Total Pageviews

Friday, 1 March 2019

Keluarga juruterbang Lion Air saman Boeing


Keluarga pembantu juruterbang Lion Air saman Boeing


Sabtu, 29 Disember 2018




CHICAGO: Keluarga pembantu juruterbang penerbangan Lion Air Indonesia yang terhempas Oktober lalu dan mengorbankan semua 189 penumpang memfailkan saman ke atas Boeing Co di Chicago kerana ‘mengakibatkan kematian’.
Saman difailkan di Circuit Court of Cook County, Illinois itu mendakwa Boeing 737 MAX 8 kendalian Lion Air adalah berbahaya kerana pengesannya memberikan maklumat tidak konsisten kepada juruterbang dan pesawat.
Boeing turut enggan mengulas lanjut berhubung tindakan undang-undang lain yang masih tertangguh.
Penerbangan Lion Air 610 terhempas di Laut Jawa sejurus berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu.
Aduan itu difailkan bagi pihak balu dan tiga anak juruterbang Harvino yang berasal dari Jakarta. Ia turut mendakwa bahawa manual arahan yang disediakan oleh Boeing
untuk pesawat yang baru berusia dua bulan itu tidak mencukupi, hingga menyebabkan kematian juruterbang, kru dan penumpang.
Dalam satu kenyataan, firma undang-undang Gardiner Koch Weisberg & Wrona berkata Harvino dan Kapten Penerbangan 610, Bhayve Suneja adalah juruterbang yang berpengalaman, masing-masing dengan lebih dari 5,000 dan 6,000 jam penerbangan.
Sekurang-kurangnya dua tindakan undang-undang lain telah difailkan terhadap Boeing di Chicago oleh keluarga mangsa Lion Air.
Laporan awal oleh penyiasat Indonesia memberi tumpuan kepada penyelenggaraan dan latihan syarikat penerbangan dan tindak balas sistem anti-pegun Boeing kepada pengesan yang baru diganti, namun tidak menyatakan punca nahas itu.
Seorang penyiasat, Nurcahyo Utomo memberitahu wartawan, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada versi baru sistem anti-pegun, yang tidak dijelaskan kepada juruterbang di dalam manual, adalah faktor penyumbang kepada nahas berkenaan. - Reuters


..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.