Total Pageviews

Friday 1 March 2019

Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak selamat


Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak selamat digunakan - KP Kesihatan


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri, yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata produk itu sudah diuji pihak kementerian dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini, selain menasihatkan orang ramai untuk tidak menggunakan produk berkenaan.
"Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan sudah menerima laporan kesan advers daripada pengguna yang mengalami tinnitus (ringing in the ears) dan keguguran rambut setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block (NOT151106645K) selama lebih kurang tiga bulan.
"Pengguna pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk berkenaan.
"BPFK telah membuat persampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block.
"Hasil ujian menunjukkan, satu produk iaitu produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri pada paras yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.
Dr Noor Hisham berkata, notifikasi produk Qu Puteh Whitening Pro 9 telah dibatalkan dan syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta-merta.
Selain itu, katanya, syarikat itu juga diarah menarik balik produk itu daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, produk kosmetik yang dicampur dengan merkuri kebiasaannya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan antipenuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan.
"Produk kosmetik tidak boleh mengandungi merkuri kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
"Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.
Selain itu, beliau berkata, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri juga boleh dialami oleh orang sekeliling apabila produk kosmetik mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.
Katanya, ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak, yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
"Bayi dan kanak-kanak kecil berisiko terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik itu," katanya.


.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.