Total Pageviews

Sunday, 1 April 2018

Pengalaman Kanser Payudara


Pengalaman Kanser Payudara






Dengan lafaz bismillahirahmanirahim sebagai pembuka bicara. Syukur yang tidak terkata kerana diberi-NYA kekuatan kepada hamba-MU yang kerdil ini untuk mencoretkan kisah duka yang tersimpan dalam lipatan sejarah hidupku di tahun 2012. Ingin ku khabarkan kepada pembaca yang sudi singgah menatap kisahku ini bahawa segala yang ku coretkan ini adalah kisah benar , ambillah ia sebagai iktibar dan panduan  sekiranya bersesuaian dengan diri anda. Seperti diriku pada awal didiagnoskan sebagai pesakit kanser payudara, aku seperti hilang arah dan tercari-cari informasi dan kisah-kisah perjalanan hidup yang ditempuh oleh pesakit kanser payudara….pastinya orang telah melaluinya sendiri lebih merasa keperitannnya.

          Biarlah aku kenalkan diriku sebagai Sarimayang. Aku hanyalah wanita biasa, berkerja,berkahwin dan mempunyai 3 orang cahayamata berusia 7 tahun,11 tahun dan 15 tahun. Pada suatu masa dahulu aku pernah terlibat dalam penjagaan dan perawatan untuk pesakit kanser , tidak terfikir langsung bahawa  aku juga akan mengalami penyakit yang amat digeruni ini. Walaupun begitu rupanya masih banyak perkara yang aku tidak tahu hinggalah aku sendiri disahkan mengidap kanser payudara tahap 2.

          Sebelum ini aku adalah seorang yang sihat dan aktif. Jarang mendapat sakit sekalipun batuk atau selsema. Hanya pada pertengahan tahun 2011 aku dapat merasakan satu bonjolan tanpa sakit di bawah puting payudara kananku dan kadangkala kulit sekitar bonjolan terasa gatal.Walhal aku melakukan" pemeriksaan sendiri payudara" pada setiap bulan seperti yang disarankan kepada setiap wanita ,entah bila ianya hadir dan membesar aku tidak pasti tahu-tahunya telah sebesar bola pingpong. Suamiku juga dapat merasakan bonjolan tersebut dan menyarankan supaya aku menjalani pemeriksaan dengan segera.

          Langkah pertama yang aku lakukan ialah membuat temujanji dengan doktor di klinik payudara. Pada hari yang ditetapkan doktor telah melakukan pemeriksaan dan dari reaksi beliau aku dapat rasakan sesuatu.

Doktor menyarankan agar "trucut biopsy" dilakukan bertujuan untuk mengambil sedikit cebisan di ketulan payudara untuk mengatahui samada terdapat sel kanser atau tidak dan sample tersebut perlu dihantar ke makmal swasta untuk mendapatkan keputusan segera...

          Antara berani dan takut aku akur. Aku juga telah diaturkan untuk melakukan mammogram berserta ultrasound pada minggu berikutnya. Lebih kurang 2 minggu aku diberi temujanji lagi untuk melihat keputusan biopsy…..dan betapa gembiranya aku melihat keputusannya tertulis "there is no malignancy, the feature on this biopsy are compatible with fibrocystic disease".

Namun begitu doktor yang merawatku tidak berpuashati dengan keputusan mammogram dan ultrasoundku. Keputusan mammogramku

tertulis "BIRAD 4"….iaitu sangat-sangat suspicious ke arah kanser.

Doktor menerangkan melaluinya pengalamannya , keputusan biopsy kadangkala tidak tepat. Adakalanya sample yang diambil tidak terkena di bahagian yang terdapat sel kanser sebab itulah keputusannya normal.

Dengan berpandukan kepada keputusan mammogram dan ultrasoundku yang meragukan itu, doktor telah menyarankan agar pembedahan membuang ketulan dilakukan segera dan ketulan itu nantinya akan dihantar ke makmal untuk ujian HPE yang lebih tepat.

