SEJARAH AWAL KEDATANGAN ISLAM DI SELATAN FILIPINA
JANUARI 24,
2019 ADMIN 2019, GEOPOLITIK
Filipina adalah merupakan antara gugusan pulau
dalam kepulauan Melayu yang mempunyai berbagai sejarah dan keunikan sendiri
bahkan berkongsi banyak persamaan dengan masyarakat di malaysia dan indonesia
umumnya. Umum mengetahui bahawa masyarakat filipina merupakan sebahagian
daripada kelompok darah melayu austronesia dan sudah pastilah ini merupakan
antara bukti kita dahulu dalam satu rumpun dan kelompok yang sama di nusantara.
Filipina asalnya adalah sebuah kerajaan islam yang hebat pada
zaman dahulu, namun keadaan berubah sekelip mata selepas kedatangan sepanyol ke
filipina pada tahun 1565. Mengikut fakta sejarah pemerintahan Islam di Filipina
telah berkembang dari Pulau Sulu hingga ke utara pada akhir abad ke15. Pada
zaman itu, Manila dipanggil Selurong dan diperintah oleh Raja Sulaiman Mahmud
dengan bantuan Raja Matanda.Wilayah Tondo pula diperintah oleh Raja Iskandar.
Pada masa yang sama Islam telah berkembang sehingga ke Batangas, Pampanga,
Cagayan, Mindoro, Catanduanes, Bonbon, Cebu, Oton dan Laguna.
Mengikut Syed Muhammad Naquib Al-Atas dalam bukunya “Historical
Fact And Fiction” dan tarsila * Magindanao, Islam telah sampai ke Filipina
seawal abad ke13 apabila pendakwah berbangsa Arab dengan gelaran Tuan Masha’ika
menjejakkan kakinya di Pulau Sulu. Pada zaman itu Filipina dikenali sebagai
Kepulauan (Arkipelago) Sulu. Pedagang dan pendakwah Arab bergelar Karim
Al-Makhdum dari Pasai sampai ke Sulu pada tahun 1360. Beliau diberi gelaran
Sharif Awliya. Sharif Awliya kemudian meneruskan perjalanannya ke Magindanao
dan menyebar agama Islam disana.
Pada 1390 datang pula Syed Abu Bakar seorang Arab dari Selatan
Arab ke Sulu bagi menyambung usaha-usaha Sharif Awliya. Syed Abu Bakar kemudian
menaiki tahta sebagai Sultan Sulu pertama dan mengguna gelaran Sharif Hashim.
Sharif Awliya adalah pendakwah Islam yang pertama tiba di Magindanao. Pendakwah
kedua yang digelar Sharif Maraja pula datang ke Magindanao pada 1380 (setelah
Sharif Awliya balik ke Pasai) dan menyambong penyebaran Islam.
Pada 1440 (bukan 1515 seperti yang direkod oleh pengkaji sejarah
Cecil Mabul), Sharif Kabungsuan telah sampai ke Magindanao dan memulakan
pemerintahan Kesultanan Magindanao. Walaupun tiada dinyata dalam tarsila
Magindanao, tetapi mengikut cerita tradisi dan boleh dipercayai, Sharif
Kabungsuan mempunyai dua abang bernama Alawi dan Ahmad atau Ahmad dan
Muhammad.Diantara kedua abangnya, yang tua sekali adalah pengasas kesultanan
Brunei dan abangnya yang kedua pengasas Kesultanan Sulu. Secara umumnya
dipercayai bahawa,Sultan-Sultan Sulu, Magindanao dan Brunei adalah adik beradik.
Cetusan
Konflik di Selatan Filipina
Selepas Filipina merdeka daripada kuasa Kolonial Amerika,majoriti
penduduk Islam telah berpindah ke Magindanao, Zamboanga, Palawan, Sulu,Visayas
,Bisalan danTawi-Tawi. Walaupun telah merdeka nasib penduduk Islam
dipinggirkan.
