Total Pageviews

Wednesday 14 August 2019

Pewarna dalam teh tidak dibenarkan


Pewarna dalam teh tidak dibenarkan, kata Rosnah



KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin semalam mengesahkan penggunaan bahan pewarna tiruan dalam teh adalah tidak dibenarkan walaupun selamat digunakan.

Katanya berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan oleh kementerian, pewarna tiruan yang dikesan di dalam teh adalah Sunset Yellow, Tartrazine, Carmoisine atau Ponceau 4R di mana pewarna-pewarna ini adalah dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bagi makanan dan minuman tertentu.

“Ini bermakna, bahan pewarna tiruan yang dikesan di dalam teh adalah selamat digunakan tetapi tidak dibenarkan penggunaannya di dalam teh untuk mengelakkan penipuan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai laporan Bernama semalam mengenai penjualan dan pengambilan teh timbang di Kelantan yang mengandungi bahan pewarna sintetik yang dikatakan boleh menyebabkan masalah kesihatan khususnya kanser dalam jangka panjang.

Justeru Rosnah menasihati pengguna supaya tidak membeli atau meminum teh yang mengandungi bahan pewarna tiruan.

“Kementerian berharap orang ramai tidak perlu panik kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa dijamin,” katanya.

Rosnah berkata teh yang mengandungi bahan pewarna tiruan boleh dikesan dengan menabur serbuk teh di permukaan air sejuk di dalam gelas jernih di mana bahan pewarna tersebut akan turun dengan serta-merta.

Katanya kementerian itu juga sentiasa membuat pemantauan dan penguatkuasaan ke atas penggunaan bahan pewarna dalam teh. Berdasarkan statistik, dari tahun 2006 hingga 2010, sebanyak 10 peratus (125 sampel) daripada sejumla 1,253 sampel teh didapati mengandungi bahan pewarna tiruan.

Susulan daripada itu, sebanyak 28 kes telah didakwa di mahkamah di mana sejumlah RM35,350 denda telah dikenakan ke atas pesalah tersebut.

Tambahnya pengguna yang mengesyaki teh yang dibeli atau diminum telah diadukkan dengan bahan pewarna tiruan, boleh membuat laporan kepada kementerian melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my. — Bernama




.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.