          Pada saat itu hatiku berbelah bagi kerana pembedahan tersebut perlu dilakukan dibawah bius sepenuhnya yang memerlukan aku masuk wad sekurang-kurangnya seminggu. Walau hati penuh bimbang aku terpaksa meminta penangguhan untuk dibedah kerana aku perlu menamatkan kursus yang sedang aku ikuti yang hanya tinggal beberapa minggu lagi.

          Pada 27/01/2012 , pembedahan membuang ketulan yang dikenali sebagai "Wide local incision" berjalan lancar sepertimana yang dirancang. Syukur kepada Allah SWT sepanjang pembedahan dan selepasnya aku tidak mengalami sebarang masalah atau komplikasi malah aku langsung tidak merasa sakit.

          Pada 16/02/2012, menjadi titik permulaan di mana keputusan sample HPE yang dihantar menunjukkan positif kanser payudara tahap 2.

Sukar hendak aku gambarkan perasaanku ketika itu…betapa sedihnya aku. Di usiaku 38 tahun aku telah mendapat penyakit kronik pembunuh no 1 wanita di dunia. Allahuakhbar subhanallah.

          Aku tidak mampu berkata-kata hanya air mata menjadi saksi kesedihanku.Di wajah suami yang menemaniku juga terpancar kesedihan yang tak terperi.  Apa yang terbayang dalam fikiran di saat itu hanyalah saat kematian yang semakin hampir. Doktor di hadapanku cuba menenangkan…katanya jangan susah hati setiap penyakit ada ubat dan rawatannya. Beliau meminta aku bersabar…jangan susah hati sampai tak makan pesannya. Aku hanya mampu tersenyum dalam tangisan.
          Kesedihanku tidak berhenti di sini…..seharian aku menangis mengenang nasib diri . Aku belum bersedia untuk meninggalkan orang-orang yang aku sayangi dan bekalan untukku "pergi" juga belum mencukupi…aku takut dan amat takut. Menangislah aku sepuas-puasnya.

Di peringkat penafian ini macam-macam persoalan yang hadir dalam fikiran. Mengapa harus aku yang kena penyakit ini, kenapa tidak orang lain. Apa dosa yang telah aku lakukan hingga mendapat balasan sedemikian dan macam-macam lagi hingga ada ketikanya menyalahkan takdir…Astagafurllahulazim…Ya Allah ampunkan aku.

Minggu berikutnya aku diarahkan untuk menjalani satu lagi pembedahan iaitu "axillary clearance" iaitu pembedahan untuk membersihkan saki baki kanser yang mungkin telah merebak ke kelenjar ketiak tanpa pembuangan sepenuhnya payudara.

Sebelum ini hanya keluarga sebelah suami sahaja yang mengetahui apa yang berlaku ke atasku tapi kali ini aku dan suami terpaksa memaklumkan kepada adik-beradikku yang lain supaya apa-apa kemungkinan yang berlaku di kemudian hari mereka lebih bersedia. Ternyata mereka amat terkejut, sedih dan tidak percaya. Kepada rakan-rakan dan jiran tetangga aku ingin merahsiakannya..hati ini begitu tertutup.Jika boleh aku tidak mahu orang lain tahu penyakitku ini.

Ada di kalangan rakan dan ahli keluarga yang mencadangkan supaya aku menjalani rawatan alternative seperti berubat secara tradisional tetapi aku dan suami telah memilih untuk menjalani rawatan sepenuhnya di hospital kerajaan di samping berdoa dan bertawakal. Ini bermakna rawatan yang akan aku jalani ialah satu lagi pembedahan, kimoterapi sebanyak 6 pusingan , radioterapi sebanyak 15 kali dan terapi hormon. Aku pasrah dan redha, siapalah aku untuk menolak takdir-NYA. Secara beransur-ansur aku menerima takdir dan ketentuan tuhan di mana DIA sedang menguji hambanya yang kerdil ini. Semoga usaha ke arah kesembuhan ini diberkati walaupun aku tahu ramai yang telah gugur sebelum perjuangan mereka berakhir.

