rujukan punca keratan akbar: harian kosmo
SAN FRANCISCO: Racun rumpai
Roundup disahkan sebagai ‘faktor terbesar’ kanser yang dihidapi seorang lelaki,
selepas satu benjolan dikesan pada tekak seorang lelaki, yang menyembur racun
itu pada tanamannya sejak beberapa dekad lalu.
Pendedahan itu adalah
kekalahan kedua bagi gergasi agrokimia, Monsanto yang mengeluarkan racun rumpai
itu dalam tempoh setahun.
Edwin Hardeman, 70,
dilaporkan menyembur tanamannya di Daerah Sonoma, California dengan racun itu
dengan kerap sejak 1980 hingga 2012, dan baru-baru ini disahkan mengidap kanser
limfoma.
Peguamnya, Aimee Wagstaff
dan Jennifer Moore dalam satu kenyataan bersama, berkata anak guam mereka amat
berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.
“Sekarang kami boleh
memberi tumpuan kepada bukti yang enggan diakui oleh Monsanto, iaitu pendekatan
lebih objektif mengenai tahap keselamatan Roundup.
“Sudah jelas berdasarkan
tindakan yang diambil Monsanto menunjukkan ia tidak peduli sama ada produk
keluarannya mengakibatkan seseorang itu menghidap kanser.
“Sebaliknya, mereka memberi
tumpuan kepada usaha memanipulasi pendapat awam dan cuba menyangkal mana-mana
pihak yang menimbulkan keraguan mengenai isu berkenaan,” katanya.
Ketika perbicaraan, juri
diminta memutuskan sama ada kandungan glifosat, iaitu racun herba yang paling
banyak digunakan di seluruh dunia, adalah faktor utama yang mengakibatkan
keadaan yang dialami oleh Hardeman.
Pencinta alam sekitar
sering mengaitkan glifosat dengan penyakit kanser yang dihidapi penggunanya.
Hardeman yang hadir
mahkamah ketika juri membacakan keputusan mereka, dilihat memeluk kedua-dua
peguamnya.
Keputusan itu diumumkan
selepas sesi perbahasan selama seminggu dan disusuli dengan perbicaraan
peringkat negeri, membabitkan seorang lagi plaintif yang berdepan keadaan yang
sama seperti Hardeman.
Proses perbicaraan kini
memasuki fasa kedua, iaitu bagi memutuskan sama ada Monsanto perlu
bertanggungjawab terhadap perbuatannya itu.
Terdahulu, Monsanto yang
sudah menjual Roundup selama lebih 40 tahun di seluruh dunia, mengemukakan
hasil kajian yang menunjukkan produk keluarannya itu, tidak berbahaya jika
digunakan dengan betul. - AFP
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.