Total Pageviews

Friday 1 March 2019

Sungai Icat Tercemar

Sungai Cameron Highland Tercemar






Berdasarkan laporan Journal of Sustainable Agriculture 2010, aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan untuk tanaman sayur menjadi aktif pada tahun 1980-an dan mula menghadapi masalah kesuburan tanah dan pemuliharaan sumber air.

Tekanan ke atas kesuburan tanah, sumber air dan perosak tanaman menjadi penting apabila hutan di tebang dan permintaan sayur-sayuran negara melebihi 60 peratus adalah dari Cameron Highlands. Maka racun perosak dan baja banyak digunakan, penerokaan kawasan cerun meningkat dan akhirnya memberikan kesan kepada alam sekitar dan manusia.

Hampir setiap tahun isu banjir lumpur di Cameron Highlands dilaporkan dalam media tempatan iaitu banjir lumpur, tanah runtuh dan hakisan tanah teruk berlaku yang melibatkan kematian, pencemaran kuman pembawa penyakit dan bahan kimia berbahaya.

Aktiviti pertanian tanah tinggi di Cameron Highlands memberikan pededahan kawasan tanah kepada hujan dan keadaan tanah cerun, 20-60 darjah, yang terdedah menambahkan lagi peluang untuk berlakunya hakisan permukaan. Struktur yang dibina seperti bumbung plastik untuk aktiviti pertanian membantu mengumpul air hujan dan menyebabkan kelimpahan air permukaan yang berlebihan.

Keadaan permukaan tanah yang tiada tumbuhan menggalakkan hakisan dan menyebabkan banjir lumpur. Kejadian pencerobohan haram menggalakkan lagi hakisan dan banjir yang luar biasa dan memusnahkan alam sekitar di luar kawalan.

Kajian dari segi kemampuan kawasan menampung kelimpahan air permukaan, laluan air menuruni cerun dan pengurusan tebing sungai atau parit perlu dilakukan dan dipantau. Dari segi geologi, kawasan Cameron Highlands mempunyai tanah luluhawa granit yang sangat sensitif terhadap pembangunan dan penerokaan hutan. Apabila diganggu kawasan akan terdedah kepada risiko yang tinggi dari segi hakisan permukaan dan tebing sungai.

Lambakan kelodak boleh menyempitkan saliran dan sungai menjadi cetek, tambahan lagi struktur yang dibina tidak mengambil kira zon penampan sungai turut menambah masalah bencana.

Satu reka bentuk landskap kawasan pertanian tanah tinggi kawasan tropika yang lembab mestilah diadakan lengkap dengan maklumat dan peraturan yang jelas bagi pengurusan air di Cameron Highlands.

Penggunaan racun serangga sangat penting bagi menjamin hasil sayuran dan semestinya mendapat perhatian ramai dari segi pencemaran bahan kimia dalam sayuran dan alam sekitar.

Racun perosak mungkin diserap dan mengumpul di dalam sayuran, meruap ke atmosfera, dibawa oleh air permukaan, dimakan serangga, cacing dan mikroorganisma.

Racun perosak juga melekat pada partikel tanah atau larut dalam air. Empat faktor utama berkaitan racun perosak dalam alam sekitar yang perlu dilihat iaitu jenis racun perosak, jenis tanah sama ada berpasir, tanah liat atau sebagainya, keadaan tempat seperti hujan dan kedalaman air bawah tanah dan amalan penggunaan racun perosak seperti kaedah dan kadar penggunaan serta sistem saliran.

Kajian pencemaran racun perosak di sungai-sungai Cameron Highlands menunjukkan adanya unsur-unsur penggunaan racun perosak yang tidak dibenarkan seperti endosulfan, aldrin and DDE (Dichlorodiphenyl dichloroethylene) iaitu terbitan daripada DDT (Dichloro diphenyltrichloroethane) yang berbahaya. Semua bahan kimia berkenaan adalah racun perosak yang telah diharamkan di seluruh dunia dan di Malaysia sejak 2005 bawah akta racun perosak 1974.

Bahan-bahan tersebut boleh mengganggu sistem endokrina manusia dan ada yang larut dalam lemak dan mengumpul di dalam susu ibu. Pencemaran susu ibu boleh memberikan kesan kepada kesihatan kanak-kanak. Penemuan pencemaran bahan kimia berbahaya ini sudah tentu menakutkan semua pihak sekiranya ia mencemari air minuman. Aldrin misalnya dilaporkan terdapat dalam air paip pada kepekatan 0.071mg/L. iaitu di atas paras normal antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) , 0.03 mg/L.


Bahan pencemar ancam sungai

Berdasarkan laporan media, Jabatan Alam sekitar (JAS) dan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) melaporkan hanya 10 peratus sungai di Cameron Highlands masih berada dalam kelas I dan II iaitu sungai yang masih mempunyai air bersih dan boleh digunakan. Yang lainnya adalah dalam kelas III dan Kelas IV.

Sungai Tringkap, Sungai Icat yang terletak berhampiran Kampung Kuala Terla and Sungai Terla telah dilaporkan mati dari segi biologinya dan dikelaskan dalam kelas V.

Penggunaan baja dan racun juga menyumbang kepada pencemaran logam berat. Kajian menunjukkan kepekatan zink (Zn) dan kuprum (Cu) dalam tanah masing-masing 219.8 miligram (mg)/kg dan 65 mg/kg.

Nilai ini dianggarkan melebihi dari paras normal. Kajian yang dilaporkan oleh Malaysian Journal of Analytical Sciences, pada tahun lalu menunjukkan pencemaran sayur bayam, brokoli kubis bunga, kubis, saderi, salad, sawi tidak mempunyai risiko terhadap kesihatan manusia.

Selain pencemaran kelodak, bahan kimia, sisa pepejal juga menjadi masalah utama pencemaran sungai yang boleh menyumbang kepada limpahan air sungai. Cameron Highlands menguruskan lebih 40 tan sisa pepejal sehari.

Sudah tentu ada lagi sisa pepejal terutama plastik yang tidak dapat diuruskan dengan baik memandangkan keadaan muka bumi, taburan penduduk, aktiviti manusia dan sikap penduduk serta pengunjung di Cameron Highlands.

Kejadian banjir lumpur pada Ogos 2013 dan November 2014 telah memberikan kesan kepada penduduk dan alam sekitar di kawasan tersebut. Banjir lumpur dikatakan berkait rapat dengan aktiviti manusia yang dibincangkan di atas. Kehadiran badan bukan kerajaan turut sama mendidik masyarakat dan pihak berkuasa tempatan boleh membantu pihak berkaitan seperti Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Tindakan Pemulihan Cameron Highlands dalam menangani isu bencana berulang ini.




..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.