Empangan ‘beracun’ di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS, 7 MAC: Dari jauh, kehijauan air di Empangan
Hidroelektrik Ulu Jelai Cameron Highlands kelihatan indah mempesona, namun
tidak ramai tahu bahawa warna hijau pada permukaan air itu terbentuk akibat
pencemaran bahan kimia.
Menurut Presiden Persatuan
Aktivis Sahabat Alam (KUASA) Hafizudin Nasarudin, warna hijau di permukaan
air itu dikenali sebagai alga dan merupakan petunjuk wujudnya pencemaran bahan kimia
terhadap air.
Ia dipercayai berlaku akibat
penggunaan baja kimia secara berleluasa oleh kebun-kebun sayur berskala besar
yang diserap oleh tanah sebelum masuk ke sungai khususnya apabila hujan.
Beliau membuat pendedahan itu ketika lawatan tapak bersama sekitar
40 peserta Program Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK) anjuran KUASA yang
berlangsung bulan lalu.
“Jika kita lihat ada warna-warna hijau, itu maksudnya kehadiran
alga, yang bermaksud air ini sudah tercemar akibat eutrophication, perkara ni terjadi sebab bahan-bahan
kimia berkemungkinan besar dari kebun-kebun,” jelasnya.
Kata Hafiz, pertumbuhan alga
pada permukaan air akan menghalang oksigen menyerap ke dalam air dan mengganggu
hidupan air.
“Air itu sendiri perlukan
oksigen supaya ikan boleh bernafas. Bila alga semakin banyak. Itu petanda ikan
tak boleh hidup. Ini masalah di sini,” ujarnya.
Selain itu, pengurusan tanah
tidak teratur yang menjadi punca pembukaan kebun-kebun sayur berskala besar
juga jelasnya menyumbang kepada pencemaran sumber air yang memberi kesan kepada alam
sekitar.
“Urus tadbir tanah di sini tak
teratur. Bila pengurusan tak teratur, banyak sangat kebun dibuka, akhirnya ia
akan beri impak kepada kualiti alam sekitar,” katanya.
Empangan Ulu Jelai terletak
berhampiran pekan kecil Lembah Bertam yang menakung air dari anak sungai
Bertam, Sungai Jelai (kini empangan) yang mengalir masuk ke Sungai Telom
sebelum ke Sungai Pahang.
Selain
isu pencemaran bahan kimia, tinjauan peserta mendapati air di Empangan Sultan
Abu Bakar pula keruh.
“Air jadi berlumpur, banyak kawasan bukit ni
yang ditarah dipotong tak ditanam balik dengan pokok-pokok.
“Jadi perlu ada usaha serius dari kerajaan
untuk analisis balik tanah-tanah ini, tanam pokok pada tempat sepatutnya dan
buat sistem imbangan antara jumlah kuantiti hujan dengan kebolehupayaan sungai
menampung hujan supaya tak berlaku banjir,” katanya.
Sebagai langkah pemulihan, pihak penguatkuasa
diminta supaya memantau pembukaan kebun-kebun haram dan tidak lagi mengeluarkan
lesen bagi kebun berskala besar.
“Jika boleh, tolong fokus untuk beri pelan
kepada setiap petani uruskan pertanian mereka dengan lestari untuk kurangkan
impak kepada alam sekitar,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.