KDN haramkan
komik kontroversi
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah
larangan tiga penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat
Bersama’ serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U.
(A)288/2019.
KDN dalam kenyataan hari ini menegaskan, warta
perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984 (Akta 301).
“Perintah ini menetapkan percetakan, pengimportan,
penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran,
pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara
mutlak di Malaysia.
“Penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana
terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan
serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan
ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan
mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan
simpati terhadap perjuangan komunis,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut KDN, komik itu juga boleh menimbulkan keraguan
kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia seterusnya
mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam
memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.
Katanya, kandungannya dilihat tidak mengambil kira
sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi
boleh memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.
“Sehubungan itu, mereka yang mencetak, mengimport,
menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling,
menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikan bagi apa jua maksud
seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan kesalahan.
“Boleh disabitkan dipenjara tidak melebihi tiga tahun
atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti ditetapkan di
bawah Seksyen 8 (2) Akta 301,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, jika masyarakat awam
mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang
diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan
Kawalan, KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem
Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman
sesawang http:/fmoha.spab.gov.my.
Artikel ini
disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.