Total Pageviews

Tuesday, 2 January 2018

Unta bahaya






PENGESANAN TERKINI KES WARGA TEMPATAN YANG DISAHKAN DIJANGKITI MIDDLE EAST RESPIRATORY SYNDROME CORONAVIRUS (MERS-CoV) SEJURUS PULANG DARI MENGERJAKAN UMRAH







Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai satu (1) kes yang disahkan dijangkiti MERS-CoV melibatkan seorang lelaki Melayu warga Malaysia berusia 55 tahun, berasal dari Selangor. Hasil siasatan mendapati beliau baru pulang ke Malaysia dari mengerjakan umrah dan tiba di Malaysia pada 23 Disember 2017. Pada 24 Disember 2017, beliau mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki. Pesakit mendapatkan rawatan dari klinik berhampiran dengan rumahnya, di mana beliau telah menerima rawatan sebagai kes demam. Pada lewat malam 28 Disember 2017, beliau seterusnya datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan beliau telah dimasukkan ke wad HTAR untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.


Mengambilkira sejarah perjalanan beliau yang baru kembali dari menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan dan ianya didapati positif, masingmasing bagi ujian saringan yang dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember 2017 serta ujian pengesahan yang seterusnya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 31 Disember 2017. Pada ketika ini, pesakit terbabit berada dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut. Pesakit telah memaklumkan bahawa semasa berada di Tanah Suci, beliau telah dibawa melawat ke ladang unta, di mana beliau kemudiannya meminum susu unta mentah dan bersentuhan dengan unta yang terdapat di ladang tersebut.


KKM sedang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan, termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak rapat (close contact) kepada pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan yang sama, anggota kesihatan di fasiliti kesihatan yang merawat serta kontak rapat dalam pesawat yang dinaiki oleh pesakit. Amalan pencegahan dan kawalan infeksi di kalangan anggota kesihatan telah dipertingkatkan di semua peringkat di samping pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan yang terlibat dalam mengendalikan kes berkaitan. Perkembangan terkini mengenai mereka yang terbabit akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.


Merujuk kepada laporan daripada pihak WHO, sehingga kini punca jangkitan sebenar dan cara jangkitan bagi penyakit MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti. Namun, aktiviti seperti menyentuh haiwan terutama unta, memakan atau meminum sebarang produk mentah/tidak dimasak dengan sempurna yang melibatkan unta seperti susu, daging, air kencing adalah berisiko untuk mendapat jangkitan MERS-CoV. Pihak WHO juga menegaskan, buat masa ini tahap penularan jangkitan tersebut secara keseluruhannya tidak diketahui dan tiada vaksin untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan MERS-CoV dan tiada ubat khusus untuk merawatnya. Pihak WHO juga tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan (travel advisory) atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat.


KKM ingin memberi penekanan mengenai nasihat kesihatan kepada orang awam yang ingin mengerjakan umrah di Tanah Suci atau mengadakan lawatan ke manamana negara di rantau Timur Tengah yang kini melaporkan kejadian jangkitan MERS-CoV, mengenai perkara-perkara berikut:


Semasa dalam tempoh lawatan, selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman; 


Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu; 


Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi kediaman atau institusi penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut; 


Elakkan dari melawat ke ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan, khususnya unta; 


Elakkan dari mengambil (iaitu memakan atau meminum) sebarang produk mentah / tidak dimasak dengan sempurna yang melibatkan unta; seperti susu, daging, air kencing dan produknya. 


Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat, khususnya negara di rantau Timur Tengah adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan kadar segera, sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori (seperti batuk dan kesukaran bernafas), khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di Malaysia. Mereka perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.


Kerjasama pihak agensi pelancongan khususnya yang menguruskan jemaah umrah/haji dipohon agar dapat memperkukuhkan kesedaran mengenai kejadian jangkitan MERS-CoV melalui hebahan maklumat secara berterusan kepada para jemaah umrah/haji yang diuruskan. Bagi tujuan ini, agensi terbabit dipohon untuk merujuk kepada nasihat kesihatan sebagaimana yang disarankan di atas.


KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh diperolehi dari laman sesawang http://www.moh.gov.my dan juga melalui Facebook CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness Response Centre).



1 Januari 2018

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.