4
produk kosmetik mengandungi racun berjadual
PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihat menghentikan penggunaan empat
produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri,
hydroquinone dan tretinoin.
Mereka yang menggunakannya diminta segera mendapatkan nasihat
ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah,
berkata kedua-dua produk Progressive Mix Industries iaitu Nuriz Shoppe-Uv Pearl
Cream dan Nuriz-D'Solve didapati mengandungi merkuri.
Produk Aura Gorgeous Beauty & Healthy iaitu Aura Gorgeous
Night Cream juga dikesan mengandungi merkuri manakala produk Nouvelle Beauty
Centre Sdn Bhd iaitu NV Anti Blemish Toner 1 pula mengandungi hydroquinone dan
tretinoin.
Beliau memberi amaran kepada para penjual dan pengedar supaya
menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik berkenaan dengan
serta-merta.
"Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran
produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah
dan Kosmetik 1984," katanya dalam kenyataan di sini.
Dr Noor Hisham berkata, mana-mana individu yang melakukan
kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi
tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi
RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk
kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda
hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk
kesalahan berikutnya.
Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah produk
farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan
hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
"Kedua-dua bahan racun itu, yang sering digunakan untuk
tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan, boleh
menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, pedih,
menggelupas, dan hipersensitif.
"Hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi yang
mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV serta meningkatkan
risiko kanser kulit," katanya.
Dr Noor Hisham menegaskan bahawa merkuri adalah bahan toksik
yang perlu dielakkan sama sekali dalam apa juga produk kerana ia boleh menyerap
masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem
saraf.
"Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri
apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang
yang menggunakan produk kosmetik itu dan kemudian memasukkan jari-jari mereka
ke dalam mulut.
"Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga
menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.
Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh e-mel kepada
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di kosmetik@npra.gov.my atau
menghubungi talian 03-78835400.
Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak
status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ - BERNAMA
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.