Kejatuhan Empayar Melayu 1511: Benarkah Melaka Kalah
Kerana Tidak Menggunakan Senjata Api?
15 Ogos 1511 atau juga 24 Ogos 1511 (perbezaan sumber menyatakan
tarikh yang berbeza) adalah detik yang sangat memilukan bagi umat Melayu. Hari
ini, tewasnya sebuah empayar kebangaan umat Melayu keseluruhannya. Masih
terngiang-ngiang di telinga saya, beberapa orang rakan malah guru yang mengejek
dan mencemuh dengan kata-kata.
[Rujuk Research on the Early Malay
Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore dan juga The Voices of Macao Stones: The Nanjing Massacre Witnessed by American and British Nationals
untuk tarikh 15 Ogos 1511]
[Untuk tarikh 24 Ogos 1511, boleh
rujuk Dictionary of Battles and Sieges: F-O, The Cambridge World History,
Volume 3 dan The Portuguese in Malay Land oleh Geraldo Affonso Muzzi]
“Alah…apalah hebat sangat pada Melaka, Portugis serang tak
sampai seminggu terus kalah teruk, lari lintang pukang”
“Melaka kalah dengan mudah kerana teknologi persenjataan yang
sangat lemah, bayangkanlah orang kita berperang hanya guna keris, sumpit dan
tombak, padahal Portugis guna meriam dan senapang, mana tak kalahnya..”
“Orang Melaka semua kolot sebab tak pernah tengok Meriam lalu
lari lintang pukang.”
Kalaulah mereka tahu hakikat yang sebenar, kalaulah.
Sebenarnya apakah yang berlaku dalam peristiwa 1511 ini dan
bagaimanakah gambaran sebenar detik-detik Melaka mempertahankan dirinya dari
diperkosa Portugis?
Hakikat yang sebenarnya ramai tidak tahu adalah Melaka sudah
mencapai kedudukan politik yang unggul sementara perdagangannya juga terus
berkembang, dan pelabuhannya menggamit pelbagai bangsa datang singgah dari
segenap pelusuk dunia. Imej bandar terapung seperti Venice dan Genoa serta
pasar dan rumah yang tidak berputusan hingga Muar bukanlah satu khayalan atau
cakap-cakap kosong sahaja.
Walaupun memang wujud kepincangan dalam pemerintahan,
pergeseran, perebutan dan pelbagai lagi konflik dalaman yang sering kita dengar
namun ianya belum cukup parah untuk menjatuhkan Melaka jika dibandingkan dengan
serangan Portugis. Tambahan lagi oleh sebab begitu makmurnya Melaka maka
banyaklah kaum-kaum ‘asing’ yang mula dengki, hasad dan cemburu akan kekayaan
Melaka. Pembelotan kaum-kaum asing ini juga ibarat gunting dalam lipatan yang
memudahkan lagi kemaraan Portugis.
Sesungguhnya tidak semua persoalan tentang kejatuhan Melaka
dapat kita rungkaikan disini. Namun memadai rasanya untuk kita membuka
perbincangan dalam hal kesungguhan dan semangat juang Melaka bagi
mempertahankan maruah dan kedaulatannya daripada dinodai oleh Portugis.
Sebelum itu yang paling penting ialah pandangan kita bahawa
Melaka ketinggalan dari segi teknologi meriam, senapang atau istinggar dan
peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah dan dibuang sejauh mungkin.
Seperti yang saya pernah sebut dahulu angkatan Portugis dicatatkan membawa
pulang ribuan pucuk meriam dan senapang yang dirampas dari Melaka. Teknologi
pembuatan dan penggunaannya juga adalah standing dengan teknologi barat.
John Crawfurd memetik catatan De Burros dalam bukunya, A
Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries, bahawa ketika Portugis menawan Melaka
dahulu, mereka berjaya merampas antara 3000 hingga 8000 senjata api daripada
Melaka, dan De Burros sendiri mengatakan bahawa Portugis sendiri
tidak mampu untuk menghasilkan senjata api sebanyak itu. Bahkan
catatan De Burrous menjelaskan lagi kepada kita bahawa Portugis menjumpai
sebuah meriam Melayu Melaka yang jauh lebih besar daripada meriam yang dipunyai
oleh Portugis dan meriam itu telah dihantar ke India.
Catatan yang lain pula, seperti yang dinukilkan oleh Godinho
Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek,
Portuguese History of Malacca, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah
meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. Tiga ribu pucuk meriam besar telah
dijumpai dalam kota Melaka, 5000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh
tentera Melaka apabila kota itu tumbang.
Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2000 pucuk meriam yang
diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi di Melaka.
Faria y Souza mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 8000 pucuk senjata
api atau meriam yang dipunyai kerajaan Melaka adalah berasal dari Pahang. Ini
bermakna Pahang merupakan sebuah negeri penghasil senjata api yang berkualiti
dan banyak pada zaman itu.
Menurut Eredia lagi, semua meriam-meriam itu dihasilkan dengan
amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun dengan meriam buatan Portugis.
Daripada catatan Eredia ini, dapat disimpulkan bahawa teknologi senjata api
yang dimiliki oleh bangsa Melayu Melaka pada waktu tersebut adalah sama
tarafnya dengan teknologi persenjataan orang Eropah, malahan mungkin lebih
baik.
Seorang berbangsa Itali yang terlibat di dalam penyerangan terhadap
Melaka pada tahun 1511 menyatakan bahawa terdapatnya penggunaan pelbagai jenis
senjata api berat yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang agak ramai di
pihak portugis. Menurut beliau, walaupun akhirnya tentera Melayu Melaka kalah,
namun mereka digambarkan mempunyai semangat keperwiraan yang tinggi, sangat
terlatih dalam ilmu peperangan dan mempunyai simpanan senjata yang bermutu
serta pelbagai.
Thomas John Newbold, seorang pegawai British di Melaka pernah
mencatatkan di dalam Political
and Statistical Account of the British Settlements in The Straits Of Malacca,
Volume 2bahawa kilang-kilang yang menghasilkan senjata api seperti
meriam-meriam milik bangsa Melayu sudah lama bertapak bukan sahaja di
Semenanjung Tanah Melayu, bahkan di sekitar Kepulauan Melayu. Terengganu
menjadi hub penghasilan senjata api di Semenanjung, manakala Gerisik merupakan
hub untuk Pulau Jawa, dan hub untuk Sumatera pula ialah Minangkabau.
Bahkan Newbold turut mengulas mengenai pemandangan biasa yang
dilihatnya ketika berada di Tanah Melayu pada abad ke-18 yang dipercayai
Newbold sudah lama budaya itu itu bertapak di Tanah Melayu. Katanya, tidaklah
sesuatu yang menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu yang lengkap
bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api Melayu seperti
Istingar.
Kita lihat pula tulisan R. J. Wilkinson, “The Capture of Malacca, A.D. 1511”.
Beliau menyebut mengenai beberapa perkataan sepert “Malay gun-fire” dan “heavy
fire” merujuk kepada bala askar Melaka ketika itu ketika menceritakan mengenai
kejatuhan Melaka yang boleh dijadikan dalil bahawa orang Melayu kita ketika itu
sudah memiliki senjata api.
Diceritakan bahawa ketika askar Portugis cuba memasuki muara
Sungai Melaka yang cetek dan berlumpur itu, mereka telah dihujani oleh divisyen
askar Melaka yang menggunakan senjata api dan menghujani askar Portugis dengan
senjata api
Walaupun dalam naskah Sulalatus Salatin ada ditulis yang
serangan meriam Portugis menggemparkan orang Melaka bagai bertih digoreng,
namun petikan tersebut harus ditafsir sebagai penyedap cerita untuk khalayak
pembaca atau pendengar. Jambatan Melaka yang kita lihat dalam lukisan seperti
di muzium atau dalam buku-buku teks sejarah yang sering digambarkan dengan
penuh daif dan uzur juga perlu kita buang jauh-jauh.
Catatan Portugis sendiri mendapati jambatan tersebut terbina
dengan sangat kukuh, malah rekod-rekod China beberapa dekad sebelum serangan
Portugis melaporkan bahawa ada lebih kurang 20 buah kedai di atas jambatan
tersebut. Saya menggambarkan jambatan ini seperti jambatan London Bridge yang
pada zaman pertengahan penuh dengan kedai-kedai. Pihak Portugis juga mengalami
kesukaran dan mengambil masa untuk merobohkan jambatan tersebut atas maklumat
risikan dari Ruy de Aroujo.
Di dalam buku teks sekolah juga kita diberitahu atau digambarkan
pertempuran berlaku di daratan kota Melaka sahaja, namun dari catatan Portugis
didapati pertempuran sebenarnya telah bermula sejak di laut lagi. Sebelum pihak
Portugis berjaya mendarat, mereka dilaporkan telah diserang tentera Melaka di
perairan yang mengakibatkan kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis.