Akibat ditindas maka ramai yang menentang
kerajaan sehingga mereka dikenali sebagai pejuang kebebasan Moro.
Sebenarnya perkataan Moro adalah nama yang diberi oleh orang Spain
kepada penduduk Muslim di Filipina pada tahun 1570. Moro adalah daripada
perkataan “Moors”, iaitu orang Islam dari Utara Barat Afrika yang menawan Spain
pada 711 Masehi. Masyarakat Eropah umumnya menamakan setiap orang Arab dan
Afrika Muslim (yang berkulit hitam) sebagai Moors. Namun pada tahun 1578,
kerajaan penjajah Spain telah menamakan hanya orang-orang Muslim di Sulu dan di
Mindanao sebagai Moro.
Apabila tercetusnya pembunuhan yang dipanggil Pembunuhan Jabidah (
Jabidah Massacre) pada 1968 oleh Angkatan Tentera Filipina keatas pejuang Moro,
seorang penuntut Moro ketika itu, bernama Nur Misuari , telah menubuhkan
Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro pada Mac 1969. Pergerakan ini dikenali
sebagai MNLF .
Pembunuhan Jabidah atau “Corregidor Massacre” ini menjadi titik
tolak bagi Nur Misuari untuk bersatu dengan pejuang-pejuang Moro yang lain
menubuh MNLF untuk menentang Kerajaan Filipina.Matlamat perjuangan adalah
memohon kebebasan keatas Wilayah Magindanao dengan mengiktirafnya sebagai
entiti Autonomi Muslim Mindanao.
Beberapa perjanjian damai telah ditandatangani antara pihak
Kerajaan Republik Filipina (GRP) dengan MNLF. Perjanjian Damai telah melangkau
lima era pimpinan Presiden dan yang keenam dan terkini adalah dibawah pimpinan
Presiden Benigno Aquino III. Sepanjang tempoh pimpinan lima Presiden, berlaku
beberapa pertempuran diantara pihak Kerajaan Filipina dengan MNLF dan
dianggarkan seramai 120,000 nyawa rakyat (samada pejuang Moro; penduduk Islam;
tentera kerajaan; mahu pun rakyat bukan Islam) telah terbunuh.
Rangka kerja Perjanjian Damai kali ini adalah kearah membentuk
satu entiti Autonomi “Bangsamoro” seperti yang dipersetujui oleh Presiden
Aquino III dan bukan lagi Wilayah Autonomi Muslim Mindanao. Jangkamasa untuk
mencapai pembentukan ini adalah sehingga 2016.Dimana selepas itu
pejuang-pejuang Moro harus meletakkan senjata mereka dan kembali kepada
masyarakat Bangsamoro dan lalui hidup seperti rakyat biasa.Seterusnya
wilayah-wilayah yang bersetuju untuk dimasukkan dibawah Autonomi Bangsamoro
telah dikenalpasti.
Keperluan
Penyatuan Ummat Islam di Selatan Filipina
1) Pusat keamanan serantau
Jika kita begitu sensitif mengambil tahu hal penindasan ummat
Islam di Palestin, Syria, Yaman dan negara-negara berkonflik kita sewajibnya
berasa tersentuh dengan penindasan yang berlaku pada muslim di Selatan
Filipina. Tuduhan penglibatan dalam keganasan satu perkara yang perlu ditimbal
semula atas dasar agama dan kemanusiaan.
Pergolakan yang berlaku pada rakyat di Selatan Filipina satu
mainan politik yang menampakkan mereka tidak perlu dipedulikan terutama pada
negara terhampir iaitu rakyat Malaysia. Namun bila kita menjengah sendiri di
ceruk bandar dan kampung mereka kita tahu rakyat ini majoritinya beragama Islam
hidup dalam kesempitan serta tidak diberikan hak keperluan asas sebagai manusia
dalam menjalani kehidupan atas kegiatan rasuah yang berlaku di peringkat
dalaman. Selain itu, momokan keganasan yang berlaku kepada bangsa mereka
menyebabkan kurangnya pendakwah-pendakwah yang datang memberitahu kebenaran
hidup beragama maka mereka meneruskan amalan agama Islam mengikut apa yang
ditinggal oleh nenek moyang mereka.
