Mencari
semula sejarah yang hilang
Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menyediakan satu
geran khas kepada pengkaji tempatan untuk mengesan semua dokumen atau catatan
di zaman kegemilangan empayar Melaka termasuk sejarah Laksamana Hang Tuah bagi
membuktikan kewujudannya kepada generasi masa depan.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Kamarul
Baharin A Kassim berkata, ini kerana sebahagian besar rujukan sejarah itu
bersandarkan dokumentasi yang direkodkan penjajah Inggeris disebabkan tidak
wujud sistem penyimpanan rekod di zaman kegemilangan tamadun Melayu.
Beliau berkata, disebabkan masalah itu, proses
mencari maklumat mengenai sejarah dan tamadun Melayu secara tepat mengalami
kesukaran sehingga menimbulkan polemik seperti kewujudan Hang Tuah.
“Pencarian dokumen seperti hikayat, sajak dan
syair boleh dilakukan dengan mengakses bahan sejarah itu di beberapa tempat
simpanan seperti universiti luar negara.
“Ini kerana universiti di negara itu sudah
wujud pada abad keenam menyebabkan saya yakin maklumat mengenai tamadun Melayu
mampu diperoleh sekiranya dibuat secara komprehensif,” katanya ketika ditemui
di sini, kelmarin.
Kamarul Baharin berkata, tamadun Melayu pada
zaman lampau sangat tinggi sehingga bahasa Melayu digunakan sebagai ‘lingua
franca’ atau bahasa utama perdagangan, tetapi kegemilangan itu tidak menjadi
kebanggaan generasi sekarang.
Sebagai contoh, katanya, sejarah mencatatkan
bahtera yang dibina oleh orang Melayu pernah dikatakan berada hampir di semua
pelabuhan di dunia.
“Orang Inggeris sendiri mengakui kehebatan
teknologi pembinaan bahtera kita, tetapi ia digunakan semata-mata untuk perdagangan
bukan penaklukan seperti Sepanyol, Belanda atau Portugis. Malangnya, kemahiran
atau teknologi pembinaan bahtera itu lenyap selepas penjajah menghapuskan
generasi pembuat bahtera,” katanya.
Sementara itu, di Melaka, Pengasas Pusat
Penyelidikan Warisan Wong Kampung (WAK) Datuk Dr Ibrahim Ghaffar berkata,
kekurangan kajian dan fakta yang tepat menyebabkan berlaku kekeliruan dalam
masyarakat terutama apabila ada pihak mendakwa Hang Tuah sekadar mitos dan
timbul pihak mengaku sebagai pewaris Kesultanan Melayu Melaka.
“Saya yakin jika kerajaan menyediakan geran
secukupnya, ramai pengkaji universiti awam (UA) tempatan tampil melakukan
kajian, akhirnya memberikan faedah kepada masyarakat di negara ini,” katanya
ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Persatuan Sejarah
dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD) di Duyong, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi PESAWAD Khalid Hussin
berkata, kajian mengenai Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka perlu dilakukan
secara mendalam kerana kedua-duanya saling berkait.
“Kami sedia membantu,
ia mungkin mengambil masa kerana perlu dilakukan secara teliti untuk mendapat
fakta yang betul,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad,
10 January 2016 @ 5:09 AM
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.