Total Pageviews

Friday, 1 March 2019

pengalaman derita 3 kanser



Kongsi pengalaman derita 3 jenis kanser



SIAPA menyangka di sebalik senyuman manis terukir di bibir dan kelihatan sihat, sebenarnya ibu tiga anak ini melalui detik mencemaskan kerana menghidap tiga jenis kanser dalam tempoh tiga tahun.
Walaupun, serangan kanser itu bertubi-tubi bermula dengan kanser payudara, kemudian paru-paru dan diikuti kanser tulang pinggul, namun tidak mematahkan semangat, Wan Musfirah Aimi Wan Supian, 33, terus menjalani kehidupan sehingga sekarang.
Pegawai eksekutif di sebuah bank itu, berkata ketika ini beliau masih menjalani rawatan kanser tulang pinggul yang kini berada pada tahap empat, namun tetap positif dan berharap bebas sepenuhnya.
Cuma, beliau agak lega kerana kanser payudara tahap dua dan kanser paru-paru tahap tiga yang dideritai sebelum ini berjaya dirawat sepenuhnya selepas menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi.
Mengimbas memori itu, Wan Musfirah Aimi berkata, beliau hanya mendapat tahu menghidap kanser payudara ketika berusia 30 tahun selepas mengalami sakit di bahagian ketiak.
Katanya, perjalanan beliau melalui keadaan itu yang disahkan menghidap kanser dan rawatan dijalani sangat mencabar, namun tidak berputus asa untuk sembuh sepenuhnya.
"Saya hanya mendapat tahu yang saya mempunyai kanser payudara pada Januari 2015 apabila memaklumkan kepada doktor mengenai kesakitan yang saya alami di bahagian ketiak.
"Sebaik sahaja disahkan saya terus mendapatkan rawatan alternatif terlebih dahulu selama enam bulan, tetapi akhirnya berputus asa selepas tiada perubahan sebelum mendapatkan rawatan di hospital untuk membuang payudara kiri.
"Selepas membuang sel kanser berkenaan, tidak lama kemudian saya disahkan menghidapi kanser paru-paru apabila sel penyakit itu sudah merebak ke organ berkenaan, walaupun selepas sebulan menjalani pembedahan.
"Terus saya mulakan rawatan kemoterapi dan kemudian terapi hormon," katanya," yang juga dipilih sebagai Ibu Sejati melalui kempen Lady's Choice, jenama mayonis di bawah Unilever (M) Sdn Bhd (Unilever) dengan kerjasama strategik Media Prima Bhd (Media Prima).
Beliau berkongsi pengalamannya pada Ceramah Kesihatan Wanita anjuran NR Pusat Diagnostik dan Hospital UMRA di TTDI Adina, di Shah Alam.
Turut memberi ceramah, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital UMRA, Dr Mohammed Niraj Mohammed Feizal; Pakar bedah dari Hospital Columbia Asia, Dr Rosliza Ghazali; wakil daripada Breast Cancer Foundation, Razlan Patrick Phillip.
Wan Musfirah Aimi . diuji sekali lagi selepas disahkan menghidap kanser tulang pinggul pula, pada Julai tahun lalu.
"Sekali lagi, saya harus membuat rawatan radioterapi untuk membunuh sel kanser," katanya yang aktif sebagai penceramah bebas untuk berkongsi pengalaman mengharungi liku-liku sebagai pesakit kanser
Disebabkan rawatan radioterapi yang dijalani beliau disahkan menopaus pada usia yang muda dan kini masih melalui rawatan terapi hormon dan kemoterapi.
Sehingga kini, beliau sudah menjalani 17 rawatan terapi hormon, kemoterapi (enam), radioterapi (enam) dan hormon terapi untuk menopaus (enam).
Beliau berkata, kemungkinan kanser yang dihadapinya juga berpunca daripada gaya hidupnya.
"Saya sedar gaya hidup adalah sangat penting. Kita harus jaga pemakanan dan bersenam dalam menghindari kanser.
"Ramai orang yang saya kenali apabila mereka disahkan menghidapi kanser terus berputus asa. Percaya ini bukan pengakhiran hidup. Kita harus melawan kanser ini," katanya.
Sementara itu, Dr Mohammed Niraj berkata, setiap orang perlu membuat rawatan berkala untuk mengesan barang risiko penyakit termasuk kanser bagi mengelak menjadi lebih serius.
"Ini penting supaya mereka boleh menyimpan rekod sahsiah penyakit yang dihadapi, selain menjaga kesihatan," katanya.
"Kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam, diet, minum air masak selalu dan lain-lain lagi. Jangan sudah sampai di peringkat yang akhir baru nak rawat.
"Apa yang terbaik bagi mereka yang tidak menghidap kanser untuk mencegahnya," katanya.

..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.