Askar Hanya
Makan Tidur : Koon Yiew Yin Jangan Biadap
Oleh: YB Ustaz Muhammad
Khalil Abdul Hadi
Saya merasakan sudah sampai masanya Perdana Menteri YAB Tun Dr. Mahathir Mohammad mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang mencetuskan keadaan tidak tenteram di dalam negara terutamanya membabitkan soal kaum, agama dan juga menghina penjawat awam. Jika di lihat sekarang nampaknya keadaan sudah menjadi tidak terkawal dan makin melampau.
Penghinaan terhadap penjawat awam terutamanya terhadap Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) adalah sesuatu yang cukup biadap dan tidak boleh di terima. ATM adalah benteng pertahanan negara yang cukup di pandang mulia dan bukan semua rakyat mampu menggalas tanggungjawab tersebut. Apabila meneliti kenyataan ahli perniagaan yang juga penyumbang dana PH ketika PRU lalu Koon Yiew Yin, saya menganggap sebenarnya beliau menghina penjawat awam terutamanya ATM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.
Telah terbukti sejak dahulu lagi jasa ATM tiada tolok bandingnya. ATM telah berjaya mempertahankan negara seperti ketika penjajahan Jepun, pemberontakan dan serangan Komunis di mana setiap anggota ATM termasuk juga PDRM telah berkorban demi rakyat dan negara. ATM juga turut terbabit dalam misi keamanan PBB di pelbagai tempat di luar negara samada untuk menjaga keamanan mahupun mengelak dari berlakunya konfrantasi.
Saya ingin bertanyakan kepada Koon Yiew Yin, adakah jika negara berada di kancah peperangan, sanggupkah beliau bersama –sama ATM mengangkat senjata mempertahankan negara ? Jika anda hanya pandai bercakap tetapi belum tentu sanggup berkorban nyawa mempertahankan tanah air, lebih baik anda diam dan tutup mulut. Sejarah tamadun dunia sejak dahulu lagi telah membuktikan siapa dan bagaimana manusia yang menjadi pejuang tanah air serta yang menjadi petualang.
Kata – kata beliau bukan sahaja menghina ATM, tetapi juga menghina para peneroka Felda. Ungkapan beliau seolah – olah seperti Felda suatu tempat yang teruk maka layak para anggota ATM di letakkan di sana kerana hanya tahu makan dan hidup. Tidak kira anggota ATM mahupun peneroka FELDA, mereka menyumbang tenaga kepada negara. ATM bukan setakat menyumbang tenaga malah mereka turut mempertaruhkan nyawa. Peneroka Felda adalah di antara penyumbang terbesar ekonomi negara dengan kepelbagaian produk sawit negara.
Usah ingat anda penyumbang dana kepada parti pemerintah pada PRU yang lalu, anda boleh berkata dan menghina sesuka hati. Sekali lagi saya memohon kepada YAB Tun Dr. Mahahtir agar mengambil tindakan tegas terhadap Koon YIew Yin atau pun sesiapa saja yang menggugat ketenteraman dan keamanan negara. Malaysia negara merdeka dan berdaulat, usah menjadi petualang kepada rakyat dan negara.
Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah AJK PAS Pusat merangkap ADUN Batu Burok.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.