Inilah tanggungjawab kita, jika para ugamawan menyedari
bagaimana terhimpit kehidupan muslim di Mindanao dan Selatan Filipina terhadap
keperluan ilmu agama kerana mereka iti saudara seislam yang memiliki jati diri
yang kuat tetapi memerlukan para ahli agama membantu lantaran kesempitan sumber
ilmu dan kesusahan kehidupan yang menghimpit.
Para NGO sepatutnya lebih mengutamakan rakyat Muslim Selatan
Filipina yang memerlukan bantuan asas kehidupan seperti air bersih, pendidikan,
makanan asas dan peluang pekerjaan kerana jika kita meringankan kehidupan
kemiskinan mereka kita akan mengurangkan kadar berlakunya jenayah dan keganasan.
2) Penyelesaian konflik dalaman
Akibat proses penjajahan yang panjang selama ratusan tahun
menyebabkan keadaan muslim Selatan Filipina ditindas dengan banyak keperluan
dan hak mereka tidak dipenuhi. Campur tangan pelbagai pihak Ngo dalam membantu
menyuluarakan sensitiviti kita dalam membantu saudara seagama ini dapat
menyedarkan pihak kerajaan tentang pentingnya kebebasan Wilayah Filipina agar
masyarakat Selatan Filipina mengolah pemerintahan tanah mereka sendiri mengikut
struktur pemerintahan beraja dan adat istiadat yang dipelihara zaman berzaman
ini dilaksanakan serta konflik dalaman dapat dihapuskan menyebabkan banyak
manfaat akan diperoleh oleh kedua-dua pihak bagi menyelesaikan konflik beratus
tahun ini.
3) Penyelesaian pati dinegara jiran
Lambakan pendatang tanpa izin dari Selatan Filipina di Sabah
adalah satu faktor besar yabg membuktikan kedamaian harus dicapai di Selatan
Filipina agar tiada berlaku rakyat di sana datang ke Malaysia. Keadaan himpitan
kehidupan yang melanda akan menyebabkan sesiapa pun mencari peluang untuk meneruskan
kehidupan. Maka jika keamanan wujud di negara mereka adakah mereka sewenangnya
lari ke negara jiran berhadapan dengan pelbagai risiko melainkan merea terpaksa
dan perlu menyelamatkan nyawa mereka dan keluarga. Faktor ini harus dipandang
berat oleh kerajaan Filipina agar ketegangan yang melibatkan diplomasi dua
negara dan negara serantau diselesaikan dengan matang dan tidak merugikan.
4) Masalah lanun
Umum mengetahui, bahawa titik tolak daripada masalah di pergolakan
di Selatan Filipina menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan
menjadikan perairan sempadan antara 3 buah negara berdekatan sebagai lubuk
kegiatan lanun. Kegiatan tersebut menyebabkan banyak kapal-kapal yang melalui
perairan tersebut bimbang dengan keselamatan anak kapal dan barangan dagangan
yang dibawa untuk melalui perairan tersebut.
Memang diketahui perairan tersebut dikenali antara perairan yang
menghubungkan antara negara negara jiran yang menjalankan kegiatan eksport dan
import komuditi sebagai sumber ekonomi, hal ini menggalakkan pertumbuhan
lanun-lanun sehingga mengganggu aktiviti ekonomi antara negara. Tambahan pula,
kawasan tersebut amat dikenali oleh pelancong luar sebagai ‘world of paradise’
kepada pencinta alam semulajadi dan aktiviti laut dan pulau. Kesan kegiatan lanun
tersebut telah menyebabkan aktiviti perlancongan tidak dapat berkembang dengan
baik kerana pelancong gusar dengan kes kes penculikan yang berlaku saban tahun.