Sehari sebelum pembedahan aku telah diarahkan masuk ke wad untuk persediaan. Doktor pakar telah datang menemuiku dan menerangkan proses-proses rawatan pembedahan yang akan aku jalani. Pakar telah memberikan aku 2 pilihan iaitu pertama pembedahan "Axillary clearance" sahaja seperti awal dirancang atau yang kedua pembuangan sepenuhnya payudara berserta axillary clearance ( total mastectomy and axillary clearance atau MAC). Setelah berfikir dan berbincang dengan suami aku memilih pembedahan MAC kerana ia lebih banyak mendatangkan kebaikan dan memudahkan proses rawatan seterusnya kelak.

Alhamdulillah pembedahan berjalan dengan lancar. Berakhirlah khidmat yang diberikan oleh payudara kananku  pada tanggal 20/02/2012. Aku keluar  dari dewan bedah dengan hanya satu payudara berserta 2 botol kecil tergantung di tempat pembedahan payudara kananku yang bertujuan menyalirkan keluar saki baki darah dan airan kesan pembedahan.

 Syukur Alhamdulillah seperti pembedahan sebelumnya selepas pembedahan aku tidak merasa sakit malah tidak memerlukan sebarang "pain killer". Mungkin pada zahirnya aku kelihatan seperti seorang yang kuat dan tabah, tapi hakikatnya aku sangat lara….sebagai seorang wanita aku sudah tidak sempurna lagi.

Di sini ingin aku nyatakan sekiranya anda pembaca ingin melawat rakan, kenalan atau saudara-mara yang mengidap kanser, anda haruslah menjaga tutur kata agar tidak menyinggung perasaan mereka kerana di kala ini perasaan kami sangat-sangat sensitive dan mudah tersentuh…cukuplah sekadar anda mengambarkan riak wajah bersimpati dan mendoakan mereka agar cepat sembuh. Itu sudah memadai dan pastinya kunjungan anda itu lebih bermakna . Bukan semua yang datang melawat meniupkan kata-kata semangat malah ada yang semakin melemahkan hingga mendatangkan rasa putus asa kepadaku. Antara soalan-soalan "killer" yang jangan sekali-kali anda tanya diantaranya ; 1) Sihat? (sebab anda sendiri tahu dia sakit). 2) Kanser tahap berapa?( kanser tetap kanser tak kiralah tahap berapa). 3) Macam mana awak boleh kena kanser? (Itu semua Tuhan  punya kuasa) 4) Macamana penerimaan suami awak? (ini hal peribadi, anda tak perlu nak menyebuk ).5)Kesiannya awak (tak perlulah anda cakap di depannya).6)Anak-anak awak masih kecil(seolah-olah dia tak berpeluang langsung  lihat anaknya dewasa).         

          Tiga minggu selepas pembedahan aku diminta menjalani ujian CT SCAN TAP (torak,abdomen,pelvis) untuk mengesan penularan ke bahagian-bahagian tersebut dan aku menarik nafas lega…alhamdulillah.

          Rawatan seterusnya adalah kimoterapi. Sebelum itu aku telah diberi penerangan oleh Pakar Onkologi berkenaan rawatan ini. Aku akan diberi kombinasi kimoterapi TAC ( taxotere, adriamycin, cyclophosphamide) sebanyak 6 pusingan, selang antara 1 pusingan ke pusingan seterusnya selama 21 hari iaitu 3 minggu. Ubat TAC ini agak kuat kesan sampingannya jika dibandingkan kombinasi kimoterapi FAC (5-fluorouracil, adriamycin, cyclophosphamide). Seperkara lagi lagi haidku juga akan terhenti…dalam ertikata lain aku akan menaupouse dalan usia 38 tahun…Doktor kata jika menaupouse adalah lebih baik kerana kanser payudara berkait rapat dengan hormone. Jika hormon masih dikeluarkan dengan banyak ia akan merangsang sel-sel kanser menjadi lebih aktif.Aku tiada pilihan lain…

          Rawatan kimoterapi juga dijalankan secara "day care" iaitu boleh balik selepas habis kemasukkan ubat pada hari yang sama. Sehari sebelum setiap kimoterapi dimulakan, darah akan diambil untuk melihat haemoglobin dan melihat fungsi buah pinggang.

