LTTE: Dua pertuduhan terhadap ADUN Seremban Jaya batal
SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di
sini hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua
pertuduhan memiliki item berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke
atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran.
Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda
Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan pertama dan
kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di
pejabat dan kediaman.
Kesemua kesalahan itu didakwa
dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139,
Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada jam 9.58 pagi dan 11.50 pagi,
10 Oktober lepas.
Bagaimanapun Gunasekaran tidak
hadir ke mahkamah dan hanya diwakili barisan empat peguam diketuai RSN Rayer
yang juga Ahli Parlimen Jelutong.
Sebelum ini, Gunasekaran yang
juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dituduh masing-masing di Mahkamah
Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah
Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu atas pertuduhan tambahan.
Sementara itu, Rayer ketika
bertemu dengan media kemudian berterima kasih kepada pendakwa atas langkah yang
diambil.
"Kami dimaklumkan pagi ini
selepas tuduhan difailkan, mereka (pendakwa) membuat keputusan untuk menarik
balik dua tuduhan. Tiada sebab diberikan," katanya.
Beliau juga berharap langkah
yang sama akan diambil pihak pendakwaan di mahkamah lain.
"Kami berharap pihak
pendakwa akan menimbang semula dan menarik balik tuduhan terhadap semua yang
lain (yang ditahan di bawah SOSMA yang berkaitan dengan LTTE).
Turut hadir, Menteri Sumber
Manusia, M Kula Segaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan.
Semalam Mahkamah Tinggi menolak
permohonan habeas corpus difailkan lima lelaki termasuk dua Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) yang ditahan berkaitan kumpulan LTTE supaya mereka dibebaskan
serta-merta daripada tahanan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk
Ahmad Shahrir Mohd Salleh ketika membuat keputusan itu berkata permohonan
dikemukakan kesemua pemohon kini bersifat akademik dan tidak relevan kerana
mereka telah dituduh di mahkamah.
"Penahanan kesemua pemohon
sudah berakhir apabila mereka dituduh di mahkamah. Tiada lagi isu dalam
permohonan ini. Oleh itu, permohonan kesemua pemohon ditolak," katanya. -
Bernama
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.