Ikan Beracun
Sayur dan ikan beracun
ada kaitan kes kanser tinggi di Sabah?
Jurle Sagayong | February 7, 2014
Ikan-ikan terutamanya yang besar mengandungi "formaldehyde" sejenis kimia pengawet mayat bagi menahan ikan jadi buruk.
hospital queenKOTA KINABALU: Setiap tahun 3,000 kes baru rakyat Sabah didapati menghidap kanser adalah antara yang paling tinggi di negara ini. Apakah penyebab keadaan ini?
Angka ini sebenarnya dikhuatiri lebih tinggi, memandangkan rata-rata penduduk pedalaman Sabah tidak diberi peluang dan galakan yang secukupnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan terutamanya bagi mengesan sel kanser dalam badan.
Angka 3,000 kes baru tiap tahun itu diberi oleh pakar onkologi Dr Jaswant Singh di sini sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut dua hari lepas, pada setiap 4 Februari tiap tahun.
Timbul pertanyaan banyak pihak apakah wujud kaitan kes kanser tinggi di Sabah dengan sayur dan ikan yang didakwa sentiasa mengandungi racun yang tinggi di Sabah. Sayur mengandungi racun serangga manakala ikan-ikan terutamanya yang besar mengandungi “formaldehyde” sejenis kimia pengawet mayat bagi menahan ikan jadi buruk.
Kandungan racun pada sayuran dari Sabah memang sudah terkenal dari dulu lagi sehinggakan negara jiran, Brunei, enggan menerima sayur Sabah. Bagaimanapun amatlah jarang kita dengar ada pemeriksaan mengejut terhadap sayur-sayuran, baik yang datang dari kawasan sejuk seperti Kundasang dan Ranau mahupun dari daerah lain seperti Keningau dan Penampang.
Sayur beracun Sabah ini sudah menjadi semacam rahsia terbuka dan kadang-kadang menjadi bahan jenaka orang Sabah sendiri. Kini wujud kumpulan masyarakat yang hanya mencari sayur-sayur yang mempunyai tanda gigitan serangga yang banyak contohnya daun yang berlubang-ubang.
Mereka ini biasanya membeli sayuran di pasar mingguan tamu ataupun gerai-gerai tepi jalan orang kampung. Pengamal perubatan juga selalu didengar memberi nasihat demikian kepada kaum keluarga dan rakan-rakan, tetapi tidak pula secara terbuka, mungkin takut memberi kesan buruk kepada ekonomi tempatan.
Tetapi sampai bila pengguna dibiarkan terdedah kepada ancaman buatan manusia sendiri?
Kononnya sayur demikian lebih sihat sebab masih boleh dimakan oleh serangga. Kumpulan ini mengelak membeli sayuran yang cantik dan tiada cacat-cela. Namun dianggarkan 90% pengguna masih membeli sayur cantik (tidak semestinya beracun).
Sudah tentu penyebab kanser adaah pelbagai. Menurut pakar perubatan dan kesihatan, sel kanser mudah aktif pada tubuh yang sentiasa terdedah kepada tekanan, dan racun merupakan salah satu yang boleh memudaratkan sistem imun badan yang terletak dalam sel darah putih kita.
Stress atau tekanan psikologi juga boleh menyebabkan sistem imun badan lemah dan oleh itu tidak dapat menghalang secara semua jadi sel-sel kanser yang biasanya ada pada tubuh manusia tetapi akan mula mengganas apabila sistem antibodi badan tumpas atau lemah.
Kaitan racun nikotin rokok dengan kadar tinggi kanser paru-paru tidak dapat disangkal lagi sebab itulah setiap kotak rokok di kebanyakan negara, termasuk Malaysia, mempamerkan gambar-gambar ngeri kanser akibat menghisap rokok.
Menurut Dr Jaswant jenis kanser pembunuh utama di Sabah kanser payudara dan kanser serviks bagi wanita manakala kanser hidung (nasofarinks) dan kanser paru-paru kepada kaum lelaki. Kanser kolorektal (kanser perut atau usus) juga meningkat di Sabah.
Menurut Dr Jaswant jumlah pesakit kanser di Sabah mungkin meningkat sekiranya tiada usaha yang nyata dibuat untuk mendidik masyarakat mengenai penyakit maut itu.
Katanya satu program kesedaran berterusan tentang kanser, termasuk tanda-tanda, gejala, bimbingan dan pencegahan, perlu diadakan segera sebagai langkah mengatasi ancaman kanser.
Katanya adalah malang sekali bagi ramai dari pedalaman Sabah yang dirujuk ke hospital kerajaan ketika penyait kanser mereka sudah terlalu lewat mislanya sudah berada pada tahap 3 dan 4.
Lebih menyedihkan lagi ialah sekarang ini Sabah hanya tiga pakar onkologi,dua berkhidmat di hospital kerajaan dan seorang di sektor swasta, seperti dikatakan Dr Flora Chong dari Jabatan Radioterapi dan Onkologi Hospital Likas di sini dan dilaporkan media tempatan baru-baru ini.
Ketiadaan pergerakan pengguna yang aktif pro-penguna di Sabah sekarang juga tambah memburukkan keadaan kerana para pengguna kekurangan rujukan, melainkan akhbar pengguna dari luar serta maklumat-maklumat yang ada di internet, biasanya tidak didapati di pedalaman.
This post has been edited by joe_mamak: Feb 7 2014, 07:15 PM
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.