7
produk kosmetik diharamkan serta-merta
KUALA LUMPUR: Tujuh produk kosmetik diharamkan dan dibatalkan
pengedarannya berkuat kuasa serta-merta, oleh Perkhidmatan Farmasi Kementerian
Kesihatan (KKM) berikutan dikesan mengandungi racun hidrokuinon, tretinoin dan
merkuri.
Produk itu adalah:
1. D'Solve Plus, Nuriz Kosmetik (mengandungi hidrokuinon dan
tretinoin)
2. Krim pemutih 3 dalam 1, Nuriz Kosmetik
3. Penyegar wajah Cantiqa, Pusratu Global Academy (hidrokuinon)
4. Penyegar wajah Rzac Platinum, R-ZAC Sdn Bhd (hidrokuinon).
5. Magic Cream, Malia Mellia (merkuri)
6. Krim siang Dnars, Onew Cosmetics (merkuri)
7. Krim malam Dollys Pinky, Legacy Jaya Enterprise (merkuri).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata
penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan diberi amaran untuk menghentikan
penjualan dan pengedaran produk serta-merta.
Katanya, penjual turut diingatkan penjualan dan pengedaran
produk kosmetik melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Mereka yang melakukan kesalahan mengikut
Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, boleh didenda tidak
melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya
untuk kesalahan pertama.
"Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi
lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda
sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk
kesalahan berikutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang menggunakan tujuh produk
kosmetik itu dinasihatkan menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat
pakar kesihatan jika mengalami ketidakselesaan atau kesan buruk.
Katanya, orang ramai boleh mengajukan pertanyaan berkaitan
produk kosmetik kepada kosmetik@npra.gov.my atau
menghubungi talian 03-78835400.
"Pengguna dan orang ramai dinasihatkan menyemak status
sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/," katanya.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.