Rawatan kimoterapi tidaklah menyakitkan kerana ia cuma kemasukkan ubatan melalui salur darah intravena..cuma cucukan jarum yang kerapkali adakalanya rasa berbisa. Akan tetapi kesan sampingan kimoterapi itu yang amat menyiksakanku…
 
Aku mengalami loya dan muntah yang amat teruk…hingga aku kehilangan tenaga dan menjadi lemah. Aku juga tidak dapat menelan sebarang makanan dan minuman hampir 10 hari lamanya….untuk menyuap sesudu bubur cairpun aku tak mampu. Mulut dan tekak terasa panas dan perit, perut pedih kerana kosong, badan panas dan ada kalanya seram sejuk tak keruan rasa. Muntah yang berterusan hingga jus gastric yang masam dan pahit sahaja yang keluar dan ada kalanya berwarna coklet kehitaman.. mungkin darah...mungkin perutku telah luka.... Pada saat itu aku rasa seperti di awang-awangan…mungkin sudah tiada hari esok buatku.. nafasku boleh terhenti pada bila-bila masa sahaja. Keadaanku amat teruk sekali. Setiap kali lepas muntah aku menjadi letih lesu, jantung berdegup kencang seperti hendak tercabut rasanya. Aku juga tidak dapat melelapkan mata samaada siang atau malam. Ubat tahan muntah ada dibekalkan tetapi tidak banyak membantu. Keinginan untuk muntah datang berulang-ulang setiap 15 hingga 20 minit sekali. Badan, muntah, air kencing dan najis semuanya berbau ubat kimo…ini menambahkan loya di tekakku. Aku juga sering mengalami demam, badan mengiggil, seram sejuk , bengkak gusi dan sembelit.  Aku seperti bangkai bernyawa .  Aku tidak berdaya…aku pasrah dan redha jika begini penghujung jalan hidupku. Semasa rawatan kimo juga aku berkurung di dalam bilik sekurang-kurangnya 3 hari..hanya suami sahaja yang aku benarkan masuk. Tandas dan bekas makanan yang aku gunakan juga berasingan kerana semestinya ubat kimo dalam badanku itu bertoksik.                                                                                                     Namun Tuhan maha berkuasa, selepas 10 hari melalui saat-saat getir aku diberi kekuatan,selera makan kembali dan badan merasa agak selesa. Pada masa ini aku " makan untuk hidup"….aku juga tidak terlalu berpantang ketika ini supaya aku sihat dan paras haemoglobin mencukupi untuk meneruskan kimoterapi pada 3 minggu berikutnya dan alhamdulillah sepanjang rawatan kimoterapiku tidak pernah ditunda disebabkan msalah kesihatan. Beginilah seterusnya keadaanku hingga kimo yang ke 4. Setelah itu untuk kimo yang ke 5 dan ke 6 doktor Onkologi telah menukarkan ubat kimoterapiku daripada TAC kepada FAC kerana kesan sampingan ubat TAC terlalu berat  yang boleh mengancam nyawaku.

