Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu mengenai Kedutaan Kerajaan Arab
Saudi yang melarang penjualan air zam-zam di manamana kedai termasuklah
kedai-kedai buku di sekitar Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia.
Air
zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral
semulajadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan
Makanan 1985. Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air
serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi
dari negara pengeksport.
Kerajaan
Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada
jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti
yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi. Sehubungan itu, penjualan air zam
zam tidak dibenarkan di Malaysia.
Dalam
hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah bersetuju supaya KKM
mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam memandangkan
ia di bawah bidang kuasa KKM. Selaras dengan ini, KKM melalui Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil 2 tindakan penguatkuasaan
terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983.
Hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 sehingga 31 Oktober
2017 di seluruh negara, sejumlah air zam zam bernilai RM 58,191.80 telah
dirampas. KKM sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air
zam zam.
Di
bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan
kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000.00
atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun. Sekiranya pengguna mempunyai
sebarang pertanyaan mengenai isu keselamatan makanan, pengguna boleh
menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat
atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan
Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.