa), sesuai dengan gambaran yang diimplikasikan oleh beberapa ayaht
al-Qur‘aan itu (yang ditafsirkan oleh ulama, Hamka umpamanya, bahawa setiap
kaum besar ada nabi atau rasul yang menyampaikan ilmu wahyu dalam bahasa
kaumnya sendiri), maka baginda mungkin layak menjadi calonnya. Raja-raja agung
campa diberi gelaran Cakravantin (yang bermakna Pemimpin Alam) dan ciri-ciri
Cakravantin ini dibincang berasingan kelak (lihat Bab 3). Ini berbeza dengan
raja-raja Funan, Chenla dan Kambujadesa atau Angkor yang agung yang nampaknya
tidak diberi gelaran Cakravantin tetapi diberi gelaran Deva-raja, Rajadhiraja,
Maharajadhiraja dan lain-lain itu yang telah disebut dalam seksyen 1.6. dahulu.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.