          Di minggu ke 3 kimoterapi yang pertama rambutku mula mengering dan gugur beransur-ansur. Setiap kali menyikat rambut segenggam rambutku tercabut hingga akhirnya aku menjadi botak. Alangkah sedihnya hatiku disaat itu melihat rambutku bertaburan di merata-rata tempat. Bahkan semua bulu termasuklah bulu roma, kening , alis mata,bulu hidung dan bulu dalam telinga juga tercabut dan gugur dengan sendirinya. Banyak yang dipinjamkan oleh-NYA telah diambil-NYA kembali.                                                                                                                                                                                                 
Di sinilah kemuncaknya tekanan dan konflik dalam diriku, aku merasa diriku sudah tidak sempurna lagi. Aku pengidap kanser , payudaraku tinggal sebelah, aku telah menapouse, kepalaku botak, kulit dan kukuku menjadi gelap kehitaman dan wajahku berubah disebabkan ketiadaan kening dan alis mata.
          Aku berada dalam keadaan murung  dan stress hingga pernah satu ketika aku tidak dapat mengawal emosi hingga aku menampar mukaku sendiri. Mujurlah suami sentiasa di sisiku dan menyabarkanku. Aku amat berterima kasih atas sokongannya. Sebagai penghargaanku, aku bisikkan kepadanya sekiranya dia ingin mencari penggantiku aku izinkan. Akupun tahu fitrah manusia bergelar lelaki yang baru memasuki era 40-an sepertinya dan aku sedar diri ini sudah tidak dapat memenuhi tanggungjawab zahir dan batin sebaiknya. Padaku ini hanya sedikit pengorbananku padanya jika dibandingkan dengan pengorbanannya menjagaku ketika aku terlantar. Dia berhak hidup bahagia dan aku.. biarlah masa dan takdir yang menentukannya. Aku takkan bersedih lagi.

          Masa terus berlalu bersama-sama derita yang ku tanggung akibat kesan kimoterapi. Selepas menjalani kimoterapi yang ke 5 aku telah di beri temujanji untuk perancangan atau simulasi yang bertujuan untuk mengukur dan membuat penandaan di dinding dada yang terlibat untuk rawatan radioterapi kelak.

          Akhirnya pada 4/09/2012 aku menjalani rawatan kimoterapku yang ke 6 iaitu yang terakhir. Syukur yang tidak terhingga kepada Illahi kerana aku masih bernafas hingga aku berjaya menamatkan rawatan yang amatku geruni ini. Sekali lagi aku diberikan temujanji untuk melakukan CT SCAN TAP selepas kimoterapiku yang terakhir itu. Alhamdulillah setakat itu tiada tanda penularan sel kanser ke tiga bahagian organ pentingku.

          Rawatan seterusnya adalah radioterapi. Namun untuk menjalani rawatan ini aku terpaksa menunggu giliran lebih kurang 2 bulan lamanya selepas simulasi dilakukan. Menurut doktor aku akan diberikan radioterapi sebanyak 15 kali, 10 minit setiap sessi berterusan setiap hari berkerja. Aku diberi pilihan samaada hendak tinggal di wad atau rumah tumpangan MAKNA atau berulang-alik dari rumah sahaja setiap hari.

Memandangkan jarak rumahku yang jauh dari hospital, aku memilih untuk tinggal di wad….ini bermakna aku akan tinggal di wad selama 15 hari…..sabtu dan ahad aku dibenarkan pulang dan datang semula pada pagi isnin.

Kesempatan tinggal di Wad aku gunakan sebaiknya dengan mencari informasi berkenaan kanser payudara daripada pesakit-pesakit senasib denganku.

 Di sini juga aku dapat mendekati dan menyelami hati dan perasaan rakan-rakan baruku dari pelbagai jenis dan tahap kanser yang berbeza-beza. Aku juga dapat menyaksikan sendiri detik-detik genting pesakit yang kritikal bertarung nyawa melawan kanser mereka….

Ada yang meraung.merintih, resah gelisah sepanjang masa menahan kesakitan dan akhirnya sepi…mereka "pergi" membawa bersama derita yang ditanggung. Aku menjadi insaf dan di dalam hati memohon sekiranya ajalku sampai nanti biarlah bukan kerana kanser ini. Biarlah kanserku ini menumpang dalam diriku di sepanjang hayatku seperti angin lalu. Ya Allah mudahkanlah urusan hidup dan matiku.

