Total Pageviews

Friday, 1 March 2019

Manusia suka melakukan rosak binasa porak peranda

Padah merosakkan alam sekitar




INSIDEN pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim dekat Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor menyebabkan kesihatan lebih 4,000 penduduk tempatan termasuk pelajar terjejas.

Pembuangan bahan sisa toksik itu bukan hanya menyebabkan pencemaran air sungai, tetapi kandungan bahan kimia mudah larut air juga menyebabkan udara dicemari bahan kimia mudah meruap.

Sehingga 19 Mac 2019, jumlah bahan enap cemar yang dikutip berjumlah 990 tan metrik.

Pasukan penilai yang ditubuhkan untuk membuat pemantauan di kawasan terbabit termasuk kualiti air sungai dan udara memberikan fokus kepada beberapa bahan kimia termasuk hidrogen sianida (HCN), akrilonitril, akrolin dan sebatian organik meruap (VOC) yang memberi kesan buruk kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.

Gunung-ganang, bukit- bukau, sungai dan tasik dijadikan bersama udara bersih dan nyaman untuk keselesaan hidup manusia.

Air hujan menyebabkan tumbuh-tumbuhan hidup subur dan mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki buat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 29)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya.” (Surah Ar-Ra’ad, ayat 17)

Isu alam sekitar sering merujuk kepada aktiviti dan tindakan manusia yang memberi impak kepada kualiti alam sekitar termasuk air dan udara.

Aktiviti yang dilakukan atas nama ‘pembangunan’ kadangkala memberi impak kepada struktur muka bumi termasuk hakisan tanah, kepupusan hidupan darat dan akuatik.

Dalam isu di Sungai Kim Kim, kajian sebenarnya sudah banyak dilakukan iaitu sejak 2015 oleh beberapa penyelidik dari universiti tempatan.

Prof Dr Mohamad Pauzi Zakaria dalam satu terbitan mengesan kehadiran bahan toksik seperti hidrokarbon aromatik polisiklik atau polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs) dan Linear alkilbenzena (LABs) atas permukaan sedimen (material atau serpihan daripada batuan) di sungai berkenaan.

Alam sekitar dicipta mengikut aturannya yang sempurna dengan nisbah unsur yang tersendiri.

Perkara itu dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan bumi ini Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu. Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih, maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” (Surah Al-Hijr, ayat 19-22)

Dalam konteks perspektif Islam, pemeliharaan kualiti alam sekitar amat penting untuk kehidupan manusia.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 1:22 PM





.



Perosaknya ialah Manusia 





Negara kita dikejutkan dengan kejadian pencemaran sisa bahan kimia sehingga menjejaskan kesihatan orang awam susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Beberapa sekolah dan tadika berdekatan kawasan itu terpaksa ditutup selepas ramai pelajar mengalami sesak nafas, pening, loya dan muntah.

Dewan Rakyat turut membahaskan usul tergempar berhubung isu pencemaran bahan kimia itu sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib rakyat.

Bencana melanda dunia hari ini adalah kesan perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah ash-Shura, ayat 30)

Allah SWT menciptakan bumi dengan peraturan yang sangat hebat. Air sungai yang mengalir memberi manfaat kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Jika sistem diganggu, maka akan muncul bencana alam yang menjejaskan ketetapan sunnatullah terhadap kehidupan alam ini.

Tatkala sumber alam dimanfaatkan dalam kehidupan, ada pihak bersikap sambil lewa terhadap penjagaan ekosistem alam.

Gunung, bukit dan hutan digondolkan demi mengaut keuntungan. Sisa kimia yang dibuang ke dalam sungai mengakibatkan hidupan air musnah.

Udara persekitaran terdedah kepada pelbagai bentuk pencemaran. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)

Ayat itu turut menyatakan, segala kerosakan yang berlaku di darat mahupun di lautan berpunca daripada perbuatan manusia sendiri.

Ketika mendepani cabaran mengurus masalah bencana alam seperti di Pasir Gudang ini, beberapa perkara perlu diambil perhatian terutama membabitkan orang awam.

Patuhi nasihat dan panduan dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan sebarang tindakan yang ingin dilakukan.

Hubungi pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Sikap sesetengah pihak menyebarkan berita palsu mengenai kejadian bencana itu hanya menyebabkan orang ramai panik.

Apabila panik, kemungkinan tindakan diambil tidak selari dengan hal yang sepatutnya. Jadilah orang yang sentiasa meringankan urusan orang lain.

Dari aspek kesihatan pula, jangan mudah terpedaya dengan perbuatan sesetengah pihak yang cuba menjual produk tertentu seperti alat penapis air atau udara yang dikatakan dapat menapis toksik.

Selain itu, ada yang menawarkan penutup mulut dan hidung dengan harga mahal dikatakan mampu menghindari terhidu sisa toksik.

Orang awam yang terbabit sepatutnya diberikan bantuan bagi meringankan kesukaran yang ditanggung, bukan menambah lagi bebanan mereka.

Selain itu, semua pihak perlu dihormati dan diberi masa untuk mereka men-
jalankan tugas masing-masing.

Elakkan perkara yang boleh mengganggu usaha membaik pulih kawasan pencemaran toksik berkenaan.

Jika tiada keperluan mendesak, tidak perlu menghampiri tempat yang terjejas hanya untuk menyaksikan kerja pemulihan termasuk hospital yang menempatkan mangsa yang sedang menerima rawatan.

Kita sepatutnya berusaha mencari jalan untuk menghulurkan bantuan, bukan melakukan perbuatan yang boleh mengganggu urusan orang lain.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga usaha untuk memulihkan pencemaran toksik di Pasir Gudang berjalan dengan lancar.

Kepada Allah SWT jua setiap permohonan dipanjatkan kerana Dialah Tuhan yang Maha Berkuasa melakukan segalanya untuk kebaikan manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara kedua-duanya, Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni (dosa para hamba-Nya).” (Surah Sad, ayat 66)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 1:29 PM


.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.