Total Pageviews

Friday, 1 March 2019

bayar pampasan AS$4.69 bilion


Asbestos: J&J diarah bayar pampasan AS$4.69 bilion


WASHINGTON: Syarikat farmasi gergasi Amerika Syarikat (AS) Johnson & Johnson (J&J) diperintah membayar pampasan AS$4.69 bilion (RM18.98 bilion) kepada 22 wanita dan keluarga mereka yang mendakwa bedak talkum bayi syarikat itu mengandungi asbestos penyebab kanser.
Ia adalah keputusan terbaru dalam kes yang menyaksikan beberapa ribu saman difailkan ke atas J&J.
Menurut peguam mangsa, Mark Lanier, barisan juri terdiri daripada enam lelaki dan enam wanita di St Louis, Missouri, memihak wanita terbabit selepas perbicaraan enam minggu dan perbincangan selama lapan jam.
Bayaran itu termasuk pampasan AS$550 juta (RM2.23 bilion) dan lebih AS$4.1 bilion (RM16.49 bilion) ganti rugi punitif.
Plaintif berkata, menggunakan bedak talkum untuk kebersihan diri menjadi penyebab kanser ovari.
"Selama lebih 40 tahun, Johnson & Johnson menutup bukti kehadiran asbestos dalam produk mereka.
"Kami berharap keputusan ini akan mendapat perhatian lembaga pengarah J&J dan membolehkan mereka memaklumkan masyarakat perubatan dan orang awam mengenai kaitan antara asbestos, talkum dan kanser ovari," kata Lanier dalam satu kenyataan menggesa bedak talkum itu ditarik balik dari pasaran.
J&J berkata, ia merasa amat kecewa terhadap keputusan mahkamah itu.
Dalam satu kenyataan, syarikat menyifatkan perbicaraan itu sebagai "proses yang pada asasnya tidak adil kerana membolehkan plaintif diwakili kumpulan 22 wanita, kebanyakannya tiada kaitan dengan Missouri, dalam kes tunggal yang mendakwa kesemua mereka mendapat kanser ovari".
Syarikat berkata, bedak talkum keluarannya tidak mengandungi asbestos atau penyebab kanser ovari dan 'berikrar akan mengemukakan semua rayuan yang ada.'
Beberapa perbicaraan sama sudah berlangsung dengan mahkamah rayuan Los Angeles Oktober lalu menolak keputusan saman AS$417 juta (RM1.69 bilion) ke atas J&J, mengatakan hujah pengadu tidak mencukupi dan samar-samar. -AFP



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.