Total Pageviews

Monday 3 February 2020

Penjara jika Tak hormat NegaraKu



Penjara jika Tak hormat NegaraKu

Padah jika tak hormat lagu Negaraku

Mohd Azam Shah Yaacob






INDIVIDU yang tidak menghormati dan enggan berdiri tegak ketika nyanyian lagu Negaraku berkumandang, boleh dikenakan hukuman penjara serta denda jika sabit kesalahan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka yang tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku itu boleh ditahan mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968.

“Berdasarkan akta itu, individu berkenaan boleh ditahan jika perbuatan itu dilakukan di hadapan pegawai polis yang melihatnya.

“Namun, buat masa ini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu,” katanya mengulas mengenai lapan individu dan seorang wanita yang tidak menghormati nyanyian lagu Negaraku yang dipercayai berlaku dalam satu majlis di Sarawak.


Sementara itu, beliau berkata, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan susulan tindakan pengurusan Sekolah Kebangsaan Perempuan (P) Methodist, Pulau Pinang yang melarang bacaan doa mengikut agama Islam sebaliknya pelajar perlu melakukannya mengikut bacaan agama Kristian.

Katanya, dalam kejadian pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar 2019, pengurusan sekolah terbabit melarang bacaan doa mengikut Islam.

“Berhubung kejadian itu, polis menerima banyak laporan termasuk daripada ibu bapa murid sekolah terbabit.

“Sehingga kini, polis sudah memanggil dan merakamkan percakapan hadirin yang menghadiri majlis itu termasuk pengurusan sekolah serta ibu bapa murid-murid berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 





.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.