Apa itu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)
HARIMAU Pembebasan
Tamil Eelam atau singkatannya LTTE ialah organisasi gerila yang berjuang
menentang kerajaan Sri Lanka bagi mendapatkan tanah air bebas di utara dan
timur pulau itu yang didiami majoriti penduduk berketurunan Tamil.
Susulan kemerdekaan Sri Lanka
dari penjajah pada tahun 1948, etnik Tamil menjadi minoriti dengan kaum
Singhala membentuk 69 peratus daripada penduduk di pulau tersebut.
Sejarah ketidakseimbangan
antara kaum Singhala dan Tamil itu dikatakan menjadi latar belakang penubuhan
LTTE pada 5 Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran.
Menjelang tahun 1970-an,
perjuangan politik yang pada awalnya menuntut negara Tamil bebas digunakan sebagai
alasan untuk melakukan pemberontakan diketuai LTTE.
LTTE dilaporkan melancarkan
beberapa serangan gerila dan pada tahun 1983, selepas pembunuhan 13 orang
tentera oleh gerila Tamil dan serangan balas tentera Sri Lanka, pertempuran
skala besar tercetus antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE.
Menjelang tahun 1985, LTTE
berjaya menguasai Jaffna dan sebahagian besar Semenanjung Jaffna di utara Sri
Lanka.
Di bawah arahan Prabhakaran,
LTTE yang terkenal menggunakan wanita dan kanak-kanak dalam peperangan berjaya
menghapuskan kebanyakan pesaingnya dalam kalangan kumpulan Tamil menjelang
tahun 1987.
Pada Oktober 1987, LTTE
kehilangan kuasa di Jaffna berikutan pasukan Peace Keeping Force India (IPKF)
yang dihantar ke Sri Lanka bagi membantu melaksanakan gencatan senjata penuh,
namun susulan penarikan diri IPKF pada Mac 1980, LTTE kembali berkuasa dan
terus melancarkan beberapa operasi gerila dan serangan ganas.
Pada 21 Mei 1991, seorang
pengebom bunuh diri membunuh bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi ketika
beliau berkempen di Tamil Nadu.
Serangan lain termasuk
pembunuhan Presiden Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa pada Mei 1993, serangan bom
pada Januari 1996 di bank pusat Colombo yang meragut 100 nyawa dan serangan
pada bulan Julai 2001 di Lapangan Terbang Antarabangsa Colombo memusnahkan
separuh daripada pesawat komersil negara itu.
Bagi membiayai operasi, LTTE
menjalankan pelbagai aktiviti haram termasuk merompak bank, mengedar dadah
serta memeras ugut warga Tamil di Sri Lanka dan beberapa tempat lain, namun ia
turut menerima bantuan kewangan daripada orang Tamil yang tinggal di luar
negara.
Dianggap antara kumpulan
pengganas paling sofiskated di dunia, LTTE turut dilengkapi dengan sayap
tentera laut, unit udara, sayap perisikan serta unit khas serangan bunuh diri
dikenali sebagai 'Black Tiger', ahli unit tersebut akan mengorbankan diri
sendiri dengan menelan kapsul sianida sekiranya ditangkap pihak berkuasa Sri
Lanka.
Dalam pada itu, rundingan damai
antara LTTE dan kerajaan Sri Lanka sering menemui kegagalan dan pada Disember
tahun 2000, gencatan senjata dua hala yang dirancang hanya bertahan sehingga
April.
Susulan itu, pertempuran antara
LTTE dan kerajaan kembali sengit sehingga Februari tahun 2002 apabila kedua-dua
pihak menandatangani perjanjian gencatan senjata kekal.
Namun insiden keganasan masih
tetap berlaku dan pada tahun 2006, Kesatuan Eropah (EU) menyenaraikan LTTE
sebagai pertubuhan pengganas.
Pada Januari 2008, kerajaan Sri
Lanka secara rasmi mengingkari perjanjian gencatan senjata dan pihak berkuasa
menawan kubu kuat LTTE dalam dalam bulan-bulan berikutnya.
Bandar Kilinochchi yang juga
pusat pentadbiran LTTE dikuasai kerajaan pada Januari 2009 dan serangan
habis-habisan tentera kerajaan pada pertengahan Mei berjaya menumbangkan kubu
terakhir LTTE dan barisan pemimpinnya termasuk Prabhakaran turut terbunuh. -
Agensi
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.