TINDAKAN
PENGUATKUASAAN TERHADAP PRODUK GOZOUT
Bahagian
Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima maklumat
berkenaan pengiklanan dan penjualan produk Gozout yang membuat pelbagai
tuntutan perubatan dan kesihatan yang mengelirukan orang ramai. Bahagian
Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga telah mengesahkan bahawa produk ini
adalah bukan keluaran produk berdaftar dan perlu berdaftar dengan Pihak
Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kerana ia mengandungi 100% bahan aktif.
Hasil
daripada aduan yang diterima, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian
Kesihatan Malaysia telah mengambil tindakan serbuan terhadap produk Gozout di
negeri Kelantan dan Terengganu yang melibatkan jumlah nilai rampasan sebanyak
RM2.3 juta.
Penjualan
produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a),
Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah
Peraturan 30(1) Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1)
Akta Jualan Dadah 1952.
Jika
sabit kesalahan, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh
dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3
tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi
RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan
berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda
sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk
kesalahan berikutnya.
Kementerian Kesihatan Malaysia juga ingin
menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak terpengaruh dengan
pengiklanan produk kesihatan tidak berdaftar dengan tuntutan perubatan yang
melampau. Di samping itu, orang ramai juga diingatkan agar lebih peka dan
berhati-hati terhadap pengiklanan dan penjualan produk kesihatan dalam talian
(online).
Pihak
kementerian juga ingin menasihatkan pemilik dan pengedar produk kesihatan
supaya merujuk kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk
mendapatkan nasihat berkaitan klasifikasi serta tuntutan kesihatan dan
perubatan pada produk-produk kesihatan bagi memastikan produk-produk yang
dijual di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Orang
ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan
produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras
penjualan produk tidak berdaftar bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan
orang awam. Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Bahagian
Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang
http://www.pharmacy.gov.my / atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi
Negeri yang berdekatan. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui
talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras
pengedaran produk ini di pasaran.
Orang
awam diminta untuk sentiasa memastikan produk yang diguna adalah berdaftar yang
mana produk tersebut mempunyai pelekat keselamatan hologram dan dilabel dengan
nombor pendaftaran yang sah. Semakan status pendaftaran sesuatu produk pula boleh
dibuat melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian
Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.