Total Pageviews

Friday, 1 March 2019

Kaum wanita dihimpit sengsara dan harapan


Kaum wanita Gaza terhimpit antara harapan dan kesengsaraan




BERLATARBELAKANGKAN kemiskinan dan serba kekurangan, sukar bagi wanita Palestin untuk menikmati  perkara ‘normal’ yang sering diambil mudah oleh masyarakat di negara lain.

Nada Rudwan dahulu bekerja dalam sektor pemasaran digital, namun bidang itu mula merudum sekali gus menambah statistik pengangguran di Gaza yang hampir 50 peratus.

Dia akhirnya membuat keputusan untuk menggunakan kemahiran teknologi ke dalam minatnya iaitu memasak.

“Amat sukar untuk mencari pekerjaan. Jadi, saya mendapat idea untuk melakukan sesuatu yang saya gemar serta boleh dijadikan mata pencarian,” kata Nada, 27 tahun, yang kini memuat naik video tutorial memasak ke media sosial dengan nama 'Nada Kitchen'.

Nada berkata kepada Reuters, dia menjana pendapatan melalui hasil daripada YouTube serta beberapa syarikat lain dari Arab Saudi yang baru-baru ini telah membeli videonya.

“Saya perlu berusaha untuk mengatasi kekangan fizikal di Gaza dengan cara mencari pekerjaan yang hanya memerlukan sedikit bakat, satu kamera dan internet,” kata Nada.

Lebih 2 juta warga Palestin - kebanyakannya daripada keturunan masyarakat yang diusir atau lari daripada wilayah yang kini dikenali sebagai Israel - buat masa ini memenuhi Tebing Gaza yang sempit, antara sempadan Israel dan Mesir.

Israel masih mengawal ketat sempadan Gaza di darat dan lautan, yang kononnya diancam oleh kumpulan Islamis Hamas yang sebaliknya mengawal kawasan pantai.

Mesir juga membataskan pergerakan keluar dan masuk dari Gaza di sempadannya.

Sekatan itu telah menghancurkan ekonomi Gaza sekali gus menghapus peluang pekerjaan daripada wanita, terutamanya mereka yang baru sahaja meninggalkan universiti.

“Memang sukar untuk mencari kerja yang dapat menampung keperluan,” kata adik perempuan Nada, Lama Rudwan, seorang graduan dalam bidang media dan komunikasi yang kini membantu Nada setelah gagal mencari pekerjaan lain.


Penolakan daripada masyarakat

Sesetengah wanita Gaza turut menyuarakan kesusahan yang dihadapi dari sudut kehidupan peribadi.

Malah, perkara ‘normal’ seperti membeli-belah ataupun berkahwin menjadi sukar hanya disebabkan oleh sekatan Israel, yang sudah tiga kali berperang dengan Hamas dalam dekad yang lalu.

Hana Abu El-Roos, 18 tahun, berkata bahawa dia berhasrat untuk berkahwin pada musim panas ini, namun gagal jumpa barangan yang diperlukan untuk majlis perkahwinannya itu di mana-mana kedai di Gaza.

Wanita Gaza yang lain pula bercakap tentang tekanan masyarakat apabila mereka terpaksa memilih pekerjaan yang dilihat bukan tradisional semata-mata untuk cuba meloloskan diri dari keperitan ekonomi.

Bagi Sahar Yaghi bekerja sebagai perancang majlis perkahwinan selepas berhenti daripada pengajian universiti semata-mata untuk mencari pendapatan buat keluarganya.

Namun, tugas yang merancang acara pesta dan keramaian itu memaksanya bekerja sehingga lewat malam, hinggakan dia berdepan kritikan daripada jiran-jirannya yang kurang senang melihat gaya hidupnya.

“Saya benci sesetengah komen daripada segelintir masyarakat, namun saya masih minat dalam bidang ini dan berharap dapat menubuhkan perniagaan saya sendiri,” kata Sahar, 28 tahun.

Wanita di Gaza ada pekerjaan bagaimanapun merasakan kerjaya mereka boleh hilang pada bila-bila masa, dan itu menambahkan lagi rasa tidak selamat dalam perancangan hidup mereka.
Sementara itu, Sara Abu Taqea berkata dia menemui pekerjaan sementara di hospital Gaza selepas mendapat ijazah dalam bidang perbidanan.

Namun dia bersedih apabila ramai rakan sekuliahnya tidak bertuah sepertinya.

"Ia hanya kontrak enam bulan, dengan tiada jaminan pengambilan kerja seterusnya," ujar Sara, 23 tahun, yang bekerja di wad bersalin Hospital Al-Ahli, Gaza.

Untuk meredakan kesengsaraan, Sara berkata dia menemui pengubatnya dengan memandang Laut Mediterranean.

"Kami sangat bertuah memiliki laut. Pantai ini adalah tempat untuk melepaskan tekanan dan bermeditasi, jadi kami boleh melupakan tentang peperangan serta kemiskinan," ujar Sara.




...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.