Total Pageviews

Friday, 1 March 2019

Adik sempat bergurau sebelum ke sekolah


Pencemaran gas metana: Adik sempat bergurau sebelum ke sekolah

Rabu, 13 March 2019


AFFZA Balqis Ahmad Sahrel mangsa pencemaran gas metana yang Kritikal di ICU Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. - Foto Ihsan Pembaca







PASIR GUDANG: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di sini, yang kini kritikal akibat terhidu gas metana, sempat bergurau serta mencium ibu dan bapanya, sebelum pergi ke sekolah semalam.
Affza Balqis Ahmad Sahrel, 14, yang mesra dipanggil Adik di kalangan ahli keluarganya, masih tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini.
Ibunya, Noor Atikah Daud, 47, berkata tidak dapat melupakan kemesraan dan gurau senda anaknya itu sebelum dihantar seperti biasa ke sekolah.
“Dengan nada manja sambil memeluk saya, dia sempat bergurau dengan bertanya, dia cantik kan.
“Saya kata, betul dia cantik, tapi kena ingat Adik pakai tutup aurat cantik dan perlu niat kerana Allah. Dia patuh mengiyakan nasihat itu.
“Saya kemudian cium dahinya sebelum dia memeluk bapanya dengan erat. Itu perbualan terakhir kami sebelum dia ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Affza Balqis adalah salah seorang daripada lebih 260 mangsa terbaharu pencemaran gas metana yang dirawat di hospital semalam.
Sehingga kini, sebanyak 13 sekolah di kawasan berhampiran Sungai Kim Kim di sini, yang tercemar akibat pembuangan sisa kimia Khamis lalu, ditutup dengan jumlah mangsa keseluruhan melebihi 400 orang dengan kebanyakannya adalah pelajar sekolah.
Mengulas lanjut, katanya, dia dihubungi pihak sekolah beberapa jam kemudian memberitahu anaknya dimasukkan ke HSI.
Mengulas lanjut, Noor Atikah meminta semua pihak mendoakan kesembuhan anaknya dan semua mangsa yang terjejas akibat pencemaran itu.
“Saya reda dengan ujian Allah ini tapi apabila melihatnya terbaring kaku dengan bergantung kepada alat bantuan pernafasan, hati saya jadi lemah.
“Saya hanya mampu berdoa supaya Allah sembuhkan dia,” katanya.


..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.