Total Pageviews

Monday, 3 February 2020

Siasat himpunan bekas ahli Komunis Malaya



Polis siasat himpunan bekas ahli PKM





POLIS sudah membuka kertas siasatan susulan hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang, Selangor, kelmarin.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.


Menurutnya, pihaknya akan memanggil penganjur dan individu yang hadir pada program memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai itu bagi membantu siasatan.


“Kita ingin mengetahui apa tujuan mereka menghadiri program itu dan siapa penganjurnya bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Harian Metro kelmarin melaporkan hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas PKM mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang, Selangor.


Perjumpaan pada 10.15 pagi itu didakwa sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.


Sementara itu, mengulas mengenai abu mayat bekas pemimpin PKM Chin Peng ke negara ini, Mior Faridalatrash berkata, kertas siasatan mengenainya sedang disiapkan dan akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.


“Kita sudah merakam keterangan individu terbabit dan polis sedang melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata, pada Jumaat lalu polis sudah memanggil lima individu dan dua daripada mereka dirakam percakapannya.


Menurutnya, sehari selepas itu lima lagi individu dipanggil serta kesemua mereka juga sudah diambil keterangan dan siasatan dijalankan pihak Bukit Aman.
“Tujuh individu itu adalah mereka yang terbabit dan saksi yang menerima abu mayat, menaburkan di kaki Banjaran Titiwangsa dan lain-lain,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.