Pihak Melaka menggunakan perahu atau lancara yang diisi dengan
minyak dan bahan pembakar kayu serta dihalakan ke kapal-kapal Portugis. Taktik
‘Fire Ship’ ini sering digunakan di Eropah juga seperti dalam perang Inggeris
dengan Sepanyol pada zaman ratu Elizabeth.
Selain itu tembakan meriam dari Melaka menghala ke kapal-kapal
Portugis juga turut mendatangkan kecelakaan. Oleh itu pendapat yang mengatakan
meriam Melaka tidak boleh menembak jauh juga harus dibuang kelaut.
Melaka juga melaksanakan strategi menggertak dan tindakan perang
psikologi untuk menakutkan pihak lawan dengan mengeluarkan sejumlah perahu
perang, lancara, tongkang, sampan dan sebagainya yang lengkap bersenjata untuk
menunjukkan kekuatannya kepada Portugis. Walaupun begitu kekuatan sebenar
Melaka yakni armada jong perang yang diketuai laksamana pada waktu itu tiada di
perairan.
Maklumat daripada catatan Giovani Da Empoli mengesahkan bahawa tentera Melaka telah menggunakan
lancara serta perahu berapi untuk memusnahkan kapal Portugis.
Di kawasan pantai pula pertahanan dikukuhkan dengan pancangan kayu dan
besi-besi tajam atau kawat beracun serta meriam-meriam pelbagai jenis besar dan
kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru.
Sebenarnya saudara sekalian perang Melaka bukan berlaku dalam
jangka masa yang singkat. Pada masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511
pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua belah pihak menggunakan
taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapa yang akan menyerang
dahulu.
Hal ini diselangi dengan sesi perundingan dan diplomasi yang
tidak kemana. Pihak Portugis mahu tawanan Portugis termasuk Ruy de Aroujo
dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu keadaan mula semakin tegang. Beberapa
siri pertempuran kecil berlaku di laut dan dikawasan penginapan para pedagang
berdekatan pantai.
Portugis menyerang empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera.
Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat di pelabuhan juga dibakar termasuk rumah
penduduk di pantai. Walaupun Sultan kemudiannya membebaskan tawanan, namun
perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.
Pihak Portugis sebenarnya sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal
ini kerana mereka telah mempunyai perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan
dari segi risikan atau maklumat yang diberi oleh Ruy de Aroujo dan orang-orang
dalaman Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan
Nainachittu. Melaka mempunyai musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya
sendiri. Namun demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan
pertahanan Melaka.
Albuquerque sendiri pernah menyebut bahawa
“Kita tidak akan dapat menawan melaka dengan hanya dua batang
pedang yang berkarat!”
Di waktu subuh sebelum serangan habis-habisan dilancarkan,
Albuquerque memberi ucapan bahawa Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah
tidak akan sampai ke Makkah dan Kaherah dan sinar Islam disini akan padam!
Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat sebenar mereka.
Barisan ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai dari yang
kita ketahui. Namun kita sering mendengar jumlah tentera Portugis hanyalah 1200
orang termasuk 600 tentera upahan Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah.
Maklumat daripada catatan Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu
tiba di Pedir, jumlah kapal termasuk yang ditawan di perjalanan mencecah angka
25 buah. Di Pasai, lapan buah kapal dari Cambay lagi menjadi mangsa tawanan
atau dirosakkan. Dengan demikian kita menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal
telah tiba di perairan Melaka.
Malahan terdapat beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan
dan tawanannya dijadikan barisan sokongan dalam serangan keatas Melaka.
Giovanni turut melaporkan bahawa dalam serangan pada 25 Julai 1511 terdapat
1500 orang tentera Portugis yang terlibat, dengan pasukan bantuan daripada
orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan dari seorang putera Sumatera (Raja
Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang 400 orang.
Ini semua belum termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam,
malah orang-orang Keling dibawah Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang
sengaja berperang dengan tidak bersungguh-sungguh setelah ketua mereka
Utimutiraja disogok Portugis.
Pertempuran berlaku dengan sengit di beberapa lokasi seperti di
Jambatan, bukit Melaka, Bandar pelabuhan, Istana dan Masjid sultan. Pertahanan
Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa yang pada permulaan ogos
dibayar tiga bulan gaji terkehadapan disamping barisan pejuang Turki dan
Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang.
