Total Pageviews

Friday, 1 March 2019

Bukan hanya gas metana dikesan dalam Sungai Kim Kim


Bukan hanya gas metana dikesan dalam Sungai Kim Kim
Mac 13, 2019


PASIR GUDANG: Kes keracunan gas kimia di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang sejak Khamis lalu membuka mata semua pihak bahawa pencemaran dari pembuangan sisa toksik bukan hanya boleh menjejaskan alam sekitar, bahkan berbahaya kepada manusia.

Hanya dalam tempoh kurang seminggu dari tarikh 
kejadian pertama pada 7 Mac lalu, lebih 300 mangsa terutamanya dalam kalangan pelajar di beberapa sekolah berhampiran Sungai Kim Kim terkesan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa mengarahkan 
penutupan 13 buah sekolah bermula Rabu bagi memastikan tiada mangsa baharu terkena tempias pencemaran bahan kimia tersebut.

Terbaru, hari ini, 
lima lagi sekolah diarah tutup, susulan terdapat pelajar yang mengalami simptom loya, muntah muntah dan pening dipercayai terhidu bahan kimia.

Tinjauan Astro AWANI di sekitar kawasan yang terjejas mendapati perkara ini tidak boleh dipandang mudah memandangkan jumlah mangsa dilaporkan terus meningkat dan keadaan belum menunjukkan sebarang tanda akan reda.

Jika sebelum ini kandungan gas metana yang tinggi dalam udara dikatakan jadi punca keracunan, Astro AWANI menerima maklumat bahawa bukan hanya gas tersebut yang menjadi faktor penyumbang.

Sumber memberitahu, terdapat beberapa bahan kimia atau toksik berbahaya yang terkandung di dalam air Sungai Kim Kim, termasuk hidrogen klorida, sulfur dioksida, benzena dan hidrogen sianida.

Kunjungan Astro AWANI ke Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih mendapati kedua-dua sekolah itu terletak kurang 100 meter dari kawasan perumahan.

Kedua-dua sekolah berkenaan merupakan yang pertama terjejas dengan kes keracunan akibat terhidu gas kimia itu pada 7 Mac lalu.

Jika sekolah ditutup, bagaimana pula dengan tahap keselamatan penduduk?

Kami bertemu salah seorang penduduk, Azlan Abdul Rahman, 48 tahun, yang tinggal hanya 100 meter dari SMK Pasir Putih.
Sejak kejadian minggu lalu, dia pernah terhidu sesuatu gas yang disangka hanya tumpahan petrol atau gasolin.

“Pada pagi Khamis itu, saya terbau seperti gas, tetapi tidak menyangka ia sebenarnya satu pencemaran bahan kimia. Selepas saya tahu apa yang terjadi, saya rasa kami penduduk di sini dalam keadaan terancam.

"Sebab, sebab tiada apa-apa arahan dikeluarkan kepada kami untuk bertindak. Saya mohon kepada pihak berkuasa agar dapat memberikan taklimat kepada kami, apa yang perlu kami lakukan," katanya.

Atas faktor tanggungjawab dan risau akan keadaan yang dilihatnya semakin meruncing, Azlan berkata, beliau sentiasa memakai topeng muka bagi memastikan dirinya terhindar dari menghidu gas kimia berkenaan.

Sementara itu, seorang pegawal keselamatan di SMK Pasir Putih, Shahrizal Hat, 38 tahun, mendakwa terhidu gas yang agak pelik baunya sekitar jam 1 hingga 3 pagi Khamis ketika membuat rondaan.

"Saya ada terbau macam tengik, seperti bau gas. Saya sangkakan tidak ada apa-apa. Tetapi apabila saya lihat ada murid yang dah mula muntah-muntah, loya dan batuk, saya baru sedar ini mungkin berpunca daripada bau gas itu,”" katanya.

Shahrizal berkata, dia turut mengalami simptom pening dan susah bernafas pada hari kejadian sebelum mendapatkan rawatan lanjut.

Salah seorang mangsa, Hazli Harun, 50 tahun, yang juga Guru Penolong Kanan SMK Kota Masai, turut menceritakan apa yang terjadi.

"Sejak tengah hari Rabu memang saya batuk-batuk. Lama-lama, mata makin pedih dan berair. Selepas itu, tekak rasa mual, tetapi kita sebagai guru, kena bertahan, sebab kita utamakan murid dulu.

"Selepas murid pulang dari hospital, saya pun pergi menjalani pemeriksaan kesihatan," ujarnya.

Keadaan sama dikongsi Seng San Yee, 49 tahun, penduduk Taman Kota Masai, yang terpaksa menerima rawatan selepas mengalami batuk dan gatal tekak akibat terhidu gas berkenaan ketika berada di rumahnya.

"Pada masa kejadian, saya bangun dalam jam 5 pagi, saya terbau seperti gas. Saya sangkakan gas memasak saya bocor. Tetapi apabila keluar rumah pun, saya boleh bau gas itu," katanya.

Pemantauan Astro Awani di Dewan Komuniti Pasir Putih, tidak jauh dari premis sekolah terbabit, mendapati lebih 10 buah ambulans terlibat berulang alik menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail yang terletak 30 kilometer dari lokasi.

Lebih 10 orang doktor dan 50 petugas dari Kementerian Kesihatan, dengan dibantu kakitangan hospital swasta, turut menguruskan keadaan serta memberi rawatan awal kepada mangsa.

Turut terlibat, lebih 120 anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Rela dan beberapa agensi kerajaan lain yang membantu dari segi logistik.

Pemantauan Astro AWANI di sekitar kawasan terjejas mendapati lebih 800 kilang berada dalam lingkungan kurang 15 kilometer dari Sungai Kim Kim.

Daripada jumlah itu, 100 buah kilang menggunakan bahan kimia untuk industri.

Timbul persoalan, adakah kesemua kilang ini menggunakan Prosedor Operasi Standard (SOP) dalam pengurusan sisa terjadual atau sisa toksik ini?

Jika terdapat pelanggaran SOP, adakah tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berwajiba?

Astro AWANI akan terus mengikuti rapat bencana ini bagi mengetahui punca sebenar pencemaran bahan kimia yang mengakibatkan ramai terkesan ini.



...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.