KAJANG: Seorang doktor yang dilaporkan terpotong kepala zakar
kanak-kanak berusia 10 tahun ketika proses berkhatan tahun lepas, hari ini
didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas tiga pertuduhan termasuk mendatangkan
kecederaan parah terhadap mangsa.
Tertuduh, Azahari Hashim, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
Bagi pertuduhan pertama, dia secara cuai mendatangkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak lelaki yang kini berusia 11 tahun, di sebuah klinik swasta di Taman Cheras Utama.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Selain itu, bapa kepada empat anak itu turut didakwa menjalankan klinik
perubatan swasta yang tidak berdaftar.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 akta sama.
Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa tidak mempunyai sijil amalan perubatan yang sah.
Pertuduhan kes itu dibuat mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 35 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM2,000.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.