Total Pageviews

Monday 3 February 2020

Isu bendera: Polis serah kepada Peguam Negara


Isu bendera: Polis serah kepada Peguam Negara


Mohd Azam Shah Yaacob




SIASATAN kes bendera Malaysia berbintang bucu lima dan 11 jalur akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, hari ini.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan dengan lima individu dipanggil memberi keterangan.


Katanya, individu terbabit adalah pengadu, penganjur acara, setiausaha eksekutif sebuah persatuan, pengarah syarikat dan pembekal perkhidmatan teknologi maklumat (IT).


“Polis juga merampas perkakas yang digunakan dalam kejadian itu.


“Sehingga kini, 31 laporan diterima susulan insiden dan kertas siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Dalam pada itu, mengulas siasatan lagu Negaraku versi bahasa Mandarin dan Arab, Huzir berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi rakaman iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ma HWa, Seremban, Negeri Sembilan dan Sekolah Kebangsaan Batu Empat, Gurun, Kedah.


Katanya, kes pertama (versi Mandarin) dirakam pada September 2018 dan Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan serta guru besar sekolah sudah dipanggil memberi keterangan.


“Manakala bagi siasatan Negaraku versi Arab, tiga individu membabitkan guru besar, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda serta seorang individu yang memuat naik rakaman sudah memberi keterangan,” katanya.


Menurutnya, lapan laporan polis diterima berkait kes itu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.