Tompokan
hitam sisa kimia masih banyak
PASIR
GUDANG: Lebih 150 penduduk Kampung Bukit Pulai di sini, yang terjejas akibat
pencemaran gas metana Khamis lalu, bimbang dengan keselamatan mereka berikutan
tompokan hitam sisa kimia masih memenuhi sungai berhampiran.
Tinjauan
BH di kampung itu yang terletak tidak jauh dari kawasan pembuangan sisa kimia
secara haram di Sungai Kim Kim, mendapati warna air sungai terbabit kini
bertukar hitam serta berbau masam selain hidupan sungai termasuk ikan mati dan
terapung.
Penduduk,
Nursatria Rabu, 33, yang juga seorang nelayan, mendakwa masih banyak tompokan
hitam sisa kimia yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab, terapung di kawasan
bakau tidak jauh dari penempatan penduduk kampung itu.
“Semalam
saya dan rakan turun ke laut untuk menangkap ikan namun apabila tiba di kawasan
bakau di Sungai Kim Kim, kami ternampak banyak tompokan hitam pekat dengan
hidupan sungai terutama bangkai ikan terapung memenuhi permukaan air di situ.
“Kawasan
bakau berkenaan tidak jauh dari kampung ini dan sisa kimia itu masih mengeluarkan
gas. Pada waktu malam, udara berbau busuk itu dapat dihidu seluruh penduduk
kampung. Kami bimbangkan keselamatan terutama kanak-kanak dan bayi,” katanya
ketika ditemui di tepi Sungai Kim Kim, di sini, hari ini.
Semalam,
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezzani Mat Salleh,
dilaporkan berkata, kualiti udara di kawasan terjejas sudah stabil, namun
pihaknya bimbang penyebaran gas berlaku semula apabila pasukannya melakukan
kerja pembersihan sungai yang dijangka selesai esok.
Khamis
lalu, media melaporkan seramai 1,400 pelajar di SMK Pasir Putih dan Sekolah
Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah
itu kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan
selepas terhidu gas metana.
Kejadian
itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia oleh sebuah lori tangki
ke Sungai Kim Kim oleh pihak yang belum dikenal pasti, kira-kira jam 2 pagi
Khamis.
Sementara
itu, seorang lagi penduduk terjejas, Zulkifli Kassim, 50, turut bimbang kerana
dua sekolah terbabit berada tidak jauh dari kawasan Sungai Kim Kim.
Zulkifli
berkata, anaknya yang bersekolah di SMK Pasir Putih turut mengadu sakit tekak,
dada dan pedih mata kerana menghirup udara tercemar sejak Khamis lalu.
“Waktu
siang air sungai surut, jadi tompokan hitam sisa kimia terbabit tidak jelas
kelihatan namun apabila air pasang, tompokan berkenaan nampak jelas hitam
pekat.
“Udara
pun tercemar dengan kombinasi bau masam dan tengik. Kami orang dewasa tak apa,
tetapi kasihan dengan keluarga yang baru menyambut bayi. Ada ibu mengandung dan
anak-anak yang tidak selesa dengan pencemaran udara yang semakin teruk,”
katanya.
...
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.