Seperti yang saya telah sebutkan tadi, walaupun tentera Jawa ini
telah dibayar gaji awal untuk tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak
bersungguh-sungguh mempertahankan Melaka kerana penghulu mereka Utimutiraja
telah membuat pakatan dengan Alfonso de Albuquerque dan memberitahu anak-anak
buahnya agar ‘tidak perlu bersusah payah menggadaikan nyawa sendiri untuk
mempertahankan harta benda orang lain’.
Persoalannya adakah kekuatan Melaka yang sebenar telah digunakan
sepenuhnya? Sebenarnya kekuatan Melaka yang sebenar adalah terletak pada armada
lautnya. Namun demikian armada laut Melaka yang terdiri daripada jong-jong yang
besar tidak berada di perairan Melaka pada ketika itu.
Sebelum mulanya serangan yang penghabisan oleh Portugis, Sultan
sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan dan cuba berdiplomasi kerana
menunggu armada lautnya bersama Laksamana. Namun tindakan Sultan yang sengaja
melengah-lengahkan masa tersebut diketahui Portugis yang menyebabkan serangan
total dilakukan sebelum sempat armada itu sampai.
Hal ini disebabkan pihak Portugis sangat takut dengan risikan
yang diberikan oleh Ruy de Aroujo yang mengatakan bahawa Sultan Melaka
mempunyai satu armada laut yang sangat kuat yang diketuai oleh seseorang yang
bernama ‘Laksamana’ yang dapat membakar hangus seluruh armada Portugis jika
mereka lambat bertindak.
Terdapat catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu
Melaka diserang, Laksamana bersama armada Melaka sedang mengadakan rondaan di
kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin sekitar Riau-Lingga. Ini kerana
dalam catatan tersebut diberitahu bahawa Raja Lingga bersama Laksamana telah
berpatah balik apabila mengetahui bahawa Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis
dan Sultan Mahmud Shah dan keluarganya berundur ke Bentayan di Muar.
Pada pendapat saya Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa
kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar Melaka kerana adat Melayu
itu 10 negeri boleh dicari, selagi ada raja berdaulat. Jadi jika raja berundur
maka pembesar dan raja-raja taklukannya tidak akan membuat keputusan sendiri
untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya berundur bersama Sultan untuk mengatur
strategi baru.
Sultan Mahmud Shah juga dikatakan bertitah, adat kita raja
Melayu, negeri alah raja mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka
sebenarnya belum tamat selagi baginda dan waris-warisnya belum mati.
Apa yang dapat saya simpulkan disini ialah kekalahan Melaka
kepada Portugis bukanlah satu kekalahan yang mudah seperti yang sering
disebut-sebut. Bukan disebabkan teknologi persenjataan yang lemah dan bukan
kerana kejakunan tentera Melaka terhadap tembakan meriam tentera Portugis.
Barisan pertahanan Melaka telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi
diplomasi, pertanahan, taktik dan strategi pertempuran.
Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu
Melaka adalah gagah perkasa dan terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi
dengan pelbagai jenis senjata berpotensi. Namun begitu kita tidak boleh pandang
rendah pada kekuatan Portugis. Orang Portugis mempunyai pengalaman tempur dan
kepungan laut yang sama hebatnya dengan bangsa Melayu.
Sebelum mereka menyerang Melaka banyak kota pelabuhan lain
seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya mereka tawan, malah mereka pernah
bertempur dengan armada Turki Uthmaniah yang terkenal hebat itu.
Kekalahan Melaka adalah sebab kurangnya kesepaduan dan
kesepakatan diantara ‘Anakvanua’, dan sikap terlalu memberi kepercayaan kepada
‘anak dagang’ atau bangsa ‘asing’.
Bak kata pepatah ‘apalah diharap pada dagang, bertukar musim
berlalulah ia’.
Sikap terlalu bertoleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu
sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri sendiri apabila
golongan-golongan ‘dagang’ ini mula menunjukkan belang mereka dan menikam dari
belakang!
Baik dagang Kalingga, dagang Ming, dagang Burma, maupun dagang
Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa, semuanya menjadi duri dalam daging.
Harapkan pegar,pegar pula makan padi.
Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran kepada anak-anak
vanua pada hari ini, dan bukannya kisah Melaka kalah berperang kerana menggunakan
keris dan sumpit semata-mata yang ternyata tidak benar.
Sekian, wallah hu a’lam.
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.