Total Pageviews

Sunday 1 April 2018

bayar pampasan kecuaian RM 7 juta


RM7j bayar pampasan akibat kecuaian




KUALA LUMPUR 24 Julai - Sebanyak RM7 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan sejak tahun 2007 sehingga kini bagi membayar pampasan kepada pesakit yang membuat tuntutan kes kecuaian perubatan di hospital kerajaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, bayaran itu dibuat berdasarkan keputusan mahkamah selepas pesakit membawa kes tersebut ke institusi berkenaan.
Menurutnya, jumlah bayaran pampasan sebanyak RM7 juta itu masih dianggap kecil berbanding negara lain.
''Kementerian Kesihatan secara puratanya menerima lima hingga lapan aduan kes sebulan mengenai kecuaian kakitangan perubatannya dalam tempoh yang sama,'' katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Alternatif Penyelesaian Tuntutan (ADR) terhadap Kecuaian Perubatan dekat sini hari ini.
Menurutnya, penyelesaian mahkamah bukan satu-satunya cara membuat tuntutan itu kerana ia juga boleh dilakukan melalui rundingan, perbincangan dan timbang-tara antara pesakit dan juga pengamal perubatan.
''Pesakit sering mengambil jalan mudah dengan membawa setiap kes tuntutan kecuaian perubatan ke mahkamah, walhal ia mampu diselesaikan melalui perbincangan dan rundingan damai.
''Ia cuma akan memakan masa dan menelan belanja yang tinggi selain membebankan pihak mahkamah untuk menyelesaikan kes-kes tersebut,'' katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Mahmod.
Rosnah berkata, jika kaedah alternatif dilaksanakan, ia dapat memberi keadilan kepada semua pihak termasuk imej doktor yang dapat dilindungi manakala kebajikan pesakit juga terjamin.
Jelasnya, kerajaan bukan mahu mengelak daripada bertanggungjawab terhadap setiap tuntutan tetapi langkah itu disaran demi kebaikan pesakit dan juga pihak hospital.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan oleh Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM dan Fakulti Perubatan UIAM dengan kerjasama Chartered Institute Of Arbitrators (CIArb).
Mengulas penutupan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) berikutan kes selesema babi, katanya, kementerian sentiasa memantau pekara itu.
Menurutnya, langkah menutup IPT berkenaan diambil bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.