Total Pageviews

Monday 3 February 2020

Keterangan himpunan Parti Komunis


Ronnie Liu beri keterangan





“MEREKA (polis) nak tahu tujuan saya hadir tetapi saya bukan penganjur,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu.


Beliau berkata demikian ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selama sejam hari ini mengenai kehadirannya di majlis memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) di dewan di Kajang 1 Disember lalu.


Ronnie berkata, beliau dipanggil untuk dirakam percakapan susulan kehadirannya pada majlis itu.


Peguamnya Ramkarpal Singh berkata, anak guamnya selesai memberi keterangan kepada pihak polis, namun pegawai terbabit tidak memaklumkan akan memanggil semula atau tidak selepas ini.


Menurutnya, keterangan diambil mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.


“YB (Yang Berhormat) Ronnie dipanggil sebagai saksi dan beliau memberi keterangan dengan sukarela tanpa apa-apa masalah selain turut memberi kerjasama,” katanya.


Terdahulu Ronnie tiba 3 petang sebelum selesai memberi keterangan sejam kemudian bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan terbabit.


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihaknya memanggil Ronnie bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.


Harian Metro 1 Disember lalu melaporkan hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang.


Perjumpaan 10.15 pagi itu sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.


Majlis itu turut dihadiri Ronnie dan veteran PKR Syed Hussin Syed Ali.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.