Ridhuan Tee
ingatkan supaya tidak jadi...
Dr Zakir Naik mengislamkan ramai
orang, menteri bagaimana?
25/09/2018
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 15 Muharram 1440H, Selasa – Pendakwah
bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menyarankan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (hal ehwal agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa supaya meneliti dengan baik
ceramah Dr Zakir Naik yang didakwanya mencaci agama lain.
Ridhuan Tee berkata, sepanjang penelitiannya, ucapan dan sudut
pandang pakar perbandingan agama itu tidak bercanggah daripada pandangan
akademik.
“Hanya mereka yang makan cili sahaja yang terasa pedaskan. Dr
Zakir Naik tidak pernah mengeluarkan kenyataan memperlekeh atau memandang
rendah kepada agama lain.
“Hujah yang Zakir Naik keluarkan sentiasa bersandar kepada fakta.
Justeru, saya mohon menteri Jabatan Perdana Menteri, meneliti ceramah dan
ucapan Zakir Naik, pernahkah beliau mencaci agama lain,” katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Beliau juga bertanya sama ada pernahkah pihak yang mendakwa Dr
Zakir Naik mencaci agama lain, mendengar khutbah gereja setiap Ahad yang kadang
kala, paderi mereka turut meremeh dan merendahkan status agama Islam.
“Ya, tidak dinafikan kita tidak perlu terikut-ikut dengan rentak
mereka. Tetapi adalah lebih baik jika Mujahid mengeluarkan pendapat seiring
dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini menegaskan
Malaysia tidak akan dengan mudah bersetuju terhadap sebarang desakan menghantar
pulang Dr Zakir Naik sebelum membuat penilaian secara teliti.
“Jika dibandingkan dengan sarjana perbandingan agama di dunia,
masih belum ada tokoh setanding Dr Zakir Naik. Kita tidak mahu, hanya kerana
terlalu mahu menjaga hati orang, hati umat sendiri terluka.
“Dibimbangi nama kita yang baik seperti Mujahid terpalit menjadi
‘mujahat’ hanya kerana gara-gara pandangan terhadap Dr Zakir Naik yang tidak
bersandar kepada kajian yang rapi dan teliti,” katanya.
Beliau menegaskan, jangan kerana ultra kiasu memusuhi Dr Zakir
Naik, maka menteri turut terikut-ikut rentak musuh.
“Apakah kita sebagai menteri mampu lakukan sebagaimana Almarhum
Tunku Abdul Rahman, pengasas Perkim yang berjaya mengIslamkan beberapa menteri.
“Jika kita tidak mampu, jangan lah tegar mengatakan dakwah Dr
Zakir Naik tidak sesuai. Sedarkah kita berapa ramai yang telah diislamkan oleh
Dr Zakir Naik. Jika beliau ekstrem mana mungkin mereka yang ‘non-muslim’ masuk
Islam,” katanya.
Sumber:
https://www.1media.my/2018/09/ridhuan-tee-ingatkan-mujahid-supaya.html
https://dialograkyat.blogspot.com/2018/09/ridhuan-tee-ingatkan-mujahid-supaya.html
https://beritawawancara.blogspot.com/2018/09/mujahid-patut-ikut-tun-m-ridhuan-tee.html
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.