SUNGAI NIBONG – Seorang petani
yang mengusahakan tanaman terung dan bendi mendakwa berdepan kerugian hampir
RM15,000 apabila air yang dipam ke kawasan penanaman dari parit di Tali Air 11
Sungai Nibong dicemari racun.
Petani,
Azman Zainal Abidin, 50, berkata, pihak kontraktor disyaki menabur racun di
parit itu ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan parit hingga
mengakibatkan tanamannya musnah dan hasil pendapatannya terjejas.
Menurutnya,
sebanyak 3,000 tanaman pokok terung di kawasan seluas 0.4 hektar yang mula
ditanam sejak November tahun lalu tidak mendatangkan pulangan apabila
sebahagian besar pokok itu tidak berbunga sepertimana kebiasaannya.
“Kalau
ada pun terung yang masih hidup, buahnya akan layu dan saiznya terbantut.
Terung yang ada ni tak boleh dijual sebab rosak,” katanya.
Azman
berkata, dia terpaksa mengepam air dari parit itu untuk disalurkan terus ke
pemancut air berikutan tanaman itu memerlukan air setiap hari terutama dalam
keadaan cuaca panas kering pada masa ini.
“Saya
dah beritahu pihak terbabit supaya hentikan kerja-kerja meracun di parit sebab
boleh rosakkan tanaman kami. Tapi, mereka tak hiraukan teguran kami, sebaliknya
parit ini terus diracun,” katanya.
Mengulas
mengenai tanaman bendi, Azman memberitahu, hasil pengeluaran sayuran yang
dijual kepada pemborong dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) itu
jauh merosot apabila hanya memperoleh antara satu hingga lima kilogram (kg)
seminggu.
“Bendi
ni kalau dijual kepada pemborong harganya RM4 satu kilo. Biasanya dapatlah 30 kilo
setiap kali petik.
“Kalau
hasilnya banyak, seminggu mampu dapat lebih daripada RM1,000, tapi kalau hasil
macam ni, nak dapat modal pusingan pun belum tentu,” katanya.
Azman
yang mengusahakan tanaman pertanian di kawasan itu sejak 10 tahun lalu berkata,
pokok bendi yang ditanamnya itu secara puratanya hanya mampu menghasilkan
antara dua hingga tiga bendi berbanding 10 bendi jika air yang digunakannya
bebas daripada racun.
“Saya
ada lebih kurang 10,000 pokok di kawasan seluas 0.8 hektar. Pokok bendi ni berbunga,
tapi putiknya bila tumbuh akan gugur sebab air yang dipam melalui parit ini
beracun,” katanya.
Seorang
pekerja tanaman pertanian berhampiran, Naim Azmi, 20, berkata, pada masa ini,
tanaman timun di kawasan itu menggunakan air dari kolam takungan berhampiran
bagi mengelakkan tanaman itu rosak.
“Selepas
kami tahu parit ni diracun, kami dah lama tak pam dari parit untuk salur ke
kolam takungan.
“Kami
bimbang juga kalau kolam takungan surut sebab dah lama tak hujan. Kalau dua
atau tiga hari ni masih tak hujan, kolam takungan boleh kering,” katanya yang
mengakui penjagaan timun lebih rumit kerana memerlukan sumber air yang banyak.
Sehubungan
itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa memantau projek
penyelenggaraan dan pembersihan parit yang dijalankan pihak kontraktor mengikut
spesifikasi ditetapkan.
“Kita
minta projek dilaksanakan ini dipantau lebih serius agar kawasan parit tak
dicemari dengan racun yang bukan saja beri kesan terhadap tanaman penduduk,
malah untuk langkah jangka masa panjang pada sistem perparitan itu sendiri,”
katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.