          Berbalik kisah rawatan radioterapiku…..keseluruhannya rawatan ini tidak menyakitkan….aku diminta berbaring tanpa bergerak selama lebih kurang 10 minit, hanya mesin-mesin yang berkerja memancarkan radiasinya ke atas dinding dada kananku. Aku tahu sebanyak mana sel kanser yang dimatikan sebanyak itu juga sel yang normal turut sama termusnah. Namun aku redha demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

          Semasa dalam rawatan kimoterapi dan radioterapi aku tidak mengambil sebarang ubatan mahupun supplement antioksidan. Biarlah ubat kimo dan radiasi itu berkerja dahulu mematikan sel kanser tanpa di ganggu.

          Seterusnya aku dimulakan dengan terapi hormone. Aku perlu menelan ubat "tamoxifen" sebiji sehari untuk tempoh lima tahun. Ubat ini perlu diambil bertujuan untuk menghalang dan mengurangkan pengaruh hormone estrogen dan progesterone supaya sel-sel kanser tidak kembali aktif di badanku.
          Sebagai kakitangan awam aku mempunyai keistimewaan untuk memohon cuti sakit barah selama 2 tahun bergaji penuh. Untuk mendapatkan cuti ini anda perlulah berurusan dengan pejabat anda kerana ia memerlukan salinan rekod perubatan. Satu tahun telah aku habiskan dengan rawatan dan cutiku masih berbaki satu tahun lagi. Di kesempatan cuti ini aku menjadi surirumah sepenuh masa dan dapat melakukan semua yang tidak apat aku lakukan dahulu. Insya Allah jika kesihatanku mengizinkan dan umurku panjang aku akan kembali bertugas pada januari 2014 nanti .

Aku ingin menasihatkan agar anda menyimpan salinan setiap pemeriksaan yang dijalankan,surat-menyurat dari doktor, keputusan makmal dan seumpama dengannya dalam fail sendiri untuk rujukan di masa-masa akan datang.

Ramai orang beranggapan kanser payudara ini sama semuanya tapi pada hakikatnya ia beraneka jenis dan rupa. Pengidapnya juga berbeza dari segi genetik ,fizikal, mental dan emosi serta daya tahan badan seseorang itu.

 Proses penyembuhannya juga bergantung kepada jenis kanser, ciri-ciri patologi kanser, tahap dan gred keganasan, bilangan nodus limfa yang terlibat serta cepat atau lambatnya seseorang itu mendapatkan rawatan. Doktor juga ada memberitahuku bahawa 5 tahun pertama adalah penting kerana jika kanser tidak berulang dalam tempoh ini bermakna harapan untuk sembuh sepenuhnya adalah lebih cerah. Namun begitu terapi pelengkap perlu diteruskan dengan menjaga pemakanan, senaman, meningkatkan amalan kerohanian untuk menghindar stress dan mendapatkan ketenangan. Ini penting untuk memastikan kanser itu tidak bertandang kembali.


Beginilah kisah perjalanan hidupku selama setahun….menutup tirai tahun 2012 yang penuh kesengsaraan. Menjelang tahun baru 2013 aku berdoa setiap kali usai solat supaya sentiasa dianugerahkan kesihatan dan diberikan kekuatan supaya lebih tabah menghadapi kehidupan ini.

Nasihat akhirku, jika anda mendapati ada sesuatu yang tidak normal di payudara atau di mana-mana tubuh anda, segeralah menjalani pemeriksaan dan rawatan di hospital , jangan lengahkannya dengan rawatan-rawatan yang tidak logik akal kerana ia hanya membuang masa dan duit. Aku juga mengharapkan agar semua pembaca budiman sudi bersama-sama mendoakan kesejahteraanku kerana aku juga tidak mengatahui apa yang akan terjadi pada diriku pada hari esok..hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Mudah-mudahan sinar kebahagiaan muncul kembali…Amin.

  Sekian wassalam.









No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.