5) Menyekat aliran ekstrim abu sayyaf, Islamic state, ISIS
Kita mengetahui, ada satu pihak yang suka menggunakan nama Islam
atas nama jihad tetapi mereka adalah boneka-boneka yang ingin meruntuhkan nilai
suci agama Islam dengan menggembar gemburkan tema keganasan. Kumpulan-kumpulan
jadian ini mengambil kesempatan atas konflik di Selatan Filipina bagi
memburukkan rakyat Muslim Selatan Filipina yang bukannya pengganas realitinya
mereka hidup dalam kemiskinan dan berusaha untuk hidup bersama keluarga mereka.
Bantuan dari pelbagai pihak terhenti lantaran persepsi negatif dari
kumpulan-kumpulan pengganas ini.
Oleh itu,ummat Islam di Filipina wajib bersatu dan menolak
faham-fahaman radikal dan membangunkan negara dengan wajah Islam yang
melambangkan kedamaian dan penyatuan atas dasar tauhid dan akhlak Rasulullah
saw.
Para ulama’dan muslim di negara-negara sekitar juga perlu memberi
galakkan dan membantu perkembangan dakwah yang membawa penyatuan di bumi
Filipina agar fitnah dari kumpulan-kumpulan jahat ini dapat dipadamkan.
6) Stateless
Dikawasan laut sekitar perairan Malaysia, Indonesia dan Filipina
ada golongan masyarakat yang tidak mempunyai warganegara atau termanya
‘stateless’. Golongan stateless ini dikenali sebagai masyarakat Bajau Palaut
yang sehingga ke hari ini mereka tidak mempunyai warganegara kerana negara
sekitar tidak mengakui mereka ini adalah sebahagian daripada warga mereka
kerana masyarakat ini tidak tinggal di darat, tapi di perahu perahu kecil di
perairan pantai atau laut. Apabila ditelusuri sejarah masyarakat ini mereka
sebenarnya berasal daripada kepulauan di Selatan Filipina sebahagiannya di
Malaysia dan Indonesia amnya.
………………………………………………………………………………………………………………………………………
Konklusinya,pemerhati geopolitik berpendapat jika penumpuan kepada
aspek keamanan dan kesejahteraan dalam konteks penyatuan ummat islam di Selatan
Filipina mampu menyelesaikan masalah yang berlaku kini yang tiada
penyelesaiannya. Sudah pasti Dunia akan bertumpu kepada Selatan Filipina kerana
berjaya membawa agenda perubahan kepada keamanan dan kesejahteraan sejagat. Hal
ini akan menjadi nilai tambah kepada kepercayaan masyarakat dunia kepada
Pemerintah di Selatan Filipina dan kerajaan Filipina amnya akan kematangan dan
kebolehan mereka mengubah zon yang dikatakan tidak selamat serta dalam kancah
perang kepada sebuah kawasan yang selamat untuk dikunjungi dan dilawati
oleh orang luar.
Antara lain cetusan kepada penyatuan Ummat Islam di Selatan
Filipina bukan sahaja menjamin keamanan dan kesejahteraan kepada masyarakat
setempat bahkan mampu melonjakkan ekonomi di wilayah tersebut. Wilayah di
Mindanau dan Selatan Filipina diketahui antara kawasan yang kurang membangun
dibandingkan di kawasan lain di Negara Filipina. Dengan sumber alam yang tidak
terhad di wilayah tersebut, mampu menarik pelabur asing dan pelabur tempatan
untuk kembali melabur dan membangunkan ekonomi di wilayah tersebut. Hal ini
pasti memberi impak positif kepada ekonomi dan sosial masyarakat setempat dan
amnya kepada kerajaan Filipina sendiri.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.