Total Pageviews

Tuesday 2 January 2018

Bakteria dalam susu bayi


KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA ISU SUSU BAYI KELUARAN SYARIKAT LNS LACTALIS, PERANCIS DICEMARI DENGAN BAKTERIA SALMONELLA




Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berita bertajuk “France’s Lactalis orders baby milk recall over salmonella fears” yang disiarkan pada 10 Disember 2017 oleh berita antarabangsa France 24.

Laporan berita tersebut menyatakan syarikat terlibat iaitu LNS Lactalis Group bersama Pihak Berkuasa Kesihatan Perancis telah mengeluarkan arahan penarikan balik produk susu bayi yang disyaki terlibat dengan pencemaran Salmonella dari pasaran antarabangsa.

Salmonella merupakan sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen. Dalam kes-kes yang tertentu boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko seperti bayi, orang tua ataupun seseorang yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.

Dalam hal ini, pengguna tidak perlu khuatir kerana KKM telah mendapat pengesahan daripada International Food Safety Authorities Network (INFOSAN) di bawah World Health Organization (WHO) dan Kedutaan Perancis di Malaysia bahawa produk susu terbabit tidak dieksport ke Malaysia.

2 Berdasarkan kepada maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia – FoSIM) di bawah KKM, tiada pengimportan bagi produk berkenaan ke Malaysia.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, berkuatkuasa mulai 11 Disember 2017, KKM telah mengenakan larangan import terhadap produk terbabit di dalam isu ini.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my     atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)


NORAINI DATO’ MOHD OTHMAN PENGARAH KANAN KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 26 DISEMBER 2017

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.