LTTE. Peguam Negara jelas sebab dua pertuduhan ADUN
DAP dibatalkan
SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan
Sri Tommy Thomas menjelaskan keputusan pendakwaan menggugurkan dua pertuduhan
tambahan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) DAP.
Menurutnya, ADUN Seremban Jaya,
P Gunasekaran sudah pun berdepan pertuduhan yang serupa, yang jika disabit
bersalah boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.
"Jadi tiada keperluan
untuk berlebih-lebihan. Maka dakwaan bahawa semua pertuduhan terhadap
Gunasekaran digugurkan adalah satu pembohongan.
"Bagaimanapun tiada yang
menghalang kita untuk mendakwanya lagi pada masa akan datang," katanya
dalam satu kenyataan dipetik dari sebuah portal hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan tindakan Tommy selepas Mahkamah Sesyen
Seremban semalam membenarkan pembatalan dua pertuduhan terhadap P Gunasekaran.
Zahid turut mempersoalkan
adakah keputusan mahkamah terbabit berhubung pendakwaan memiliki item berkaitan
LTTE itu kerana tertuduh ialah pemimpin dan pengikut DAP.
Tommy mengambil maklum
Gunasekaran adalah seorang daripada 12 tertuduh didakwa di mahkamah sesyen
seluruh negara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012
(Sosma) kerana didakwa terlibat dalam usaha menghidupkan semula LTTE.
"Gunasekaran didakwa di
Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dan Kuala Lumpur. Semalam, dua lagi
pertuduhan tambahan patut dikenakan terhadapnya, mengikut peruntukan Sosma, di
Mahkamah Sesyen Seremban.
"Tapi kita tidak teruskan
kerana dia sudah berdepan pertuduhan (yang sama)," katanya.
Semalam hakim Mahkamah Sesyen,
Madihah Harullah membenarkan permohonan pembatalan oleh Aslinda Ahad. Pihak
pendakwaan sebelum itu membuat e-filing untuk dua pertuduhan baru itu.
Menurut pertuduhan tersebut,
Gunasekaran didakwa memiliki item berkaitan dengan LTTE di pejabat dan
kediamannya di Seremban masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10
Oktober lalu.
Bagaimanapun dia akan kekal
ditahan kerana tidak dibenarkan ikat jamin untuk pendakwaan terdahulu.
Selain Gunasekaran, seorang
lagi adun DAP yang didakwa berhubung kes LTTE ialah G Saminathan.
ARTIKEL BERKAITAN LTTE: Tommy Thomas
'double standard'?
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.