Total Pageviews

Sunday, 1 April 2018

Kecuaian Perubatan


Kecuaian Perubatan



mSTAR
Rabu April 28, 2010

Oleh KHAIRUL ANWAR RAHMAT
TIDAK lama dahulu, seorang wanita yang lumpuh dari leher semasa menjalani pembedahan tulang belakang diberi ganti rugi RM500,000 kerana kecuaian perubatan (medical negligence).
Mahkamah membuat keputusan berkenaan kerana berpendapat seorang pengamal perubatan mempunyai kewajipan untuk memaklumkan kepada pesakit mengenai risiko yang akan dihadapi dalam sebarang cadangan rawatan.
Dalam penghakimannya, mahkamah dengan tegas menyatakan bahawa seorang doktor mempunyai tanggungjawab untuk menasihatkan pesakitnya mengenai rawatan yang akan diambil dan risiko yang mungkin dihadapi.
Ini baru satu contoh kes. Sebelum ini kita juga pernah terbaca laporan akhbar mengenai beberapa kecuaian sama ada yang berlaku di Malaysia mahupun di seantero dunia. Hal ini berlaku bukan saja di hospital kerajaan, namun ia juga terjadi di hospital swasta.
Ada kes objek seperti gunting tertinggal dalam perut selepas pembedahan, suntikan yang menyebabkan tangan lumpuh, tersilap diagnos dan preskripsi ubatan sehingga mengakibatkan komplikasi sehingga membawa maut dan pelbagai lagi kecuaian.
Malah, jika anda masih ingat, pernah juga seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa kecuaian ketika dia berkhatan! Ini adalah beberapa contoh mimpi negeri yang dialami oleh mereka yang menjadi mangsa kecuaian perubatan.
Kajian saya terhadap beberapa jurnal undang-undang mendapati, secara umumnya jumlah kes berkaitan kecuaian perubatan adalah masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Tetapi saya tidak dapat memastikan sama ada situasi ini adalah disebabkan kita mempunyai pasukan perubatan yang cekap atau kurangnya pengetahuan di kalangan orang ramai terhadap hak mereka di sisi undang-undang.
Saya membangkitkan isu ini kerana ramai pembaca yang mahu mendapatkan gambaran lebih jelas terhadap kes kecuaian yang dilakukan doktor.
Minggu lalu, ada dilaporkan dalam akhbar berkenaan kekecewaan seorang ibu yang kehilangan anak kesayangannya. Dalam kesedihannya itu, beliau bercadang untuk menyaman pihak hospital kerana didakwa tidak memberi layanan dan rawatan yang cuai terhadap arwah anaknya.
Laporan itu mengingatkan saya kepada rungutan seorang pembaca baru-baru ini. Beliau meluahkan rasa geram kerana mendakwa nyawa ayahnya hampir-hampir terancam akibat kecuaian doktor di sebuah hospital daerah. Menurut beliau, semenjak peristiwa itu, keluarganya sudah serik berurusan dengan mana-mana hospital kerajaan.
Segalanya bermula apabila ayahnya dimasukkan ke wad kecemasan kerana tiba-tiba rebah selepas menunaikan solat maghrib. Oleh kerana hospital berkenaan terletak berhampiran dengan rumah, maka ibu dan adiknya terus bergegas membawa ayahnya ke sana.
Apabila ditanya mengenai keadaan ayah mereka, doktor memberitahu ia ‘hanyalah’ minor stroke atau serangan angin ahmar yang ringan. Oleh kerana hari itu ialah hari Jumaat dan hari sudah larut malam, maka ayah beliau akan hanya diimbas atau melalui proses scanning pada pagi Isnin. Ini bermakna, keluarga malang itu akan melalui dua hari yang sangat panjang untuk mengetahui keadaan sebenar kesihatan ayah mereka!
Semalaman mereka sekeluarga tidak dapat melelapkan mata kerana tersangat sedih dan rungsing melihat ayah yang terbaring mengerang kesakitan dalam keadaan separuh sedar.
Keesokannya, seawal pagi, salah seorang anaknya menghubungi seorang rakan doktor untuk mendapatkan pandangan kedua dan memaklumkan proses scanning akan hanya dapat dilakukan selepas dua hari.
Rakan doktor itu menjerit di hujung telefon menyatakan ia sangat merbahaya dan proses imbasan perlu dilakukan dengan segera untuk mengetahui status sebenar apatah lagi jika mangsa diserang strok.
Apa lagi, si anak berkenaan berkejar ke wad dan kebetulan seorang sister atau jururawat senior sedang menguruskan ayahnya. Nasib baik jururawat berkenaan bersifat jujur dan berkata; ‘Memang ia (scanning) perlu dilakukan segera.
Kalau encik mahu cepat, kami cadangkan ia dilakukan di hospital swasta berdekatan. Ia boleh dilakukan segera, cuma dikenakan sedikit bayaran kira-kira RM400’.
Sebaik tiba di hospital yang lain, alangkah terkejutnya doktor pakar yang melakukan imbasan itu bahawa ia bukanlah minor stroke dan jika tidak segera melakukan pembedahan, pembuluh darah di kepala pesakit boleh pecah dan mengakibatkan maut! Seterusnya, tindakan segera diambil termasuklah pembedahan segera dan syukurlah, ayah mereka kini sudah beransur pulih.
Persoalannya, mengapakah tiada sense of urgency atau naluri kesegeraan dalam kes itu? Mengapakah meletakkan pesakit dalam risiko yang tinggi kerana tidak menyegerakan proses imbasan dan seterusnya melakukan pembedahan?
Dalam menentukan kecuaian perubatan ini, terdapat beberapa elemen yang perlu ditentukan oleh undang-undang. Kita perlu menentukan apakah standard penjagaan minima yang semua pengamal perubatan harus capai dalam melaksanakan tugas seharian mereka.
Secara umumnya, pegawai perubatan mempunyai satu tanggungjawab menjaga pesakitnya dan sebarang pelanggaran kepada tugas itu dengan melakukan atau tidak melakukan sesuatu memungkinkan pesakit mendapat kemudaratan.
Walaubagaimanapun, ia mestilah adil dan munasabah untuk memerintahkan petugas perubatan membayar pampasan kepada pesakit yang mendakwa dirinya mangsa kecuaian.
Elemen-elemen ini sering dipermudahkan sebagai formula standard penjagaan, tugas, pelanggaran, penyebab dan ganti rugi.Nah, bertambah satu lagi pengetahuan perundangan anda bukan? Sampai jumpa lagi minggu depan!


• Penulis ialah Peguam Sivil Mahkamah Tinggi Malaya serta Peguam Syarie Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh dihubungi melalui krulco@yahoo.com







No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.